Ijazah Marzuki Yahya dikatakan palsu? Kami lakukan siasatan rapi

Semasa kaum Tionghua di Malaysia sibuk menyambut Tahun Baru Cina, netizen Malaysia tak kurang meriah menyambut berita bahawa seorang “aktivis politik” telah membuat laporan polis berkaitan kenyataan Timbalan Menteri Luar Negeri, Marzuki Yahya, yang menyatakan dia merupakan graduan Universiti Cambridge, salah sebuah universiti terkemuka di dunia.

Dalam Kabinet kita, ada je yang lulusan Cambridge (ni betul-betul grad secara sah dari Cambridge) – Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana “Advanced Chemical Engineering”. Pada masa yang sama kita juga tak asing dengan kehadiran graduan universiti pelik-pelik, antaranya pakar motivasi bisnes tersohor Azizan Osman, artis Fazley Yaakob, ahli bisnes kosmetik DS Vida, pelakon Boy Iman…ehh ramai sangat kalau nak list semua, sampai besok pagi tak settle artikel ni.

Image result for gif datuk seri vida
Via Tenor

Marzuki juga bukanlah orang pertama dalam kalangan ahli politik, mahupun Menteri, yang mempunyai ijazah yang diragui. Kita tengok kes dia dan kes lain yang pernah dibangkitkan sebelum ni:

1. Marzuki Yahya kelulusan University of Cambridge (?)

Tentang Marzuki ni, perkara yang mengelirukan kebanyakan pihak adalah pengakuannya bahawa beliau mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda (kita biasa panggil degree) di dalam bidang pengurusan perniagaan melalui pendidikan jarak jauh. Beberapa hari lepas, seorang pengguna Facebook telah mempersoalkan kesahihan kelulusan Marzuki kerana menurutnya, Universiti Cambridge tak menawarkan kemudahan pendidikan jarak jauh.

Image result for marzuki yahya
Marzuki Yahya. Via FMT

Kami di ORANGKATA kadang-kadang fefeeling nak jadi investigative journalist jua, jadi kami pun menyiasat isu di sebalik kelulusan Marzuki ini, dan kami dapati;

University Cambridge memang tak tawarkan pendidikan jarak jauh. Sebaliknya, pelajar Cambridge dikehendaki menetap di pekan Cambridge sepanjang pengajian mereka, sebagai satu syarat kelulusan. Memang mustahil bahawa sesiapa pun, hatta Timbalan Menteri mahupun Setiausaha Agung PBBM, memperoleh ijazah hasil pendidikan jarak jauh dari University Cambridge.

University Cambridge tak menawarkan subjek pengurusan perniagaan pada peringkat Ijazah Sarjana Muda. Jangan katakan pendidikan jarak jauh, degree business administration atau pengurusan perniagaan—yang dikatakan diperoleh oleh Marzuki—pun tidak ditawarkan oleh universiti ini, khususya di peringkat Sarjana Muda, atau undergraduate.

Akhirnya selepas berpeluh-peluh menghadapi persoalan (kami anggap dia berpeluh), Marzuki mengeluarkan pula kenyataan yang sebenarnya dia merupakan graduan Cambridge International University di Amerika Syarikat, bukan University of Cambridge di UK.

Image result for gif sweating
Via Giphy.

Jadi betul lah apa yang kami agak, kerana tinjauan kami dapati bahawa walaupun terdapat pelbagai “institusi” yang menggunakan nama Cambridge, dari tadika sehinggalah pusat tuisyen, terdapat sebuah institusi pendidikan tinggi yang dinamakan Cambridge International University.

Sebenarnya kenyataan baru tu pun tak membantu dia sebab Cambridge International University (CIU) ni bila kami teliti rupanya seperti universiti jelmaan je —namanya seakan-akan universiti tersohor, tapi pelanduk tak serupa: ia menawarkan ijazah yang boleh dibeli tetapi tidak memerlukan seorang ‘pelajar’ untuk melalui apa-apa proses pelajaran, sehingga peringkat PhD pun boleh! — laman web mereka juga mengaku tidak diakkreditasi mahupun diwartakan oleh mana-mana kerajaan.

Pensyarah ke model ni? Via www.ciuedu.us

Cambridge International University ni boleh dikatakan salah satu contoh scam pendidikan yang juga dikenali sebagai ‘kilang ijazah’ atau degree mill—sejenis perniagaan yang menawarkan ijazah atas kertas yang tak diiktiraf mana-mana pihak tapi menyerupai ijazah dari universiti yang terkemuka jika tidak diteliti dengan tepat.

2. Richard Riot kelulusan Chartered Institute of Business Administration dan Ewon Ebin kelulusan Universiti Preston

Pada tahun 2013, Parlimen Malaysia pada waktu itu hangat membincangkan pendedahan bahawa dua ahli Kabinet kerajaan Barisan Nasional, Richard Riot dan Dr Ewon Ebin, mantan Menteri Sumber Manusia dan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, didakwa memiliki ijazah palsu.

Image result for richard riot ewon ebin degree
Ewon Ebin dan Richard Riot Via. Borneo Herald

Richard Riot dikatakan telah menerima ijazah dari Chartered Institute of Business Administration (Ireland) serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Preston (USA), manakala Ewon Ebin telah mengaku mempunyai ijazah sarjana daripada Commenwealth Open University dan PhD dari Golden State University.

Sewaktu perkara ni dibangkitkan, Richard Riot pernah mengugut untuk saman Dr Ong Kian Ming, kini ahli Parlimen Bangi, kononnya kerana membuat kenyataan fitnah. Tapi dah begitu lama masa berlalu masih belum berlaku saman menyaman, jadi kami boleh terus ragu-ragu.

Hakikatnya, kesemua institusi-institusi tersebut tak diiktiraf atau disahkan oleh mana-mana kerajaan, dan disyaki sebagai degree mill juga. Perkara ini bertambah ironi bila difikirkan bahawa portfolio kedua-dua mantan Menteri ini bersandarkan kepada integriti dan sikap professionalisme.

3. Azeez Rahim kelulusan Preston University

Wakil Rakyat Baling, mantan Pengerusi Tabung Haji serta pengumpul tegar jam Rolex palsu ni turut terpalit dengan kontoversi ijazah palsu. Seperti Richard Riot, dia juga mengaku berkelulusan dari Preston University, di dalam bidang Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan, atau MBA.

Malah, dia telah mempamerkan gambar “upacara penganugerahan ijazah” dia, yang nampak begitu simple. Azeez ini amat terkenal dengan kelantangan dia bersuara dalam Parlimen menggunakan dwi-bahasa, tapi ada yang mengatakan bahawa dia sebenarnya hanyalah kelulusan SPM.

Image result for azeez rahim
Azeez Rahim. Via Astro Awani

Sama seperti kes-kes Richard Riot dan Ewon Ebin, isu kesahihan kelulusan dia telah didedahkan oleh parti DAP.

4. Ahmad Faizal Azumu kelulusan (?) Edith Cowan University

Menteri Besar Perak serta rakan se-Parti Marzuki Yahya ini pernah menghadapai kontroversi pada tahun lepas setelah netizen (siapa lagi?) mempersoalkan kewujudan ijazahnya yang dikatakan diperolehi dari Edith Cowan University, Australia di dalam bidang Kajian Perniagaan. Berbeza dengan kes Marzuki atau contoh-contoh lain yang diketengahkan di atas, Edith Cowan University memang wujud, dan juga menawarkan bidang Kajian Perniagaan, tetapi carian atas talian tidak menemukan nama Ahmad Faizal di dalam senarai pelajar atau bekas pelajar universiti tersebut.

Image may contain: 1 person, smiling
Via Facebook

Seperti Marzuki, Ahmad Faizal juga menuduh pihak yang mempersoalkan kesahihan kelulusannya sebagai mempunyai agenda politik. Namun, sehingga hari ini, dia belum lagi menunjukkan bukti tersebut. Sebaliknya, dia telah menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai kesahihan kelulusannya.

Mana pergi ahli politik prihatin dulu?

Kes Richard Riot, Ewon Ebin dan Azeez Rahim telah membuka mata kepada kesanggupan ahli politik peringkat tertinggi menggunakan apa saja kaedah untuk membuktikan mereka mempunyai kelayakan. Sebenarnya kami bukanlah kisah sangat pun Menteri atau ahli politik ni ada kelulusan daripada universiti mana, cuma kalau dah menipu tu kami akan mempersoalkan integriti dan ketelusan sebagai seorang wakil rakyat.

Di luar negara ada je menteri yang tidak berkelulusan universiti tetapi disegani kerana kebolehan bekerja, jadi ia tidak sepatutnya menjadi kayu ukur. Malah seperti Menteri Pertahanan kita, Mat Sabu, walaupun kelulusan kulinari, tapi dia tetap konfiden dalam menjalankan tugas menteri, apa salahnya?

Cuma kes Marzuki dan Faizal Azumu tu datang dari pihak kerajaan yang dulunya pembangkang. Kami nak persoal juga mana pergi rakan-rakan Pakatan Harapan, khususnya daripada DAP, yang sebelum ini begitu prihatin terhadap isu kelulusan ahli politik lain? Takkan senyap je.

[poll id=”7″]

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *