Politik untuk semua, ini antara calon PRN Sabah yang ada kerja menarik sebelum bertanding

F1

Biasanya dalam pilihan raya, kita selalu beranggapan bahawa semua calon yang dipertandingkan untuk rebut sesebuah kerusi tu mesti sorang ahli politik. Hakikat sebenarnya tak jugak macam tu; ada antara mereka ni pun ada kerja di luar bidang politik jugak dan tengah nak cuba nasib masuk politik pulak.

Dalam PRN Sabah ni, seramai 447 calon bertanding dalam 73 kerusi. Daripada lebih 400 calon tu, bukan semuanya ahli politik. Ada yang baru je masuk, ada yang baru nak naikkan nama, ada je yang masih bertanding biarpun kalah. Kalau mereka kalah pun, mereka ada profesion lain jugak dalam bidang politik tu.

1. Jurutera dan perunding binaan pun cuba nasib, baru bertanding masa PRN ni

Salah sorang calon yang baru-baru ni dah dipilih untuk bertanding adalah calon UMNO-BN di Tanjung Keramat, Ir. Shahelmey Yahya. Mengikut laporan Sinar Harian, Shahelmey Yahya ni memang dah agak popular dalam dunia korporat.

Shahelmy
Ni lah Shahelmy Yahya.. Via Harian Metro

Menariknya dalam kerangka masa yang sama dia jadi Ketua Pemuda UMNO cawangan Putatan sejak 2004 tu… dia jadi ahli Perbadanan Sabah Credit Corporation (2005-2017), ahli Majlis Putatan (2009-2013) dan kemudiannya Pengarah Urusan Borneo Highway PHP Sdn. Bhd. (2016-2018). Suatu kebetulan, ‘kabel’, atau kerana kelayakan? Hanya rakyat mampu menentukan sama ada benda ni relevan ke tak dalam pencarian wakil rakyat baharu.

Sorang lagi yang harus kita perhatikan adalah 7 calon PKR yang diyakini rakyat. Salah sorang muka baru yang mewakili PKR iaitu Peto Galim, calon nombor 3 di DUN Inanam. Dia merupakan bekas jurutera kanan dan pernah bertugas di Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). Pengalaman kepimpinannya lebih menyerlah sebab pernah jadi Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Poster Peto Galim
Via Twitter

Jika dibandingkan antara keduanya, calon PKR tu boleh dikatakan lebih rapat kepada rakyat sebab pengalaman bekerjanya memang kena jumpa dan berkenalan dengan ramai orang. Tapi dengan memiliki pengalaman korporat, ia mestilah akan membantu dalam hal-hal pentadbiran awam. Jadi dua-dua ni ada kelebihannya tersendiri.

2. Doktor-doktor pun ikut jadi calon, nak tukar kerjaya dari hospital ke pejabat pentadbiran awam

Tak pelik dah bila kita dengar doktor perubatan atau kakitangan kesihatan nak jugak menceburi kerjaya ahli politik ni. Tun Mahathir, antara tokoh popular yang dah ada klinik sendiri pun beralih arah menjadi ahli politik dulu. Untuk PRN Sabah ni, ramai jugak kita boleh perhatikan kemunculan wajah-wajah doktor yang tukar kerjaya macam Mahathir jugak.

Doktor veterinar yang beribu pejabat di Sabah, Dr. Samuil Mopun adalah calon Parti Bersatu Sabah (PBS) yang akan bertanding merebut kerusi DUN baharu iaitu Bengkoka. Bengkoka ni dekat Pitas, daerah yang tular sebab kisah Veveonah tu dulu.

Ikut temuramahnya yang disiarkan di sebuah saluran Youtube tempatan, Jimmy TRG; Dr. Samuil ni dah lebih 30 tahun bertugas di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kemudian dipinjamkan ke Sawit Kinabalu iaitu salah sebuah GLC perladangan sawit di Sabah. Lepas tu, dia bersara untuk fokus melibatkan diri dalam politik.

Beberapa yang lain macam Dr. Samuil ni seperti Dr. Beting Giling@ Joshua dan Dr. Chang Kee Ying. Dr. Beting Giling merupakan calon Parti Cinta Sabah (PCS) di Kadamaian pulak dan bekas Pengarah Hospital Labuan manakala Dr. Chang Kee Ying (BN) adalah doktor pergigian yang ada klinik sendiri iaitu Smile Dental Centre di Geanagles, Hospital KK. Dr. Chang ni antara calon wanita yang akan bertanding di Likas

Kkkichang190920
Ni lah Dr. Chang Kee Ying.. Via The Star

3. Orang seni pun masuk politik, penyanyi popular dan penggiat seni sedia berbakti

Bila dengar orang seni pun ikut bertanding jugak, kami teringat pula Ronald Reagan dan Arnold Schwarzenegger yang dulunya mengukir nama dalam persada seni serta lakonan sebelum menceburi bidang politik. Dalam PRN Sabah kali ni pulak, ada dua orang seni yang bercita-cita jadi ahli politik dan sorang lagi baru rancang nak masuk politik.

Dua orang seni yang sah bertanding ialah Jimmy Palikat, penyanyi popular dengan lagunya “Anak Kampung” dan Janrywine J Lusin, penyanyi popular dengan lagunya, “Macam di KK”. Kedua-dua artis tempatan ni memang dikenali ramai kerana lagu-lagu mereka menggunapakai irama tempatan Sabah yang unik.

Janrywine Jimmy Palikat
Dari kiri: Janrywine, Jimmy Palikat.. Via Harian Metro

Jimmy Palikat memilih jadi calon Bebas di DUN Tambunan menentang Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan manakala Janrywine J Lusin jadi calon Parti Liberal Demokratik di DUN Kawang. Sorang lagi yang pernah meluahkan hasrat untuk bertanding pada PRU15 (atau kat Sabah nanti, PRN17) iaitu bekas artis Akademi Fantasia, Richard Lawrence Gimbang atau lebih popular dengan kumpulannya kini, Rich Estranged.

4. Lepas orang seni, penulis “One, Two Jaga” diangkat jadi calon parti dan bertanding di Sungai Manila

Sebenarnya boleh kita katakan sebagai suatu ironi jugaklah, kalau korang pernah tonton filem popular yang kini ada di Netflix iaitu “One, Two Jaga”… ia mengetengahkan isu-isu seperti rasuah dan kaitan dengan ahli politik. Filem “One, Two Jaga” tu adalah adaptasi dari novel yang dikarang Sahidzan Ag. Salleh, sekarang ni bertanding di DUN Sungai Manila.

Fixi Novelis
Via Facebook

Sahidzan Salleh ni jugak adalah novelis yang telah menerbitkan 7 buah novel popular di bawah rumah penerbitan seperti Fixi dan Lejen Press. Ikut poster yang dikongsikan dalam laman Facebook peribadinya, dia banyak terlibat dalam kegiatan seni khususnya penulisan novel ni dan jika terpilih, akan cuba mempergiat lagi budaya seni dan perbukuan kat Sandakan.

Dia jugak merupakan Ketua Wira Parti Cinta Sabah (PCS), satu panji bendera jugaklah dengan Dr. Beting Giling tadi. Menurut fakta penting PRN Sabah, PCS paling banyak hantar calon untuk PRN16 ni.

5. Golongan pensyarah pun terlibat sekali, ada antaranya pernah bertanding dulu masa PRU14

Selain dari tugas hakiki mereka sebagai penyelidik dan pengkaji bidang masing-masing, ada jugak yang menanam impian nak tabur bakti jugak kepada masyarakat dengan ilmu yang mereka ada ketika bertugas di menara gading. Dr. Paul Porodong dan Dr. Mahmud Sudin ni adalah golongan profesional yang berbakti dari segi penyelidikan Borneo.

Paul Porodong
Dr. Paul Porodong, penyelidik dalam bidang antropologi dan sosiologi.. -Via majakir.net

Dr. Paul Porodong ni dulu pernah jugak bertanding di bawah PCS pada 2018 di kerusi Parlimen Kota Marudu, kemudian pada kali ni pulak, bertanding sebagai calon Bebas di DUN Matunggong. Dia merupakan mantan pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah dan profilnya kata dia fasih dalam lima bahasa.

Dr. Mahmud Sudin pun lebih kurang jugaklah dengan Dr. Paul Porodong, dimana dia jugak merupakan bekas pensyarah di universiti yang sama dalam bidang penyelidikan hutan. Dr. Mahmud akan bertembung dengan penulis Sahidzan Salleh di DUN Sungai Manila. Dr. Mahmud kata penerimaan rakyat terhadapnya agak memberangsangkan sebab dia pernah jadi ikon negeri dalam kugiran ‘jari jari gila’ sekitar 1980-an dulu.

Dr Mahmud Sudin
Dr. Mahmud Sudin.. Via BeritaSabah

Banyak lagi sebenarnya profesion lain yang kami tak sebut, namun ni membuktikan bahawa bukan je Sabah mempunyai bakat-bakat profesional yang bersemangat tinggi, Sabah jugak banyak calon yang berkaliber dan wajar dipertimbangkan menjadi wakil rakyat. Bukan ahli politik je yang mampu dan ‘berkelayakan’ memajukan sesebuah daerah tu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *