ADUN ‘tembak babi’ lompat parti, nampaknya kerajaan Melaka akan tumbang…

F1

Apa yang berlaku sejak beberapa hari ni cukup memalukan, terutamanya dari segi prinsip dan pendirian ahli politik yang hilang ditelan kekuasaan. Ini bukanlah cara berpolitik yang ingin kita ajarkan kepada generasi akan datang. Di antara ahli-ahli politik ini, sudah tentu ada di antara mereka yang jadi idola kepada generasi seterusnya.

Kalau seperti inilah politik diajarkan, sudah tentu negara kita tak akan bergerak ke mana-mana. Orang yang berprinsip sering dilihat naif dalam dunia politik, kerana untuk menjadi ahli politik anda harus mampu beradaptasi mengikut keadaan – jika mahu ada jawatan besar dan berpeluk dengan kuasa. Namun, prinsip inilah yang membezakan manusia dengan binatang.

Gambar ahli politik sejak beberapa hari kebelakangan ini. Via Giphy

Semalam, masih ada lagi ahli politik yang melompat semata-mata untuk berpeluk dengan kuasa, enggan melepaskan kekuasaan sehingga sanggup mengadaikan prinsip…

Kerajaan Melaka tumbang, ADUN yang terkenal dengan gelaran ‘tembak babi’ lompat parti

Teka-teki siapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka yang beri sokongan kepada Perikatan Nasional akhirnya terjawab selepas dua Adun Bersatu dan seorang Adun PKR dan DAP muncul dalam sidang media gabungan Perikatan Nasional.

Mereka terdiri daripada Timbalan Pengerusi DAP Negeri Melaka yang juga ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, ADUN (Bersatu) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad, ADUN (Bersatu) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan ADUN (PKR) Rembia, Datuk Mohamad Jailani Khamis.

S1
Via Berita Harian

Insiden ADUN melompat ni mengakhiri kemelut politik di Melaka selepas Perikatan Nasional berjaya mendapat 17 kerusi ADUN berbanding 11 kerusi bagi Pakatan Harapan (PH). Menurut Norhizam, tindakan itu dilakukannya demi kepentingan rakyat.

“Hati saya bertindak merana demi untuk kepentingan orang Melayu… saya sudah bekerja keras bertungkus-lumus, mereka kata nak berhemah, nak bermaruah, tapi saya tengok saya jadi barua saja…memang saya jadi barua saja,” – Norhizam, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Ketua Melaka mohon untuk dibubarkan DUN untuk beri laluan pada PRN di Melaka…

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari cadangkan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan. Dia kata, cadangan tu dikemukakan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dalam satu pertemuan pada 4.30 petang, semalam.

Dia menambah; mengambil kira keadaan ketidakstabilan politik negeri yang boleh menjejaskan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, serta mengembalikan semula mandat kepada rakyat, saya dengan merujuk kepada peruntukan di bawah perkara 7 (4) Perlembagaan Negeri Melaka seperti berikut.

“Jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Undangan Negeri, maka Ketua Menteri hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan, melainkan jika ada permintaannya Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri. Maka, saya mencadangkan kepada Tuan Yang Terutama Tun untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan,” – Adly Zahari, seperti yang dilaporkan Astro Awani

S1
Adly Zahari. Via MG

Adly turut menasihatkan semua rakyat kekal bertenang dan mematuhi peraturan bagi memastikan negeri ini terus aman dan selamat.

Permohonan Ketua Menteri Melaka ditolak, dia didakwa sudah tak terima sokongan ADUN

Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob menerusi satu kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), tak setuju dengan cadangan Ketua Menteri Adly Zahari untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri.

Keputusan tu dibuat selepas Tun Mohd Khalil mendapati Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil tak lagi dapat kepercayaan sebilangan besar ADUN di negeri itu.
Justeru itu, berdasarkan Perkara 7 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri Melaka perlu meletakkan jawatan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Selanjutnya, berdasarkan perkara 7 (2)(a) Perlembagaan Negeri turut menyatakan TYT akan melantik Ketua Menteri Melaka yang baharu dalam masa terdekat.

Dalam keadaan politik yang memeningkan, pendidikan politik penting untuk rakyat

Melihat kepada situasi politik yang ada pada hari ni, perkara yang perlu dilakukan adalah memberi didikan politik kepada masyarakat. Pendidikan politik ni pula perlulah dilihat ikhlas dan merentasi parti. Masyarakat harus diberikan ilmu untuk memilih ahli politik yang memiliki pendirian dan menolak mereka yang tak berprinsip.

Mekanisme pengangkatan pemimpin amat penting, jika terangakatnya pemimpin dengan cara yang salah dan tak demokratik – maka tentulah nasib rakyat akan terabai. Ahli politik yang takda prinsip cukup mudah untuk dibeli, apa jaminan kita mereka tidak akan dibeli untuk khianat pada tanggungjawab hakiki kepada rakyat? Tidak ada. Sebab itulah kita harus bijak memilih pemimpin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *