Kemelut Bersatu dikatakan akan selesai

f1

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini sedang melaksanakan tindakan susulan terhadap enam ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri selepas meminda Perlembagaan parti bulan lalu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tersebut dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan parti selaras Akta Lompat Parti.

“Saya dah maklum hari itu selepas kita (bincang) panjang lebar dan tidak perlu umumkan ini sebagai satu strategi.

“Prosedur itu kita akan patuh supaya tiada kesilapan pihak yang bertanggungjawab, yang penting perlu ambil terhadap mereka (enam ahli Parlimen),” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu

Sebelum ini media melaporkan, Bersatu menyerahkan kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk melaksanakan notis berhubung status kedudukan enam ahli Parlimennya yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Enam ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan akan berlaku boikot susulan meletakkan calon Melayu, Pengerusi PN itu menegaskan, tindakan sedemikian hanya akan merugikan rakyat Kuala Kubu Baharu.

“Sebagai pengundi, tak sepatutnya berbuat demikian. Kalau mereka boikot, ia beri kelebihan kepada calon Pakatan Harapan (PH) dan Bebas.

“Kalau mereka tidak puas hati, gunakan hak mengundi dan jadi pembangkang yang berkesan,” ujarnya.

PAS percaya pindaan Perlembagaan akan stabilkan Bersatu

Pas melihat keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang meluluskan pindaan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai langkah ke depan untuk parti itu menyelesaikan kemelut.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, melalui keputusan itu juga, Bersatu diharap dapat menyusun kaedah terbaik selepas mendapat kelulusan pelucutan keahlian wakil rakyat parti yang menyokong pihak bertentangan atau musuh.

Menurut beliau yang juga ahli Parlimen Pasir Mas, pihaknya yakin dengan kemampuan Bersatu dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Bagi Pas tidak ada penyelesaian terbaik melainkan diadakan pilihan raya kecil (PRK) di semua enam kawasan yang dikhianati oleh ahli-ahli Parlimen terbabit selain di Dewan Undangan Negeri Nenggiri dan Selat Klang.

“Pas juga mengucapkan tahniah kepada Bersatu atas keputusan ini sekali gus sebagai satu langkah ke depan bagi menyelesaikan segala konflik,” katanya ketika ditemui di Kelar pada Rabu.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa meminda perlembagaan parti itu bagi membendung wakil rakyatnya daripada memberi sokongan kepada lawan.

Pindaan membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Terkini, ADUN parti itu, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, mengulas kesediaan Pas berdepan PRK jika berlaku kekosongan kerusi-kerusi, Ahmad Fadhli berkata, parti tersebut sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.

“Pas mengucapkan terima kasih dan menyambut baik keputusan daripada RoS.

“Pas siap sedia sepanjang masa dan mengetahui rakyat sekarang ini insya-Allah akan menolak Kerajaan Perpaduan (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) yang akan ditunjukkan dalam PRK nanti,” katanya.

UMNO sedia hadapi PRK di Perak

Sementara itu, UMNO Perak sedia memasuki gelanggang sekiranya pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membolehkan pilihan raya kecil (PRK) peringkat Parlimen diadakan di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya bagaimanapun masih tidak jelas sama ada pindaan itu memberi kesan terhadap enam ahli Parlimen termasuk dua dari Perak berikutan pindaan itu berkuat kuasa, Isnin lalu.

Menurutnya, sebarang keputusan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat sama ada ia turut melibatkan Akta Anti Lompat Parti.

“Saya tidak pasti sama ada pindaan itu memberi kesan atau tidak kepada enam yang terlibat kerana pindaan itu tidak ‘backdated’, ia bukan dikuatkuasakan sebelum (sokongan dinyatakan).

“Tetapi pada masa sama, Speaker Dewan Rakyat akan membuat keputusan sama ada mereka terlibat terkesan dengan Akta Anti Lompat Parti. Jika terkesan dengan akta itu bermakna mereka gugur (ahli Parlimen).

“Apabila ada PRK, UMNO kena bersiap sedia memasuki gelanggang. Jika tidak ada pun tiada masalah, kita buat persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sempurnakan Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Perak kepada Pasukan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *