7 bulan dah naik jadi ahli lembaga empat syarikat besar, ini sebab kenapa Azri Azerai dipilih

wargabiz azri

Baru-baru ni, kita dah mulai kenal nama sorang pemuda yang baru masuk umur 20-an. Nama Azri Azerai naik selepas tularnya laporan berita yang secara rasminya meletakkan Azri Azerai sebagai salah sorang ahli lembaga dan pengarah eksekutif syarikat tersenarai Bursa Malaysia. Bukan satu je ye… tapi empat syarikat Bursa Malaysia. Semuanya dalam masa 7 bulan je. Namun begitu, kisah ni jugak mengundang banyak kritikan, kecaman dan tak kurang jugak, persoalan tentang sejauh mana kredibiliti Azri Azerai.

Ye lah, dia muda lagi dan dianggap tak banyak pengalaman yang boleh beri nilai tambah kepada syarikat-syarikat besar ni. Lagipun, dia ni ada jugak semasa kemelut Serba Dinamik pada tahun lalu. Bila dilihat institusi pendidikannya pulak, ada yang kata tak cukup berprestij malah lebih ‘rendah’ ranking-nya berbanding Universiti Malaya sendiri. Tengok dari sejarah pekerjaannya, semua terus letak dia jadi ahli lembaga. Adakah ni kerana dia benar-benar layak atau kaitan kekeluargaannya dengan sorang lagi ahli perniagaan Melayu? Jom singkap isu ni…

azri azerai
Ni lah Azri Azerai.. -Via The Star

Jadi ahli lembaga pengarah serta-merta lepas tamat Ijazah Sarjana Muda dari London, ada pengalaman masa jadi pelatih

Azri Azerai, atau nama penuhnya Noor Azri Azerai hanya ‘naik’ ke pengetahuan umum selepas tularnya perkongsian warganet tentang Azri ni. Sebenarnya dah lama pun dia dilantik jadi pengarah eksekutif syarikat besar Bintai Kinden. Sejak Julai tahun 2021, ketika dia hanya berusia 22 tahun; wajahnya dah acapkali terpampang dalam berita korporat. Ikut carian kami, banyak dah rancangan korporat Bintai Kinden yang dah dijalankan sepanjang bulan-bulan dia jadi pengarah eksekutif Bintai Kinden. Yang dapat kami temui antaranya:

  • Membangunkan tanah industri dekat KLIA bersama Charter Built Sdn Bhd.
  • Kolaborasi bersama Institut Jantung Negara untuk bangunkan vaksin Covid-19
  • Berjaya perolehi saham bernilai RM50 juta dalam Johnson Medical International Sdn Bhd, sebuah syarikat berfokuskan perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal
  • Jadi pemegang saham terbesar dalam Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC), syarikat genom dan biofarmaseutikal
azri azerai bintai
Via The Star

Bila kita tengok senarai ni, banyak jugaklah benda dia dah buat semasa dia berada dalam Bintai Kinden dan sekilas pandang… nampaklah dia pun ‘bekerja’ jugak. Namun apa sebenarnya yang mengundang pelbagai kecaman dan kritikan ke atasnya? Hah.. ramai ragu dengan kebolehan dan kredibilitinya atas beberapa hal. Sebagaimana yang dinyatakan dalam portal Titiwangsa Today dan Edgeprop; bukanlah suatu yang luar biasa jika seseorang individu untuk dilantik sebagai pengarah meskipun dia bukan pemegang saham. Namun biasanyalah, kebanyakan pengarah yang dilantik bawa banyak pengalaman atau ada latar belakang yang kukuh dalam bidang berkaitan, ataupun hanya duduk sebagai proksi kepada pemegang saham yang besar. Jadi Azri Azerai ni yang mana satu?

Menurut Bintai Kinden, Azri Azerai dah tamatkan pengajian dengan ijazah kepujian dalam kewangan, pelaburan dan risiko daripada The London Institute of Banking & Finance pada 2021. Maksudnya, dia dilantik ke posisi lembaga pengarah hampir serta-merta lepas bergraduasi. Azri dikatakan ada jugak sedikit pengalaman dalam kewangan korporat, pelaburan ekuiti dan derivatif komoditi semasa jadi pelatih kat M&A Securities Sdn Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd. pada 2018. Antara pengalaman yang diyakini Bintai Kinden termasuklah menguruskan portfolio bernilai tinggi.

bintai kinden
Via Bintai Kinden Corporation Berhad

Sejak graduasi pada 2021, dah diangkat jadi ahli lembaga syarikat besar termasuk Serba Dinamik

Mengikut maklumat dalam Bloomberg, Azri Azerai ni sejak Julai 2021… dah jadi ahli lembaga pengarah Bintai Kinden. Kemudian pada bulan November 2021… dia dilantik jadi ahli lembaga pengarah bukan eksekutif dalam dua syarikat iaitu NWP Holdings dan Serba Dinamik. Dalam tahun ni pulak, dia jadi ahli lembaga pengarah bukan Sarawak Consolidated pada Mac. Sekarang ni, dia masih lagi jadi pengarah eksekutif Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC) dan Bintai Kinden.

Tahun lalu boleh dianggap tahun yang kurang baik bagi Serba Dinamik. Kami dah kupas sikit tentang isu Serba Dinamik dahulu. Dapat diringkaskan, pihak pengaudit KPMG dakwa berlakunya aliran wang yang mencurigakan dalam Serba Dinamik. Hal ni menyebabkan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia pun ambil tindakan ke atas Serba Dinamik. Semasa tempoh ni, empat ahli lembaga Serba Dinamik letak jawatan. Jadi pada November tahun lalu, Serba Dinamik kemudiannya umumkan diorang lantik Azri Azerai untuk mengisi satu dari dua kerusi pengarah bebas bukan eksekutif (INE) baharu.

Satu lagi yang menarik perhatian kami adalah hal pemegangan saham terbesar dalam MGRC. Oleh sebab Bintai Kinden dah pegang saham terbesar tu, jawatan Azri Azerai disusun semula menjadi Pengarah Eksekutif MGRC berkuatkuasa 16 Februari 2022. Susulan penyusunan semula tu berlaku, Bintai Kinden pun susun jugak jawatan Azri Azerai menjadi Pengarah Eksekutif. Sebelum tu di Bintai Kinden, Azri jadi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden.

Lebih mudah digambarkan, Azri Azerai ni ‘dipindahkan’ dari jawatankuasa tertinggi Bintai Kinden menjadi ahli lembaga Bintai Kinden sementara dia jadi Pengarah Eksekutif MGRC. Begitulah dunia korporat ye gais… hanya berpindah-pindah je untuk memudahkan pengurusan syarikat-syarikat yang dah dikawal sahamnya. Sesudah MGRC, kerjaya Azri Azerai sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif di Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) bermula pada 17 Mac.

Azri Azerai adalah anak kepada pencadang idea bot terbang, dibangunkan di Melaka

Bila kita tengok latar belakang kerjaya Azri Azerai ni, ramai jugak kata ni semua berkat ‘kabel’ dari bapanya, Datuk Seri Noor Azerai Ahmad. Bapanya ni ahli perniagaan terkemuka Malaysia, dan pernah mencatat sejarah dalam mencadangkan kapal persiaran yang boleh terbang pada ketinggian 150meter atas permukaan rata. Dalam bahasa Inggeris, “Multipurpose Wing-In-Ground Effect” atau teknologi WIG – ia dipercayai dibangunkan semasa Perang Dingin untuk tujuan peperangan oleh USSR. Asasnya, ia sebuah bot atas air yang dilengkapi dengan sayap dan turbin kipas. Kesan luncur pada bot tu dapat mudahkan ia terbang secara terkawal sekurangnya pada ketinggian 150 meter.

Pada 2015, bot teknologi WIG ni dibangunkan di Melaka. Menurut Ketua Menteri Melaka ketika tu, Datuk Seri Idris Haron:

“Pengeluaran bot terbang ini tertumpu kepada pelanggan komersial terutama dari luar negara atau operasi membabitkan pihak keselamatan. Buat masa ini syarikat ini beroperasi di Masjid Tanah di atas tapak seluas dua hektar.

Dengan pembukaan kilangnya di kawasan seluas 35.6 hektar di Teluk Gong yang dijangka siap pada 2017 dan dilengkapi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pusat latihan, Melaka bakal menguasai keseluruhan rantaian teknologi pengeluaran bot terbang serta pembekal utama jentera itu di peringkat global,”- seperti yang dilaporkan Harian Metro

Pelancarannya dilangsungkan dalam sebuah majlis di 2017. ; pembangunan dan pembinaan kapal jenis ni akan menarik lebih banyak pelabur ke negeri tersebut. Ia dibina oleh Aron Rinani, dengan menggunapakai teknologi dari Korea Selatan. Noor Azerai Ahmad, presiden Aron Rinani kata 100 unit dah ditempah dan unit pertama tu akan siap pada 2017 dengan harga RM3.5 juta. Masa tu, dia kata kilang diorang hanya dapat bina 7 unit setahun. Solusinya, diorang nak tambah lagi satu kilang di Teluk Gong, Alor Gajah yang diramalkan boleh bina 50 kenderaan ni setahun.

Kembali kepada anaknya, Azri Azerai dan penglibatannya dalam dunia korporat… adakah ni berkat usahanya sendiri atau berkat kekeluargaannya dengan bapanya? Yang kita pasti, Azri Azerai masih dilihat dan diharapkan menjadi tenaga muda yang berpotensi mengembangkan syarikat-syarikat besar milik Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *