займ срочно

Serba Dinamik, syarikat yang pernah berjaya akhirnya menjunam teruk akibat kecuaian

f1
Serba Dinamik, syarikat yang pernah berjaya akhirnya menjunam teruk akibat kecuaian

Isu Serba Dinamik ni menarik untuk kita ambil tau, sebab ni merupakan isu yang melibatkan pemegang-pemegang saham wang rakyat kebanyakan. Serba Dinamik ni jugak adalah syarikat tempatan yang besar, dan dikenali ramai khususnya dalam bidang minyak dan gas. Tak hairanlah, isu kali ni agak hangat diperkatakan sehingga saham Serba Dinamik pun boleh jatuh teruk bila orang dah tau apa isu yang membelenggu syarikat tersebut.

728 X 90

Bukan tu je, isu ni turut membangkitkan beberapa persoalan penting tentang kod tadbir urus sesebuah syarikat GLC yang terkemuka di peringkat antarabangsa. Yang lebih penting, tindakan sivil yang diambil oleh Serba Dinamik jugak menimbulkan lebih banyak spekulasi lagi-lagi bila beberapa ahli pengarah pun dah letak jawatan.

serba dinamik
Via Focus Malaysia

Dulu jadi syarikat yang berjaya, kini terus diuji lepas saham menjunam teruk akibat isu audit

Mungkin tak ramai yang kenal syarikat apa sebenarnya Serba Dinamik ni. Tiba-tiba je sohor kini kat alam maya, ada skandal melibatkan audit kewangan dengan syarikat audit terkemuka jugak. Perkenalan kita tentang Serba Dinamik mungkin tak bermula dengan baik, tetapi suatu masa dulu… Serba Dinamik ni memang syarikat yang berprestasi tinggi.

Secara sejarahnya, Serba Dinamik mula beroperasi pada 1993 di Sarawak sebagai syarikat perkhidmatan pengoperasian dan jentera yang ada kaitan dengan bidang minyak dan gas. Pada 2001, diorang dah beroperasi di luar negara menerusi kontrak dengan loji gas asli di Qatar. Kemudian pada 2016, syarikat ni berubah daripada syarikat persendirian jadi syarikat awam berhad. Setahun kemudian, diorang berjaya masuk pasaran saham Malaysia. Pada masa tu, saham diorang ni antara tawaran awam awal terbaik di Bursa.

serba dinamik berjaya
Via The Borneo Post

Menjelang 2020, Serba Dinamik mulai mempelbagaikan sumber pendapatan dan kurangkan kebergantungan kepada industri minyak dan gas. Fokus utama termasuklah bidang teknologi maklumat, aeroangkasa serta sukan elektronik. Kepelbagaian ni sepatutnya memacu lagi perkembangan Serba Dinamik sebagai sebuah syarikat yang ‘serba dinamik’ pada tahun-tahun akan datang.

Sebaliknya pada tahun ni pulak, Serba Dinamik menjunam jatuh dengan pantas di Bursa. Dari mana titik tolak kejatuhan ni? Salah satu isu yang buatkan para pelabur risau adalah isu audit kewangan diorang. Pada Mei 2021, pihak KPMG dakwa terdapatnya sejumlah aliran wang yang disifatkan mencurigakan dengan nilai sebanyak sekurang-kurangya RM3.5 bilion. Untuk pengetahuan korang, KPMG adalah sebuah syarikat perkhidmatan audit yang profesional dan antara ‘Big Four’ bersama syarikat besar lain seperti Deloitte, Ernst & Young dan PwC.

kpmg
Via The Edge Market

Oleh disebabkan laporan audit ni, Suruhanjaya Sekuriti kita lancarkan siasatan ke atas Serba Dinamik atas aliran wang tersebut. Sementara tu, Permodakan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) pun mula risau dengan dapatan laporan KPMG berkaitan aliran wang yang tak diketahui tujuannya tu. Kontrak dan transaksi berjumlah RM3.5 bilion, dengan 11 pelanggan yang tak dapat dikenalpasti – pastinya ni akan menggusarkan sesiapapun terutamanya para pemegang saham. KSWP pegang 10.15% pegangan saham diikuti Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sebanyak 5.25%.

Oleh disebabkan hasil dapatan laporan tersebut, ramai jual saham diorang sehingga saham Serba Dinamik jatuh teruk hingga ke nilai terendah dalam sejarah penyenaraian Serba Dinamik pada Bursa Saham Malaysia. Pada Jun 2021, dicatatkan kejatuhan tersebut sebanyak RM3 billion, iaitu lebih kurang separuh nilai pasaran asal. Bila Serba Dinamik jatuh, beberapa syarikat lain yang dipegang saham utamanya oleh Datuk Ir. Mohd Abdul Karim Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik iaitu Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) dan KPower Berhad (KPower) terjejas teruk.

bursa serba dinamik sarawak minyak
Kaitan Terhadap Serba Dinamik, SCIB dan KPower.. -Via The Kapital.my

Serba Dinamik failkan saman kerana cuai, tukar kepada syarikat audit lain ketika ramai ahli pengarah letak jawatan

Lebih menyukarkan keadaan, Serba Dinamik kemudiannya nak saman balik KPMG atas dakwaan kecuaian dan spekulasi negatif yang diakibatkan oleh laporan audit diorang pada Jun 2021. Selain dakwaan cuai, KPMG disaman jugak sebab melanggar tugas kontrak serta perundangannya kepada syarikat tersebut.

Di pihak Serba Dinamik, KPMG ni yang buat hal dulu. Ketika dalam proses audit, diorang dikatakan ‘menimbulkan masalah’ dalam usaha dapatkan pelbagai pengesahan daripada pelanggan dan vendor kumpulan mengenai pelbagai hutang dan pemiutang. Perkara tu pernah dibangkitkan pada 3 Mei lalu dalam sebuah mesyuarat Lembaga Pengarah Khas. KPMG dikatakan diorang seolah tak bersedia selesaikan audit sehingga kajian bebas dilaksanakan oleh pihak ketiga terhadap penemuan yang dikemukakan oleh KPMG. Penemuan tersebut disifatkan tak penting sehingga perlukan kajian bebas.

Berkenaan isu laporan “individu tak wujud” tu:

“KPMG juga melakukan lawatan ke lokasi membabitkan vendor Serba Dinamik dari Asia Barat untuk mengesahkan keberadaan pejabat mereka dan menyimpulkan bahawa pejabat itu tidak wujud.

Namun, setelah kumpulan melaksanakan pemeriksaaan, didapati KPMG tersalah alamat kerana alamat vendor itu mempunyai gabungan angka dan huruf Arab yang disalah tafsir juruaudit luaran itu. Bukti alamat dan pejabat yang betul sudah diberikan oleh Serba Dinamik tetapi KPMG enggan mengesahkannya,”- Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, seperti yang dilaporkan Berita Harian

KPMG meletak jawatan sebagai juruaudit bebas Serba Dinamik, dan kini Serba Dinamik lantik Ernst & Young Consulting Sdn Bhd pulak sebagai penilai bebas. Susulan isu audit tersebut, KWSP dilaporkan melupuskan 481,000 saham dalam Serba Dinamik, mengurangkan pegangan sahamnya kepada 9.90%. Walaupun dengan tindakan pelupusan tu, KSWP masih lagi pemegang saham utama dengan 367,411 juta saham lagi.

Di samping itu, sahamnya terus susut lagi dengan khabar empat pengarah bebas bukan eksekutif letak jawatan berikutan perbezaan pandangan tentang langkah syarikat ambil tindakan undang-undang ke atas KPMG. Empat pengarah tu adalah Hasman Yusri Yusoff, Datuk Seri Tengku Hasmuddin Tengku Othman, Sharifah Irina Syed Ahmad Radzi dan Rozilawati Basir. Sorang lagi letakkan jawatan, iaitu Masleena Zaid, atas alasan ‘komitmen peribadi’.

ahli pengarah berhenti serba dinamik
Via Dagangnews

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pulak menggesa agar kerajaan tolong selamatkan Serba Dinamik dan menegur tindakan KSWP dan PNB lepaskan saham tersebut sebagai suatu tindakan yang beri impak kepada pelabur kecil, syarikat dan kakitangannya. Tak ketinggalan, PPIM turut menyeru bangsa Melayu untuk beli 100 unit saham sebagai tanda sokongan.

“Kami menyokong tindakan menyaman auditor KPMG sebagai langkah memulihkan integriti korporat dan seterusnya mengembalikan keyakinan pelabur kepada saham Serba Dinamik. Tindakan auditor berkenaan dengan jelas telah menghilangkan keyakinan pelabur dan menyebabkan penurunan saham berjumlah lebih RM5 bilion.

Kami pelik dengan apa yang berlaku dan keputusan pra matang yang tidak profesional oleh badan audit KPMG, betapa tergesa-gesanya dan berlaku sebelum ada pembuktian yang konklusif,- kenyataan bersama Nadzim Johan dan Mohd. Fadzil, wakil PPIM, seperti yang dilaporkan PPIM.org.my

KPMG membidas kenyataan Serba Dinamik, dan menyimpulkan bahawa tindakan saman tu takde asas perundangan langsung pun. Diorang kata proses audit tu ikut protokol dan piawaian antarabangsa, serta yakin bahawa dalam hal ni… diorang takde salah apapun dan cuma lakukan kerja diorang.

saham kpmg serba dinamik jatuh
Saham terus jatuh lepas KPMG..-Via The Edge Market

Bagi kami, tak salah sekiranya ada orang nak beli saham Serba Dinamik ketika tengah jatuh sekarang. Bila tengah jatuh, harga pun murah. Dari sudut pragmatik, pembelian saham ni sedikit sebanyak boleh menguntungkan lebih ramai pelabur kecil. Namun bagi kod tadbir urus tu sendiri di peringkat syarikat GLC, ni suatu yang membimbangkan lagi-lagi apabila wujudnya laporan audit yang mendakwa ada berlaku ketidaktelusan dan unsur-unsur penipuan di dalamnya.

Kami harap agar perkara ni dapat diselesaikan dengan baik, dan begitu jugak dengan keputusan nak saman KPMG. Sekiranya kes tu berjaya diteruskan hingga ke peringkat perbicaraan, ia tentunya akan memberi impak yang besar kepada kedua-dua pihak.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top