Isu Kelantan tak dapat royalti minyak, ini ceritanya

pelantarminyak

Isu royalti minyak ni sentiasa jadi ‘duri dalam daging’ hubungan antara kerajaan negeri Kelantan dan Putrajaya. Walaupun PAS dalam kerajaan, tak bermakna diorang dapat tuntut apa yang diorang nak untuk kepentingan negeri. Wang royalti minyak sentiasa diharapkan oleh mana-mana kerajaan negeri bagi menampung perbelanjaan negeri masing-masing.

Harapan Kelantan nak dapat wang royalti minyak meleset selepas ada pengumuman bahawa Kelantan takkan dibayar royalti tunai. Sebaliknya, diorang akan terima wang ehsan je. Ada jugak yang pelik kenapa pulak nak diberi wang ehsan, sebab dalam undang-undang, Kelantan memang layak pun dapat royalti tunai.

Petronas Sarawak
Via Berita Harian

Petronas takkan bayar royalti tunai kepada Kelantan, hanya wang ehsan je

Pada 25 November lalu, Tengku Zafrul selaku Menteri Kewangan maklumkan bahawa Petronas takkan bayar royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan. Dalam jawapan bertulis yang tersiar di laman sesawang Parlimen, dia kata ni disebabkan oleh kedudukan medan pengeluaran petroleum tu di luar perairan Kelantan.

Namun begitu, oleh sebab lokasi medan petroleum tu sebenarnya hanya dekat je dengan perairan negeri Kelantan, maka Putrajaya putuskan akan buat bayaran dalam bentuk wang ehsan je. Jawapan ni adalah balasan kepada soalan Ahli Parlimen PN-Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari yang terdahulu minta kerajaan nyatakan tentang status terkini tuntutan bayaran royalti Kelantan.

peta kelantan minyak
Peta pelantar minyak Petronas di Kelantan.. -Via Malaysiakini

Pada 1 November lalu, Exco kerajaan negeri Kelantan Dr. Izani Husin turut bangkitkan soal pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan. Merangkap Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan tu gesa Putrajaya hayati semula semangat perjanjian petroleum antara Kelantan dan persekutuan pada 1975.

“Perjanjian ini bukan sama sekali untuk menghalang pembayaran kepada kerajaan negeri, dengan mengadakan syarat-syarat baru atau interpretasi baru seperti tiga batu nautika dari pesisir pantai,”-seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today

Isu royalti minyak ni dah lama disebutkan oleh kerajaan Kelantan termasuklah nak ambil tindakan saman terhadap kerajaan persekutuan. Hal ni selangkah dengan tindakan Kerajaan Negeri Sarawak dulu yang bertindak saman Putrajaya sekiranya bayaran royalti minyak diorang tak dibayar. Tetapi berbeza pulak keputusannya dengan Sarawak, Kelantan masih belum berjaya menuntut semula hak perolehan royalti tersebut.

Ku Li pelik kenapa Kelantan diberi wang ehsan je, 5% ada dalam perjanjian Petronas-Kerajaan Negeri

Susulan kenyataan tersebut, Ku Li dah buka mulut. Tengku Razaleigh Hamzah, Pengerusi Pengasas Petronas kata pembayaran wang ehsan kepada negeri takde dalam Akta Kemajuan Petroleum. Dia berpandangan, perjanjian tu sebenarnya antara kerajaan negeri berkaitan di Malaysia dengan Petronas. Ia bukan perjanjian antara kerajaan negeri berkaitan dengan kerajaan persekutuan.

“Di bawah Akta Kemajuan Petroleum dan surat ikatan peletakhakan yang merupakan sebahagian daripada akta itu, anda tidak boleh membayar wang ehsan kerana tiada peruntukan untuk perkara itu di bawah akta berkenaan.

Perjanjian itu antara kerajaan negeri berkaitan di Malaysia dengan Petronas, ia bukannya perjanjian antara kerajaan negeri berkaitan dengan kerajaan persekutuan,”-seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today

pelantar minyak oil rig malaysia bernama 180319
Via Buletinonline

Petronas wajib bayar 5% kepada setiap negeri dalam persekutuan yang serahkan hak minyak dan gas diorang dulu. Dalam pengiraan 5% tu pulak ianya merupakan formula ringkas bekas KM Sarawak dulu, Rahman Ya’kub.

“(Rahman) ialah orang yang menawarkan formula ini supaya kita boleh meletakkan semua sumber minyak negara ke dalam Petronas, organisasi tunggal milik rakyat Malaysia, dan bukannya mana-mana negeri atau entiti.

Dan itu ialah pengiraan ringkas. Daripada wang yang diletakkan dalam Petronas, selepas semua kos diambil kira, Petronas kemudian membayar 5% kepada setiap negeri dalam bentuk pembayaran tunai setiap tahun. Tiada keraguan mengenainya.- seperti yang dilaporkan dalam Free Malaysia Today

Idea wang ehsan ni bermula secara tiba-tiba ketika zaman Dr. Mahathir dulu. Dia putuskan tak teruskan bayaran royalti 5% kepada Terengganu, lepas PAS ambil alih kerajaan negeri pada hujung 1990-an. Ia didakwa lebih kepada tujuan langkah politik je, iaitu bagi memastikan wang tu tak digunakan untuk tujuan politik oleh kerajaan negeri Terengganu di bawah PAS.

Namun jika diteliti, sukar nak tentukan berapa sebenarnya jumlah wang ehsan ni. Sementara 5% ni, kita boleh kira berapa perolehan pendapatan royalti minyak… wang ehsan tu pulak yang tak tau datang dari mana.

“Saya membawa draf perjanjian surat ikatan peletakhakan ini ke setiap negeri untuk diteliti kerajaan negeri kerana kita mahukan perpaduan. Dan semua kerajaan negeri mengambil masa mengkajinya.

Kemudian saya ke setiap negeri sekali lagi untuk berunding, bukan dengan Ketua Menteri atau Menteri Besar sahaja, tetapi dengan Exco juga dan mereka sangat gembira menerima apa yang dicadangkan oleh Sarawak.”- seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today

royalti pantai timur tiada
Keratan akhbar pada 2000-an nafikan kononnya takde minyak. Takde minyak, kenapa masih ada pelantar? – Via Buletinonline

Ku Li menegaskan sekali lagi, perjanjian tu mesti dihormati. Kalau Petronas nak terus bayar di bawah skim wang ehsan ni… boleh, silakan. Tetapi dalam perjanjian surat ikatan peletakhakan, yang merupakan sebahagian dari akta tu… diorang tak boleh lari daripada pembayaran royalti minyak sebanyak 5%.

Kesannya, ni turut memaparkan imej yang buruk kepada pelabur asing. Kalau kerajaan persekutuan, sebagai wakil Petronas, tak peduli tentang perjanjian yang dimeterai negeri berdaulat dengan persekutuan Malaysia… apa kelak nasib pelabur asing sekiranya diorang berminat melabur di Malaysia.

Dulu, wujud spekulasi bahawa para pelabur asing dah semakin kurang berminat nak ke Malaysia. Dikhuatiri sekiranya kerajaan persekutuan masih lagi memakai polisi zaman 90-an tu, ia boleh memberi impak kepada Malaysia amnya. Kami harap kegusaran Ku Li ni boleh dipertimbangkan semula. Sepatutnya hal macam ni tak perlulah masuk bab politik – kemajuan negeri adalah kemajuan bersama seMalaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published.