Cadang tambah kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak, ambil peluang tempias pembangunan Kalimantan

kota kalimantan nusantara indonesia1

Persoalan pembangunan Sabah dan Sarawak semakin mendapat tempat dalam hal-hal semasa. Dah banyak sebenarnya peluang-peluang perubahan yang tercipta dan diberikan kepada Sabah dan Sarawak. Diorang perlahan dah diberi autonomi yang lebih jelas untuk kerajaan negerinya, manakala semangat Perjanjian Malaysia 1963 tu pun tak lagi tentang ‘nak keluar dari Malaysia’. Ditambah lagi, pindaan baharu berjaya diluluskan dan kini dianggap mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi membentuk Malaysia pada 1963 dahulu. Susulan dengan tu, Sarawak baru-baru ni dah luluskan tukar gelaran Ketua Menteri menjadi ‘Premier’ Sarawak bagi menampakkan lagi autonomi diorang untuk tentukan politik dalaman diorang sendiri.

Isu-isu pembangunan kat Sabah dan Sarawak kini akhirnya dibincangkan lebih meluas lagi, terutamanya selepas komitmen Presiden Indonesia, Joko Widodo. Sebelum ni, Indonesia putuskan nak pindahkan ibu negara diorang dari Jakarta ke Kalimantan. Kalimantan adalah wilayah satu tanah, satu perbatasan dengan Sabah dan Sarawak. Ramai menjangkakan ni jugak satu peluang baharu untuk memajukan lagi kedua-dua negeri di Malaysia, termasuklah dari segi demokrasi perwakilan diorang.

undi rang undang undang perlembagaan (pindaan) 2021
Via Borneo Post

Ada cadangkan Sabah dan Sarawak ajar diberi satu pertiga kerusi Parlimen, pecahkan agihan kuasa Semenanjung

Semasa perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 1 Mac lalu, sorang ahli Parlimen dari Sarawak minta kerajaan perhalusi cadangan pindaan berkaitan penambahan jumlah kerusi parlimen bagi Sabah dan Sarawak. Wilson Ugak Anak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) kata Sabah dan Sarawak wajar diberikan satu pertiga daripada 222 kerusi Parlimen. Ni harus dilakukan, dalam pendapatnya, bagi memastikan agihan kuasa dalam Parlimen kini tak hanya bergantung kepada Semenanjung je.

“Komposisi kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak setakat ini hanya meliputi satu daripada empat kerusi, daripada jumlah keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat. Setakat ini 56 kerusi sahaja bagi kedua-dua negeri ini di dalam Parlimen iaitu Sabah 25 kerusi dan Sarawak (31). Angka ini jauh berbeza dengan semangat yang diwujudkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menekankan konsep co-partner,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Walaupun perkara ni tak termaktub dalam MA63, kerajaan tetap diharap dapat segerakan tindakan memperhalusi cadangan berkenaan. Selain tu, Wilson turut sebut tentang projek-projek pembangunan di Sarawak. Projek pembangunan infrastruktur di Sarawak perlu disegerakan terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri tersebut, disebabkan Kalimantan sekarang sedang dibangunkan sebagai ibu negara baharu Indonesia. Hal ni secara tak langsung akan bawa limpahan ekonomi kepada kedua-dua negeri tersebut.

Sikap positif ni pernah disuarakan oleh bekas KM Sabah, Shafie Apdal pada 2019. Memetik Astro Awani, Shafie Apdal kata kerajaan negeri bersedia tawarkan dan terokai sektor yang sesuai di Kalimantan khususnya di Kalimantan Timur dan Kalimantan Utara. Sempena lawatan kerja ke Kalimantan dan sempat buat kunjungan hormat kepada Gabenor Kalimantan Timur, Isran Noor; bidang pelancongan antara sektor yang dikenal pasti akan dipertingkatkan antara Sabah dan Kalimantan Timur. Turut diberi keutamaan, pelaksaan penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Kalimantan Timur antaranya Balikpapan dan Samarinda.

lawatankerjashafieapdal
Lawatan kerja bekas KM Sabah dulu ke Kalimantan Timur dan Utara.. -Via Bernama

Sarawak berpotensi bekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan, kini dinamakan sebagai Nusantara

Pada bulan Januari lalu, Presiden Joko Widodo mengesahkan bahawa diorang akan pastikan rancangan pemindahan ibu negara tu akan berjaya. Perancangan bandar raya tersebut akan makan kos 466 trilion rupiah (RM134 bilion) dan dijangka siap pada 2024, akibat tertangguh kerana pandemik dulu. Untuk pengetahuan korang, keputusan pemindahan ibu negara dari Jakarta tu memang dah lama diumumkan pada 2019. Ni berikutan bandar mega tersebut dah ‘penuh’ dan mempunyai populasi lebih 10 juta orang. Dah sesak kronik, selain berdepan masalah banjir dan pencemaran udara.

Pada 2022 ni, Presiden Joko Widodo umumkan akan menamakan ibu negara baru negara tu sebagai Nusantara. Bagi Sarawak, peluang ni memang dah lama ditunggu-tunggu. Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak iaitu Abdul Karim Rahman Hamzah kata Sarawak dah lama rancang nak tubuhkan pejabat perdagangan dan pelancongan di Pontianak yang terletak di Kalimantan Barat.

“Jika bukan kerana pandemik Covid-19, rancangan untuk menubuhkan pejabat di sana sudah pun bermula. Saya yakin selepas pandemik reda, kita akan dapat memulakannya.”- seperti yang dilaporkan Malaysianow

Selain tu, Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) melihat peralihan modal dari Jakarta ke Nusantara merupakan suatu perkembangan positif bagi industri tersebut. Bila dah tubuhkan pusat perdagangan di Pontianak, ia akan beri kekuatan untuk tembusi pasaran serantau di samping dapat mempromosi Program Malaysia Rumah Keduaku di Sarawak. Rancangan pemindahan pentadbiran ke Kalimantan Timur tentunya akan perlukan pembinaan rumah dan pejabat baharu bagi kira-kira 1.5 juta penjawat awam di Kutai Kartanegara dan Penajam Paser Utama yang dah tempatkan kira-kira 900,000 penduduk.

Sektor pelancongan perubatan jugak boleh berpotensi untuk tarik perhatian rakyat Indonesia. Ni kerana kebanyakan bandar di Indonesia masih kekurangan infrastruktur perubatan. Walau bagaimanapun, ramalan ni amat bergantung kepada perhubungan antara kedua-dua bandar raya selain kadar perkembangan pembangunan yang setara antara Sarawak dan Nusantara.

hospitalmalaysia
Via Harian Metro

Beberapa potensi ekonomi yang lain adalah seperti bekalan elektrik, khidmat pakar dalam reka bentuk, pembinaan dan operasi empangan hidro. Setakat ni, Indonesia dah import 100 hingga 120 megawatt elektrik dari Sarawak sejak tahun lalu untuk keperluan kawasan sempadan di wilayah Kalimantan Barat menerusi perjanjian kerjasama dua hala antara firma elektrik Indonesia dan Sarawak.

Cadangan pecahkan agihan kerusi demi pembangunan dan potensi ekonomi Borneo Malaysia

Dari satu sudut, semangat MA63 telah memberi ruang yang lebih besar kepada Sabah dan Sarawak untuk membangunkan negerinya sendiri tanpa terlalu bergantung kepada arahan pusat negara di Putrajaya. Potensi ekonomi jugak dah makin besar, ditambah lagi dengan rancangan mega Indonesia nak pindahkan pusat pentadbiran dari Jakarta ke Kalimantan Timur. Dahlah nama baharu yang disebut oleh Presidennya adalah ‘Nusantara’ – suatu istilah khusus yang melambangkan rantau di Kepulauan Melayu termasuk Semenanjung Malaysia.

Sarawak dilihat lebih agresif dan terbuka nak bangunkan negerinya sendiri, memperlihatkan semangat industri yang ada dalam diri anak-anak Sarawak ni. Semangat kemajuan ekonomi ni memang perlu ada, tak kira kaum dan agama. Walau bagaimanapun, cadangan pecahkan agihan kerusi ni pulak seharusnya tak hanya dialaskan pada nak ‘pecahkan kuasa’ je… sebaliknya, ia haruslah berpaksi kepada perwakilan yang dapat menterjemahkan keperluan dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak.

dr wong chin huat ulasan
Dr Wong Chin Huat, penganalisis politik dah pernah komen bab ni.. -Via Malaysiakini

Potensi ekonomi yang besar ni sedikit sebanyak memunasabahkan lagi kerajaan pusat untuk dengar isu-isu infrastruktur rakyat di sana, kerana imej Malaysia jugak menjadi ‘taruhan’ apabila Indonesia dah selamat pindahkan ibu negara diorang. Selama ni, imej Malaysia ditampalkan gambaran Menara Petronas… bagaimana pula bila ramai dah mengunjungi kota baharu Nusantara, melihat sisi Malaysia di seberang sana masih serba kekurangan? Persoalan ni perlulah dipertimbangkan, begitu jugak dengan cadangan Wilson Ugak tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *