Anwar kata dia dah miliki majoriti bentuk kerajaan, pertemuan dengan YDPA ditangguh

F1

Tahun 2020 akan dikenang oleh rakyat Malaysia. Ia bukan setakat akan dikenang sebagai tahun Covid-19 sedang melanda dunia, ia juga akan dikenang sebagai tahun yang paling banyak drama politik berlaku di Malaysia. Cuba bayangkan, tahun ini sahaja kita ada potensi untuk memiliki  tiga perdana menteri yang berbeza. Semalam, ketika orang tengah bincangkan apa yang akan berlaku di Sabah pada pilihan raya negeri kali ini, nampaknya akan ada lagi perubahan baru akan berlaku dalam politik kita.

Anwar umumkan dia ada jumlah Ahli Parlimen yang cukup untuk bentuk kerajaan, dakwa sokongan yang “konklusif”

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata dia yakin ada majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk bentuk kerajaan baru, dan bermakna kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tumbang. Anwar dalam sidang media khas semalam kata sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan tu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebaik baginda keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN).

“Sebenarnya saya mendapat perkenan mengadap baginda Selasa pada jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguhkan selepas baginda menerima rawatan di IJN. Dengan sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan ini, bermakna kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh. Pentadbiran ini mewakili bukan saja rakyat Melayu Bumiputera tetapi semua kaum di negara ini,” – Anwar Ibrahim, seperti yang dilaporkan HMetro

Maklumat dan langkah selanjutnya akan Anwar maklumkan selepas menghadap YDPA dalam masa terdekat. Apabila ditanya berkenaan jumlah sokongan yang diperoleh; Anwar enggan dedahkan, cuma kata dia dah dapat majoriti yang kukuh daripada pelbagai parti untuk membentuk kerajaan.

32
Siapa nak jadi perdana menteri? Via FMT

Dia kata, sokongan yang diperolehinya konklusif, kuat dan kukuh. Anwar tegaskan dia bukan bercakap mengenai 4,5,6 sokongan, tetapi hampir dua pertiga ahli parlimen dari pelbagai parti. Dokumen ini tetap tidak boleh diragui, semuanya akan dimaklumkan sebaik menghadap Agong. Ketika ditanya sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad ada dalam senarai itu, Anwar kata, bekas Perdana Menteri tu takde dalam senarai.

Istana Negara sahkan Anwar sepatutnya menghadapi YDPA, tapi ditunda akibat kegeringan

Istana Negara sahkan bahawa majlis menghadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dijadualkan berlangsung semalam dah ditangguhkan.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, majlis tu ditangguhkan ekoran kegeringan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagi yang tak tahu, ketika ini, Yang di-Pertuan Agong akan terus jalani rawatan di bawah pengawasan para pakar perubatan di Institut Jantung Negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Daim Zainuddin, para jemaah Menteri Kabinet dan individu-individu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda,” – Kenyataan Media Istana Negara

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong turut ambik kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard kerana negara masih menghadapi ancaman penularan wabak Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada semua pihak untuk utamakan kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama semoga kita dikurniakan keberkatan daripada Allah SWT. Baginda turut ajak seluruh rakyat untuk bersama Tuanku berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dari segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan.

Zahid kata dia hormati mana-mana Ahli Parlimen BN yang beri sokongan kepada Anwar

Ketika kita tengah pening sokongan MP dari mana yang Anwar mungkin akan dapat, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kata, UMNO dan BN tak dapat halang mana-mana Ahli Parlimen parti itu untuk ambik keputusan menyokong Anwar Ibrahim. Benda ni disebabkan UMNO dan BN bukanlah parti komponen Perikatan Nasional.

32
Zahid. Via Utusan

“Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen PN. Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli-Ahli Parlimen sahaja. UMNO dan BN tak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar bagi menyatakan hasrat beliau,” – Zahid, seperti yang dilaporkan AWANI

Zahid kata, ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN dah menyuarakan sokongan. Cuma, Zahid tak beritahu secara terperinci bentuk sokongan yang macam mana. Dia dimaklumkan ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan.

Macam kenal je tanda-tanda macam ni. Via Giphy

Bagi Muhyiddin Yassin pulak, dia tegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih berdiri teguh dan dia adalah Perdana Menteri yang sah. Dia kata, dakwaan Anwar Ibrahim yang kata dia ada majoriti yang kukuh untuk tubuhkan kerajaan, perlu dibuktikan melalui proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Saya mengambil maklum kenyataan Anwar yang mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan. Sehingga dibuktikan sebaliknya, kerajaan PN masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah,” – Muhyiddin Yassin, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Kita akan lihat sejauh mana dakwaan ini benar, adakah kita akan dapat PM baru?

Kita akan terus perhatikan apa yang akan berlaku dengan dakwaan Anwar ini. Persoalan utama yang tengah bermain di fikiran kita adalah; agaknya pasukan mana yang akan beralih sokongan? Satu lagi benda yang dikhuatirkan, jika betul Anwar ada kerusi yang cukup untuk bentuk kerajaan, adakah Agong akan bubarkan Parlimen dalam keadaan angka kes baru Covid-19?

Satu lagi, nasihat kami kepada ahli politik dan penyokong kerajaan hari ni, korang janganlah jual idea “jadikan situasi negara kita stabil”. Korang kena ingat, apa yang berlaku pada Februari-Mac tahun ni pun dah buatkan negara kita tak jadi stabil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *