Presiden PDP Tiong King Sing berkata kerajaan perpaduan sedia ada tidak perlu penyertaan PAS.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata ini kerana ramai pihak terutamanya bukan Islam tidak boleh menerima PAS.
“Kerajaan perpaduan tidak perlu penyertaan PAS, kerana ramai yang rasa tidak senang (dengan PAS), mereka tidak boleh terima PAS terutama bukan Islam,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook semalam.
Tambahnya, ini kerana PAS “terlalu ekstremis” dan seolah-olah tidak menghiraukan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.
Dia mengulas temu bual Time Magazine dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berkata dia pernah mengundang PAS untuk menyertai kerajaan perpaduan.
Dalam temu bual itu Anwar juga berkata bahawa dia tidak akan menolak kemungkinan PAS menyertai kerajaan pada masa akan datang, tetapi ia bergantung jika parti itu menerima beberapa dasar utama dan menghormati bahawa Malaysia adalah parti berbilang kaum dan agama.
Tiong berkata dia telah bertanya kepada Anwar mengenai perkara ini semasa mesyuarat kabinet pada 13 Okt, di mana dia menjelaskan jemputan itu dipanjangkan semasa membentuk kerajaan perpaduan, sebagai mematuhi seruan Yang di-Pertuan Agong untuk perpaduan politik.
Sementara itu, Tiong dalam videonya semalam menyatakan sokongan kepada bukan Islam yang bimbang dengan PAS.
Bagaimanapun, dia juga berkata isu PAS kemungkinan menyertai kerajaan tidak perlu digembar-gemburkan lagi.
Mengenai kepelbagaian budaya, Tiong berkata hanya apabila semua orang menghormati antara satu sama lain barulah negara dapat bersatu dan maju.
Dia juga berikrar bahawa kerajaan perpaduan akan melakukan yang terbaik untuk menjaga hak semua kaum dan agama.
Hadi kata mereka dijemput, Takiyuddin kata sebaliknya
Ada beberapa orang (kerajaan) hubungi ajak saya berjumpa untuk menawarkan PAS supaya menyertai Kerajaan Perpaduan ketika ini,” dakwa Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS itu mendakwa, tawaran itu muncul kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak PAS.
“Ada orang hubungi saya, beberapa orang ajak berjumpa dengan tawaran-tawaran supaya PAS menyertai kerajaan kerana jumlah PAS paling besar iaitu 43 kerusi.
“PKR 30 sahaja, dalam keadaan itu 19 kerusi PKR Melayu, DAP tiga orang Melayu, kerajaan didominasi oleh bukan Melayu.
“Dia nak ajak PAS tapi PAS duduk belakang bukan duduk di depan. Patutnya bila buat kerajaan, yang paling besar memimpin.
Abdul Hadi menjelaskan, ketika ini pihaknya sememangnya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun tetapi tawaran berkenaan mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju PAS.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai penyertaan bekas setiausaha agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa, ke dalam PAS, Abdul Hadi berkata, perkara berkenaan akan diumumkan kelak dan akan membabitkan beberapa lagi orang pemimpin.
“Saya tidak boleh menyatakan perkara itu sekarang sebab mungkin sudah ada yang sertai PAS dan masih ada lagi mereka yang terikat dengan Akta Anti Lompat Parti. Mereka daripada kalangan wakil rakyat UMNO yang menang pada pilihan raya yang lalu juga ada. Perkara itu sudah ada dan mengikut statistik terkini sudah ada jumlah 49 kerusi di Parlimen tetapi PAS letak 43 kerusi sahaja dahulu atas sebab kekangan Akta Anti Lompat Parti yang dilaksanakan ketika ini,” katanya.
Sementara itu, setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan mengatakan PAS tidak menerima sebarang tawaran untuk menyertai kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Tawaran itu terbuka kepada Time magazine, tapi kita belum terima apa-apa (tawaran),” katanya kepada pemberita selepas melawat bilik media sempena Muktamar PAS di IDCC Shah Alam, hari ini.
Dalam temu bual bersama Time, majalah politik dan isu semasa baru-baru ini, Anwar berkata dia pernah menjemput PAS menganggotai kerajaannya tahun lalu namun ditolak.
Bagaimanapun, Anwar memberi ‘jaminan’ tidak akan menghalang kerjasama dengan parti berkenaan pada masa akan datang.
Zahid Hamidi ingatkan PAS jangan perasan
“Jangan nak perasan (kononnya) ada orang tawarkan sertai Kerajaan Perpaduan,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi yang juga Presiden PAS bahawa ada pihak dalam kerajaan menghubunginya untuk berjumpa bagi menawarkan PAS menyertai Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, seeloknya PAS terus bersama BERSATU dan sekutu lain dalam Perikatan Nasional (PN).
“Saya rasa eloklah mereka (PAS) terus berkawan dengan BERSATU.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menolak dakwaan Abdul Hadi itu.
“Itu (dakwaan PAS ditawar sertai kerajaan) di luar pengetahuan saya,” katanya.