Fahmi minta Sanusi senyap, ini respon Sanusi

f1

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil minta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendiamkan diri daripada memberi sebarang komen mengenai masalah di negeri lain, sebaliknya fokus kepada negeri jelapang padi itu.

Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian ketika mengulas kenyataan Muhammad Sanusi semalam bahawa Perikatan Nasional (PN) akan ‘pecahkan lagi’ keretakan dalam hubungan antara MCA dengan PH.

“Saya rasa daripada dia sibuk tentang negeri lain, sibukkan diri dia untuk menyiapkan pelbagai projek yang telah diumumkan di Kedah sama ada Widad Group atau litar.

“Dia ini sembang banyak, siap tak banyak.

“Berbeza dengan Menteri Besar Selangor, umum dan kita lunaskan.

“Menteri Besar Kedah ni dah la dia ada kes hasutan melibatkan Sultan Selangor, jadi saya rasa diam jelah Sanusi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini hari ini.

Sanusi, yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata, keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam sebarang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan memberi kelebihan kepada gabungan itu.

Sebelum ini, MIC turut membuat keputusan sama atas alasan serupa.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian pada 11 Mei.

Mengulas mengenai pembatalan projek lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link), Fahmi meminta semua pihak termasuk Khairy Jamaluddin merujuk kenyataan Jabatan Kerja Raya jika mahukan maklumat mengenai perkara itu.

“Dia kena baca sekali dengan kenyataan (Jabatan) Kerja Raya. Saya dah sebut dalam sidang media sebelum ini selepas mesyuarat Kabinet bahawa akan ada kenyataan susulan daripada Kementerian Kerja Raya dan JKR telahpun keluarkan kenyataan,” katanya.

Fahmi berkata demikian bagi mengulas kritikan bekas Menteri Kesihatan itu yang dilaporkan mendakwa bahawa beliau tidak memiliki kepakaran untuk menjawab soalan mengenai projek PJD Link dan pembatalannya.

Pada 17 April lepas, beliau mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan meneruskan projek itu selepas syarikat konsesi gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan oleh Putrajaya.

Sanusi label Fahmi Menteri Gol dan Gincu

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang meminta beliau untuk berdiam berbanding memberikan komen berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

“Awat (kenapa) menteri gol dan gincu cakap macam itu? Takkan nak masuk (gelanggang) pilihan raya diam-diam. Kalau tuduh orang ada rumah RM7 juta, rupanya tuduhan itu tak betul, boleh la tutup mulut dok diam-diam… tu pun kalau ada rasa malu,” kata Sanusi dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Rabu.

Sanusi dipercayai membuat hantaran tersebut bagi menjawab kenyataan Fahmi pada Selasa, yang meminta beliau mendiamkan diri daripada memberi sebarang komen mengenai masalah di negeri lain, sebaliknya fokus kepada negeri Jelapang Padi.

Fahmi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sanusi sebelum itu yang mendakwa PN akan ‘pecahkan lagi’ keretakan dalam hubungan antara MCA dengan Pakatan Harapan (PH).

Sanusi dipetik berkata, keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam sebarang kempen di DUN Kuala Kubu Baharu akan memberi kelebihan kepada gabungan PN untuk menang PRK berkenaan.

“(Hubungan) mereka sudah retak, kita (PN ) akan pecahkan lagi menjadi belah. Itu kerja politik,” kata Sanusi.

Sebaliknya Fahmi membalas kenyataan dengan meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menyibukkan diri menyiapkan pelbagai projek yang diumumkan di Kedah termasuk pembangunan tambakan laut di Langkawi oleh Widad Group dan projek litar lumba di Sungai Petani.

Jumaat lepas, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA dilapor memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, MIC turut membuat keputusan sama atas alasan serupa.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon sementara hari pengundian pada 11 Mei.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *