Najib minta UKM beri kebebasan? Lupa apa BOSSKU?

Najib minta UKM beri kebebasan? Lupa apa BOSSKU?

Baru-baru ni mantan Perdana Menteri, DS Najib Razak kecewa kerana program yang menjemput dirinya ditangguhkan oleh UKM. Dia menyebut bahawa dirinya mempunyai jasa yang besar terhadap UKM – memandangkan UKM ditubuhkan oleh Tun Abdul Razak dan semasa menjadi PM dia banyak beri peruntukan pada UKM. Dia siap cakap – jasanya lebih besar dari Lim Kit Siang yang pernah dijemput masuk ke UKM. Dia buat sidang media weh, tentang benda ni.

Selesai solat Jumaat dia – dia siap berdemo di hadapan masjid UKM. Rare betulkan, Najib berdemo. Dia berdemo bersama mahasiswa UKM bagi menyatakan bantahan terhadap pengangguhan program yang kami sebutkan tadi. Tapi ada satu benda yang Najib terlupa, pada tempat yang samalah – beberapa mahasiswa UKM tercedera kerana menyatakan bantahan terhadap Pilihan Raya Kampus UKM. Lupa apa bossku?

UKM ada jelaskan yang sebenarnya program ni ditangguhkan, bukan dibatalkan. Dan hal ni melibatkan HEPA UKM.

Dua mahasiswa ditangkap polis di kawasan yang sama Najib Razak berucap

Dua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditahan ketika berdemonstrasi membantah keputusan pilihan raya kampus di dua fakulti. Kedua-dua aktivis kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) itu –  Muhammad Huzaifah Jusof Khadidi dan Muhd Zarimi Mohamad @ Abdullah – ditahan di masjid universiti UKM pada tahun 2010. Kira-kira 30 polis mengawal keadaan sejak sebelum waktu solat Jumaat lagi.

Via TTC

Mereka bagaimanapun dibebaskan 30 minit selepas itu dan diminta ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Kajang petang ini untuk memberikan keterangan. Masa tu pro-M menganjurkan demonstrasi bagi membantah keputusan pilihan raya di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Alam Bina yang didakwa tidak tepat. Ini antara yang ayat diorang;

“Mengikut kiraan kita, kita menang di kedua-dua fakulti tersebut, tetapi keputusan yang diumumkan berbeza.”

Selama beberapa dekad, adalah haram bagi pelajar universiti Malaysia untuk mengambil bahagian atau menyatakan pendapat politik mereka sejak AUKU diperkenalkan untuk membendung aktivisme pelajar. Bossku dah lupa?

Boss dah lupa? Zaman Barisan Nasional dulu berapa banyak orang yang dihalang

AUKU bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan – jika kita merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 31 Oktober 2011 yang memutuskan Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara. Tapi boss, apa usaha boss untuk hapuskan AUKU?

Via Tenor

Keputusan salah seorang hakim dalam kes UKM4, iaitu Yang Arif Mohd Hishamudin Mohd Yunus dalam keputusannya telah menetapkan bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU mencengkam kebebasan bersuara mahasiswa-mahasiswi dan ianya tidak membantu untuk melahirkan golongan berfikiran kritikal yang boleh membantu pembangunan negara.

Bossku, jelas mesej yang ingin disampaikan oleh Hakim kepada Parlimen – Seksyen 15 (5) (a) ini tak sesuai dengan zaman moden dan sudah sampai masanya untuk memansuhkan klausa-klausa yang menekan kebebasan bersuara mahasiswa-mahasiswi.

Malangnya, pada pandangan kerajaan yang dipimpin oleh bossku masa tu, undang-undang ni hanya merupakan alat untuk menekan perbezaan pandangan dalam kalangan mahasiswa. Seruan dan mesej daripada keputusan ini langsung tidak dihirau.

Apa yang menyedihkan ialah walau pun keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak berasaskan sebarang kepentingan politik, Kabinet memilih untuk mendiamkan diri dan menyerah kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan. Ini menunjukkan bahawa kerajaan bossku masa tu langsung tidak ikhlas untuk melaksanakan sebarang pembaharuan.

Jangan jadi orang yang pelupa, bossku

Kebebasan akademik adalah sesuatu yang diperlukan – sekiranya kita mahu negara kita bergerak ke hadapan. Peranan mahasiswa dan akademia dalam membantu proses pembinaan negara bangsa diperlukan, dan peranan mereka sering dibantutkan oleh kehadiran AUKU yang sering digunakan oleh bossku satu ketika dahulu. Oleh itu, bossku jangan terlalu bersedih jika dihalang sedikit, ia terlalu sedikit jika nak dibandingkan apa yang dilalui oleh aktivis siswa atau politikus sebelum ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print