Kerajaan mahu adakan PRU untuk Belia

f1

Kerajaan bercadang menganjurkan Pilihan Raya Umum (PRU) khas untuk belia, selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju menyerahkan semula Parlimen Belia kepada Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata penganjuran pilihan raya untuk belia itu mirip kepada pelaksanaan PRU yang dianjurkan lima tahun sekali membabitkan 222 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, beliau berkata perincian mengenai hal itu masih belum ditetapkan kerana ia masih dalam perbincangan dalam kalangan pemegang taruh, namun diharap ia dapat direalisasikan dengan umur individu layak mengundi boleh dipertimbangkan bagi memastikan pelajar sekolah boleh menjalankan tanggungjawab mereka.

Susulan itu, bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu turut mencadangkan umur individu layak mengundi bagi PRU belia dalam lingkungan 16 hingga 35 tahun.

“Kita akan buat penyesuaian kerana ketika ini Parlimen belia cuma membabitkan 100 orang dan kita akan tingkatkan ia kepada 222 orang. Maksudnya, semua kawasan Parlimen akan ada calon belia.

“Kita juga nak teliti bagaimana kita boleh laksanakan PRU belia membabitkan mereka yang berumur 16 atau 17 tahun sekarang yang ada pada peringkat pelajar sekolah boleh menjadi Ahli Parlimen.

“Matlamat kita adalah untuk lihat penyertaan masyarakat memilih Parlimen belia dan proses itu harus diuji. Ini kerana, saya berpandangan, rakyat Malaysia harus melihat dan memberi peluang kepada pemimpin muda dan untuk itu, banyak pelaburan perlu dibuat.

“Secara peribadi, saya rasakan kita perlu labur banyak terhadap belia dan kena betulkan apa yang berlaku dari segi sistem (Parlimen sekarang). Kalau kita tak buat, akan berlaku kepemimpinan yang tidak sepadan,” katanya pada sesi soal jawab dengan media sempena perjumpaan bersama ketua pengarang media dan agensi berkaitan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari mengakui agak sukar untuk mendidik belia sekarang khususnya yang berada pada peringkat sekolah dan menara gading mengenai hal ehwal politik.

Ini kerana, katanya, selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) diperkenalkan, ia memberi kesan terhadap pendemokrasian, sistem sosial dan politik di negara ini, terutama membabitkan pelajar di institusi pengajian tinggi.

“Saya tidak kritik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM). Selepas AUKU diperkenalkan, debat demokrasi, debat sistem ini dan isu lain seperti sosial umpama menyekat. Ia pun ada kesan sampai ke peringkat sekolah dan universiti.

“Pelajar kita tak berminat dalam politik dan masalah sosial kerana ada perkara lebih menarik mereka untuk mengejar pencapaian akademik. Macam di sekolah, ramai yang nak skor A, namun detik mereka bergraduasi, mereka tiada kerja bahkan terperangkap dalam sistem.

“Justeru, kita nak bawa kembali kesedaran kepada belia dan lahirkan satu kumpulan manusia untuk bercakap mengenai isu ini.

“Walaupun kita sudah turunkan umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun, apabila mereka ini keluar sekolah dan terus mengundi tanpa ada latar belakang.

“Jadi tak adil kepada mereka kerana mereka tak dilengkapi dengan maklumat, (pengetahuan mengenai) Parlimen beliau. Kalau boleh turunkan umur kepada 16 hingga 35 tahun untuk pengundi seluruh Malaysia,” katanya.

Dapatan Ilham Centre buktikan orang muda berbeza

Kajian mendapati pengundi muda tidak berminat untuk menjadi sebahagian parti politik walaupun datang daripada keluarga aktivis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata kebanyakan mereka berusia antara 17 hingga 21 tahun.

Kajian Ilham Centre mendapati pengundi belia ini lebih suka bebas dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

Namun Hisomuddin berkata, walaupun tidak memihak kepada mana-mana parti politik, golongan itu lebih cenderung kepada isu politik yang dimainkan di media sosial termasuk menyentuh isu agama, bangsa dan royalti.

“Mereka ini lebih berminat dengan isu di media sosial terutamanya TikTok. Kita lihat dalam pilihan raya lalu isu yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) lebih dekat berbanding Pakatan Harapan (PH).

“Isu itu walaupun agak sensitif, ia lebih dekat dengan belia, disebabkan itu undi pergi kepada PN. Mereka mendapat manfaat daripada pengundi muda terutama Melayu.

“Tetapi itu tidak bermakna belia terbuka untuk menyertai mereka. Mereka tidak mahu ‘diikat’,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal.

Tambahnya, ketika ditanya mengenai sebab utama mereka berbuat demikian, pihaknya tidak menerima sebarang jawapan kukuh.

Mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun dapat mengundi berikutan pelaksanaan Undi18, yang menurunkan umur mengundi daripada 21 tahun.

Setakat ini, ada seramai 1,393,549 pengundi daripada kumpulan umur ini dalam daftar pemilih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *