Gadis ni sanggup terbang 6,700km ke Azerbaijan kerana Arsenal

Rakyat Malaysia memang fanatik bola sepak, terutamanya Liga Perdana Inggeris. Tapi berapa ramai antara kita yang sanggup travel 6,735 kilometers ke negara asing seperti Azerbaijan semata-mata untuk bagi sokongan kepada pasukan kegemaran?

Untuk Nurul Nadiah Azlan, 34, nampaknya tak ada apa boleh menjadi halangan. Gadis yang berasal dari Selama, Perak itu menjadi bahan tular media sosial baru-baru ini kerana menjadi salah seorang (mungkin satu-satunya orang Malaysia) yang sempat menyaksikan perlawanan final Europa League di antara Chelsea dan Arsenal di Stadium Olimpik, Baku, Azerbaijan.

Demi The Gunners, Nurul Nadiah atau lebih dikenali sebagai Nadia Azlan di laman sosial, memulakan perjalanannya dari Kuala Lumpur- Bangkok-Istanbul-Baku yang mengambil masa 26 jam…lebih satu hari! Walaupun perlawanan berakhir dengan kekalahan untuk Arsenal, sudah pasti pengalaman yang dirasai di Baku lebih bermakna.

https://twitter.com/NadiaAzlan/status/1132526867561324544

ORANGKATA sempat menemubual Nadia (ketika dia berada di Azerbaijan) untuk bertanyakan kenapa dia sanggup buat kerja “gila” tu, selain menceritakan sikit pengalaman dia sebab mana lah tau boleh jadi inspirasi untuk orang lain.

1. Sebenarnya kami nak tahu, kenapa Arsenal?

Saya bermula sebagai seorang peminat bola sepak. Tetapi saya betul-betul mula menyokong Arsenal sejak Thierry Henry menyertai pasukan. Kelincahan dan kehebatannya menjaringkan gol membuatkan saya jatuh cinta pada The Gunners.

Nadia bersama idola bolanya (patung) Thierry Henry

2. Berapa lama berfikir sebelum mengambil keputusan untuk ke Baku?

Saya tidak mengambil masa yang lama untuk buat keputusan ke Baku. Sebaik sahaja selepas Arsenal menang ke atas Valencia, saya terus menghubungi rakan saya yang berkerja di Azerbaijan untuk bertanyakan tentang tiket final. Saya tak fikir panjang dan terus mula merancang perjalanan saya.

3. Nadia pergi bersendirian, suami tak risau ke? Ahli keluarga lain bagaimana?

Saya pergi bersendirian kali ini kerana suami saya perlu berkerja. Tetapi dia banyak memberi semangat kerana dia sendiri juga banyak kali mengembara ke negara lain kerana bolasepak. Dia menyuruh saya mengambil peluang ini kerana bukan mudah untuk menonton aksi pasukan kegemaran di pentas final. Peluang yang jarang datang! Keluarga saya pula pada mulanya agak risau kerana saya pergi tanpa suami saya, tetapi saya berjaya meyakinkan mereka.

Nadia mengembara seorang diri ke Baku

4. Berapa lama rancang perjalanan dan aktiviti? Sebelum ni pernah tak buat macam ni?

Ini merupakan kali kedua saya ke Eropah dan pertama kali pergi seorang diri. Saya telah mencari sebanyak mungkin maklumat berkenaan Azerbaijan dalam masa yang singkat. Alang-alang dah sampai, saya mahu teroka sebanyak mungkin berkenaan negara yang terkenal dengan julukan “Land of Fire” ini.

Cantik juga Baku ni

5. Jarang kita dengar orang kita nak travel ke Azerbaijan, boleh ceritakan apa yang menarik?

The Land of Fire, Azerbaijan benar-benar di luar jangkaan saya. Ibu kotanya modern, dengan senibina lama dan baru setanding Dubai. Patutlah Baku berada dalam 10 destinasi yang wajib dikunjungi untuk kehidupan malam kota menurut Lonely Planet. Kawasan pedalaman luar ibu kota sangat indah bagaikan lukisan dan paparan kertas dinding. Saya berkesempatan keluar lebih 200km dari ibu kota Baku ke perbatasan Azerbaijan-Rusia. Kali kedua saya jatuh cinta sekali lagi dengan negara ini apabila saya berada di Khinalug, melihat sendiri perkampungan di atas pergunungan Caucasus.

via Twitter

6. Apakah perasaan setelah menjadi saksi kepada perlawanan final pertandingan Eropah?

Buat masa sekarang, sudah pasti saya masih bersedih dengan kekalahan Arsenal. Namun pengalaman berada di Stadium Olimpik Baku sangat luar biasa dan ada kelasnya tersendiri. Rapi, bersih, sistematik dan selamat. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada pengurusan stadium di sini. Percaya atau tidak, penggunaan kereta tidak dibenarkan sekitar 2km dari stadium. Jadi penonton perlu menaiki bas yang disediakan atau berjalan kaki dari tempat letak kereta yang jauhnya lebih 2km dari stadium. Tiada masalah trafik langsung sepanjang perjalanan ke stadium. Sangat sistematik!

Siapa sangka stadium di Azerbaijan begitu cantik dan sistematik

Aura pertandingan akhir juga sudah kuat dirasai 5 hari sebelum sepak mula kerana penganjur mengadakan acara festival untuk peminat bola sepak di Baku Promenade dengan bermacam-macam pengisian. Menonton perlawanan akhir di negara asing yang bukan merupakan destinasi pilihan utama orang Malaysia tidak jauh bezanya dengan menonton perlawanan bola sepak di negara sendiri. Suasana stadium di Baku semalam tidak begitu padat memandangkan masalah-masalah logistik yang dihadapi penyokong pasukan dari UK mahupun dari serata dunia.

UEFA menganjurkan festival peminat di perkarangan Stadium

Namun jeritan sokongan masih bergema hingga ke luar stadium. Apa yang kurang ialah mereka perlukan penyokong seperti Ekor Harimau Malaya kita. Lebih hebat bersorak, lebih kreatif, lebih energetik!

7. Pastinya kekalahan tu tak mematahkan semangat untuk membuat trip macam ni sekali lagi kan?

Sudah tentu ini tidak akan menjadi kali terakhir saya akan membuat ‘kerja gila’ ini. Tapi mungkin selepas ini saya akan pergi bersama suami saya pula. Berdua lebih indah.

Setuju…bayangkan dapat lihat pemandangan indah begini dengan pasangan

8. Sebelum kita berakhir…nampaknya Arsenal tak menang apa-apa piala musim ni, apa pendapat anda tentang Unai Emery?

(Tugas Emery) bukanlah satu yang mudah terutamanya dengan legasi Arsene Wenger yang masih kuat di Arsenal. Rekod Emery sebenarnya cukup cemerlang terutamanya ketika bersama Sevilla (kemudian PSG). Musim ini mungkin sedikit sukar, tetapi saya yakin Emery adalah orang yang tepat untuk menaikkan semula Arsenal.

Pengalaman yang tak mungkin mengecewakan
9. Apa pesanan Nadia kalau ada yang nak lakukan perkara yang sama?

Jika anda cintakan pasukan anda, tidak kira dari dalam mahu pun luar negara, anda perlu sedia berkorban. Tidak kira wang atau masa. Cubalah sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup. Perkara seperti inilah sebenarnya yang membuatkan kita lebih menghargai kehidupan.

 

Selain berborak tentang bola, Nadia juga banyak cerita tentang pengalaman mengembaranya di Twitter @nadiaazlan dan Instagram @nadiaazlan_

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *