Sarawak lulus pindaan tukar nama Ketua Menteri jadi ‘Premier’, ini penjelasannya

premiersarawak1
Sarawak lulus pindaan tukar nama Ketua Menteri jadi ‘Premier’, ini penjelasannya

Dulu-dulu, kita dah dengar idea bahawa mungkin pada suatu hari kelak… kita boleh ada Perdana Menteri dari Sabah dan Sarawak.  Idea ni memang menarik kerana setakat ni, kita tak pernah ada lagi Perdana Menteri bahkan Timbalan Perdana Menteri dari mana-mana negeri dari Malaysia Timur. Setakat ni, hanya jadi Menteri dan Timbalan Menteri je dalam kabinet kerajaan.

Namun begitu, nampaknya Sarawak pun kali ni dah malas kot nak tunggu bila gamaknya nak jadi Perdana Menteri mahupun Timbalan Perdana Menteri. Pada 13 Februari, media melaporkan bahawa Sarawak nak tukar gelaran daripada KM kepada Perdana Menteri untuk negeri tersebut. Kami jelaskan apa yang dah berlaku di Sarawak…

dunsarawak
Via Berita Harian

DUN Sarawak pinda Perlembagaan Negeri untuk tukar gelar KM ke PM, Pembantu Menteri jadi Timbalan Menteri

Pada 13 Februari lalu, kita dapat tahu agenda pindaan tu dari perkongsian ciapan menerusi Twitter Dr. Kelvin Yii Lee Wuen, ahli parlimen Bandar Kuching. Bersama gambar pindaan yang dikongsi di akaunnya tu, kita difahamkan DUN Sarawak bercadang nak pinda Perlembagaan Negeri.

Diorang nak tukar gelaran Ketua Menteri (Chief Minister) kepada Perdana Menteri (Premier) Sarawak. Menjelaskan kepada Sinar Harian, Kelvin Yii tak tahu adakah terjemahan ‘premier’ tu akan bawa maksud Perdana Menteri Sarawak.

Asas penukaran ni dibentangkan Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. Istilah ‘Premier’ tu dicadangkan dalam RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022. Katanya, pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ni dah kembalikan status Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah bersama Persekutuan Tanah Melayu dan Sabah bagi membentuk Malaysia.

Oleh demikian, Sarawak anggap ia tak boleh diletakkan sama taraf dengan negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu. Status istimewa Sarawak jugak perlu ditafsir dengan cara yang berbeza dari negeri lain.

“Oleh itu, untuk memberi gambaran jelas status Sarawak berbeza dengan negeri lain adalah dicadangkan supaya nama jawatan Ketua Menteri digantikan kepada ‘Premier’.

Seperti yang diamalkan di wilayah Komanwel lain yang penubuhannya serupa dengan Malaysia termasuk Australia dan Kanada, ketua Persekutuan disebut sebagai Perdana Menteri dan ketua wilayah yang membentuk Persekutuan disebut sebagai ‘Premier’ manakala negeri lain diketuai Ketua Menteri,”-seperti yang dilaporkan Berita Harian.

abangjo
Abang Johari jadi ‘premier’ pertama Malaysia.. -Via MalaysiaNow

Seramai 16 ADUN tampil pada sesi perbahasan tersebut. 12 wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) sokong penuh, manakala 4 wakil pembangkang tak sokong. Wakil GPS turut nak Kerajaan Persekutuan iktiraf gelaran ‘Premier’ termasuk memastikan tiap majlis serta mesyuarat rasmi beri keutamaan protokol kepada Premier Sarawak berbanding Ketua Menteri dan Menteri Besar negeri lain.

Ada kata penukaran gelaran tu cuma ‘syok sendiri’, Sarawak tetap luluskan pindaan guna nama ‘Premier’

Cadangan penukaran gelaran tersebut pastinya mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan ADUN Sarawak. Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) menyifatkan pindaan nak ganti terma Ketua Menteri menjadi Premier tu hanyalah satu tindakan ‘syok sendiri’.

Katanya lagi, takde keperluan untuk tukar gelaran tu demi nak tunjuk perbezaan status pemimpin Sarawak berbanding negeri lain di Malaysia. Selain tu, ia akan timbulkan kekeliruan terutamanya istilah sesuai dalam Bahasa Melayu.

“Apa terjemahan yang sesuai untuk gelaran jawatan itu dalam Bahasa Melayu? Kita mahu ia ditetapkan jika mahu nama jawatan Ketua Menteri ditukar kepada Premier. Sekarang timbul kekeliruan, bukan sahaja kalangan rakyat, tetapi juga media yang tidak selaras dalam menterjemah istilah itu dalam Bahasa Melayu.

Misalnya Berita Harian menggunakan istilah ‘Perdana’ dan ada juga media lain menyebutnya sebagai ‘Perdana Menteri’ manakala yang lain ada juga kekal menggunakan ‘Premier’,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

Sorang lagi wakil pembangkang, Violet Yong (DAP-Pending) naikkan lagi suhu perbahasan dengan mempersoalkan gelaran ‘Premier’ tu seolah sama macam jenama kertas tisu. Baru Bian (PSB-Ba’kelalan) pulak berpendapat, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu sebelum tukar terma jawatan tu.

“Di dalam Perlembagaan Persekutuan, ketua eksekutif bagi Sarawak masih disebut sebagai Ketua Menteri, jadi jika mahu menukarnya, perlu pinda dahulu Perlembagaan Persekutuan,” seperti yang dilaporkan Berita Harian

Usai sesi perbahasan tamat, RUU tersebut tetap lulus pindaan susulan keputusan undian. Jawatan Ketua Menteri Sarawak kini digantikan nama baharu, ‘Premier Sarawak’. Nama jawatan ‘Menteri Muda’ pulak digantikan kepada ‘Timbalan Menteri’. Walau bagaimanapun, agak menarik nak tau reaksi Putrajaya berkenaan tuntutan pengiktirafan ‘Premier’ tu digunakan.. apatah lagi meminta agar protokol rasmi mendahulukan ‘Premier’.

Buat masa ni, Wan Junaidi selaku Menteri Persekutuan kata ia tak pelik dan boleh dipakai di Malaysia. Ketua-ketua pemimpin di Australia pun pakai jugak gelar ‘Premier’, jadi ia tak boleh sekadar dianggap suatu kosmetik. Sebaliknya, ‘premier’ boleh melambangkan status yang selaras dengan semangat MA63 serta pindaan taraf negeri Sabah dan Sarawak.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top