Semakin kita menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN), semakin banyak cerita yang kita akan dengar. Baru-baru ini, Barisan Nasional (BN) mengatakan tidak akan mengetepikan mana-mana parti gabungannya dalam soal pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sebarang perbincangan pembahagian kerusi adalah atas persetujuan bersama parti-parti komponen BN.
“Semangat BN tetap kekal, sebarang perundingan melibatkan kerusi akan dibincang bersama-sama. Dalam mesyuarat Dewan Tertinggi (BN) semalam juga mengambil ketetapan ia akan dibincang baik dengan gabungan BN atau PH (Pakatan Harapan),” katanya.
Sebelum itu, media melaporkan Naib Presiden MCA yang juga Pengerusi MCA Pulau Pinang, Tan Teik Cheng berkata, perbincangan rundingan kerusi antara kedua-dua gabungan itu harus merangkumi semua parti komponen.
Pakatan Harapan Pulau Pinang akan lihat jika ada ruang untuk rundingan dengan Umno
Bagi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang pula, mereka telah bermesyuarat semalam bagi memuktamadkan kerusi yang akan dipertandingkan gabungan parti itu pada PRN akan datang. Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, mesyuarat yang diadakan itu juga akan membincangkan sama ada terdapat kerusi yang masih boleh dirunding untuk diberikan kepada Barisan Nasional (BN) sebelum ia dimuktamadkan.
“Kita akan adakan mesyuarat petang ini dan saya harap dapat memuktamadkan keputusan bagi PH sebelum ianya dibawa untuk rundingan dengan BN dan UMNO. Muktamad dari segi apa kita mahu tanding dan apa yang masih boleh rundinglah dengan mereka (BN),” – Chow Kon Yeow
Ketika disoal mengenai kenyataan Pengerusi MCA, Datuk Tan Teik Cheng yang mahu rundingan agihan kerusi antara PH dan BN bagi PRN Pulau Pinang mesti melibatkan semua parti komponen BN, Kon Yeow berkata perkara itu perlu diuruskan oleh BN. Jelasnya, beliau dimaklumkan pada mesyuarat antara PH dan UMNO yang dijangka akan diadakan minggu depan turut melibatkan beberapa pimpinan BN yang lain.
“Dari senarai yang dikemukakan rombongan UMNO itu ada pemimpin BN jugalah. Hal ini perlu diuruskan dalam BN,” katanya ringkas.
Kon Yeow berkata, PH negeri juga akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara tersebut beberapa hari lagi yang dijangka dalam minggu ini.
Perikatan Nasional yakin menang besar di Selangor
Bagi Perikatan Nasional (PN) pula, mereka menyasarkan memenangi 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada tahun ini. Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, sekiranya sasaran itu dicapai, gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu membentuk kerajaan baharu di negeri ini.
Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan kepada sokongan pengundi terutama kaum Melayu kepada PN semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Malah, UMNO sendiri tiada kerusi Parlimen di Selangor (pada PRU15), jadi apabila kita sebut tentang pengundi Melayu di negeri ini, maka di situlah kekuatan kita (PN),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Roslan Shahir berkata, semasa PRU15 lalu, PN berjaya memenangi enam kerusi Parlimen termasuk di kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Sabak Bernam dan Tanjong Karang.
“Tidak mustahil kita mampu memberi tentangan dan saingan sengit kepada PH kerana sasaran kita menang di 33 kerusi DUN yang mempunyai 60 peratus pengundi Melayu. Saya mengambil contoh, Pesuruhjaya Pas, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menang di kerusi Parlimen Kuala Langat yang pengundi Melayu di situ sekitar 58.32 peratus sahaja,” ujar beliau.
MB Selangor nak pertahan kerusi
Bercakap tentang Selangor, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhasrat untuk pertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dijangka Jun depan.
Amirudin berkata, khidmatnya diperlukan bagi membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Selangor selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin dijangka bakal bersaing di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
“Parti mungkin pertimbang untuk kekalkan saya bertanding memandangkan Mohamed Azmin nyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi DUN. Saya lebih utamakan untuk pertahan kerusi DUN Sungai Tua, namun akur jika diarahkan ke kerusi lain,” katanya.
Beliau ditemui pada Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Sepang di tapak pasar pagi Pekan Salak yang turut melibatkan 10,000 pengunjung di sini pada Jumaat.
Sementara itu, beliau berkata, cadangan berhubung pembubaran DUN Selangor akan dibuat selewat-lewatnya pada Jun depan.
“Penggal DUN Selangor berakhir pada 25 Jun 2023 dan perbincangan bersama menteri besar di negeri terlibat PRN, pembubaran dicadangkan antara minggu ketiga atau keempat pada bulan sama.
“Bagaimanapun, tarikh muktamad pembubaran akan diputuskan selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Jika tidak diumumkan pada tarikh dicadangkan maka DUN akan terbubar secara automatik pada 25 Jun 2023,” katanya.