Susah sangat nak faham pasal keadaan politik di Sabah? Baca artikel ni

F1

Korang mungkin dah maklum bahawa sekarang ni kat Sabah, sedang berlangsungnya PRN Sabah lepas pembubaran DUN beberapa bulan lalu. PRN Sabah kali ni boleh dikatakan sebagai pilihan raya yang paling meriah dalam sejarah negeri tersebut sebab bukan je parti-parti nasional je yang turun; parti tempatan pun turut sama terlibat.

Kali ni, kami nak mudahkan korang faham macam mana perkembangan pilihan raya di Sabah setakat ni. Jom baca 5 fakta mudah ni supaya korang tak ketinggalan!

1. Calon pilihan raya kali ni cecah 400 orang, paling muda adalah 22 tahun!

PRN Sabah ni boleh disimpulkan pilihan raya negeri yang paling meriah, sebab kali ni sebab lebih 400 orang calon bertanding dalam 73 kerusi negeri. Calon-calon ni pulak tak semua bertanding atas tiket parti-parti nasional macam UMNO, DAP dan PKR. Sebaliknya, kebanyakan dari mereka ni merupakan calon daripada parti tempatan jugak.

Kedudukan Parti
Situasi kerjasama politik dalam PRN Sabah kali ni… Via Facebook

Memetik laporan Harian Metro, seramai 447 calon daripada 16 parti disahkan bertanding kali ni. Cuma ada satu je calon yang ditolak permohonannya iaitu daripada USNO. Calon tersebut nak bertanding untuk jadi ahli DUN Petagas, tetapi terpaksa ditolak kerana didapati bankrap seterusnya dah hilang kelayakan untuk bertanding.

Daripada 447 calon tu, lebih dari 131 calon berusia dalam lingkungan 60 tahun manakala selebihnya adalah calon berusia dari 22 hingga 75 tahun. Kalau dulu, kita dapat tengok calon termuda dalam PRU14 adalah P.Prabakaran iaitu 22 tahun. Dalam PRN Sabah ni pulak, BN-PBRS menurunkan calon termudanya, Yillson Yangun untuk bertanding di N07 – Tandek. Yillson berumur 22 tahun dan merupakan graduan UKM.

Calon Fakta
Via Bernama TV

2. Otai-otai politik dah bersara pun ikut bertanding, rebut peluang sekali lagi untuk kerusi ADUN Sabah

Apa yang buatkan PRN Sabah agak istimewa adalah penglibatan beberapa otai politik yang sudah ‘menghilang’ termasuklah parti lama yang dihidupkan semula untuk merebut kerusi ADUN. Otai-otai politik seperti Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Tan Sri Chong Kah Kiat, Mohd Harris Salleh dan Yong Teck Lee turut nyatakan minat untuk bergiat semula dalam politik.

Harris Salleh Chong Kah Kiat Salleh Said Keruak
Dari kiri: Harris Salleh, Chong Kah Kiat dan Salleh Said Keruak.. Via Malaysiakini

Nama-nama ni tak asing dalam sejarah politik Sabah… Salleh Said Keruak adalah bekas Menteri Persekutuan, manakala Yong Teck Lee, Chong Kah Kiat dan Harris Salleh ni adalah bekas Ketua Menteri Sabah sebelum Musa Aman. Ketika ni jugak, kita boleh saksikan kebangkitan beberapa parti yang suatu masa dulu, amat popular dalam kalangan masyarakat seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) dan United Sabah National Organization (USNO).

Dulu ketika PRU14, kedua-dua parti ni tak bertanding. LDP memang tak aktif dah masa tu manakala USNO pulak mendakwa wang deposit mereka ‘dihilangkan’ sekaligus menggagalkan 84 calon didaftarkan untuk bertanding. Dakwaan ni disanggah oleh oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, bahawa wang tersebut tak pernah wujud dan diterima pun oleh pegawai pendaftar dulu.

Laporan Palsu Usno
Via Sabahkini2

Bila kami tengok semula senarai penamaan calon, hanya beberapa nama je yang dilaporkan secara rasmi masuk bertanding iaitu Chong Kah Kiat (N.18 Inanam) dan Salleh Said Keruak (N.10 Usukan). Tapi memandangkan ahli politik veteran ni dah kata nak ‘turun’ jugak, boleh jadi mereka akan lebih banyak terlibat di sebalik tabir je. Musa Aman pulak tak bertanding kali ni.

3. PAS tak dapat kerusi pun dikira ‘bertanding’ jugak, dikatakan tak sesuai di Sabah

PAS mungkin sebuah parti yang besar di pentas nasional, namun bila dah masuk ke dalam negeri Borneo khususnya Sabah, ramai yang melihat PAS macam takde pengaruh sangat. Hal ni jelas apabila untuk PRN kali ni, PAS tak dapat kerusi walaupun dikatakan telah dijanjikan oleh rakan sekutunya UMNO dan Bersatu.

Respon PAS kali ni menunjukkan bahawa mereka tak terlalu kecewa dengan ketiadaan kerusi untuk dipertandingkan, dan bersedia nak bantu jentera-jentera sekutu dalam usaha berkempen raih undi. Nak dikatakan PAS tak relevan pun sukar jugak sebenarnya sebab PAS Sabah ni ada je. Cuma takdelah kuat sangat jika nak dibandingkan dengan parti-parti tempatan.

Namun begitu, ada jugak antara ahli PAS ni yang tak setuju dan sakit hati kenapa tak dapat kerusi. Lebih jauh, ada pulak yang dakwa orang Sabah takkan masuk syurga sebab tak undi PAS. Kata-kata macam nilah yang mengguris hati masyarakat Sabah dan tak wajar ‘dibawa’ pun dalam politik. Mujurlah sekadar fitnah… Walau bagaimanapun, Dr. Ali Akbar Gulasan yang merupakan wakil PAS di Sabah, gesa agar ahli yang lain tak keluarkan kenyataan sebegini sebab ni akan gugat reputasi dan populariti PAS di Sabah.

4. Calon popular jadi Ketua Menteri, Musa Aman mungkin jadi TYT ganti Tun Juhar?

Antara persoalan yang paling menarik untuk dilihat adalah calon bakal Ketua Menteri Sabah yang dikedepankan jika parti-parti ni menang. Kalau Warisan, Shafie Apdal akan menjawat semula kedudukan Ketua Menteri. Bersatu pulak beri bayangan bahawa Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Hajiji Noor akan jadi Ketua Menteri.

“Kerja untuk bantu calon kita ini manalah tahu kalau rakan-rakan kita dalam PN, Barisan Nasional (BN) dan yang lain pun bersetuju, …Hajiji adalah yang terbaik kita nak tawarkan sebagai calon memimpin negeri Sabah,”- Muhyiddin Yassin, seperti yang dilaporkan Berita Harian pada 12 September 2020

Calon Ketua Menteri Sabah
Dari kiri: Shafie Apdal, Bung Mokhtar dan Hajiji.. Via Youtube

Sedikit menarik jugak pertembungan pra-PRN dulu, iaitu apabila Musa Aman tak lagi jadi pilihan utama untuk bertanding sebelum musim penamaan calon dulu. Datuk Seri Bung Moktar dikatakan telah ‘dilantik’ untuk ketuai UMNO-BN Sabah atas pilihan Zahid Hamidi, sedangkan Bung Mokhtar ni masih ada kes lagi. Pilihan Zahid Hamidi ni ditentang Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Wujud jugak suara-suara yang menyatakan bahawa Musa Aman pulak akan diangkat jadi Tuan Yang di-Pertua Sabah (TYT), menggantikan Tun Juhar. Sebelum ni, Musa Aman dan Tun Juhar dah berkonflik antara satu sama lain sejak PRU14 apabila hak dan pelantikannya ‘digagalkan’ oleh TYT Sabah.

Tyt Musa
Tun Juhar bersama Musa Aman, suatu masa dulu.. Via Borneo Today

Prof Dr. Sivamurugan Pandian kata perkara ni tak pelik sebab Musa Aman ni dah setanding pengaruhnya seperti Abdul Taib Mahmud di Sarawak. Korang boleh baca sendiri macam mana Taib Mahmud dikatakan berkuasa ke atas politik Sarawak kat sini. Tapi di Sabah, boleh ke Musa Aman dilantik jadi TYT?

“Sama ada mengikut Perlembagaan Sabah perkara itu dibolehkan atau tidak itu, kena lihat semula. Tapi berdasarkan perbualan saya dengan orang politik di sini (Sabah), ia dibolehkan. Ini kerana pelantikan TYT Sabah kini tiada had tempoh masa. Ia boleh dicadangkan kerajaan negeri kepada pusat dan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong,”- Seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada 14 September 2020

5. Parti adik Musa Aman paling ramai hantar calon, nasib ‘katak politik’ cuma dapat bertanding atas tiket Bebas

PRK Kimanis yang membatalkan kerusi DUN Anifah Aman dulu dimenangi semula oleh wakil BN, sekaligus menyisihkan Anifah Aman sebentar dari pentas politik. Tapi dalam PRN Sabah pulak, Anifah Aman telah dilantik menjadi Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) lepas menang tanpa bertanding pada Julai lalu.

Kebangkitan PCS ni agak penting untuk diperhatikan, lantaran parti tersebut menghantar calon bertanding paling ramai iaitu sebanyak 73 calon untuk 73 kerusi yang ada. Anifah Aman beberapa kali mengulangi saranan nak beri peluang kepada anak muda dan bakat baharu untuk bertanding, dan menyatakan bahawa zaman Musa Aman sudah berlalu.

“Sebagai rakyat Sabah, saya menghargai apa yang Musa telah lakukan, tetapi saya fikir masanya telah berlalu. Biar orang baru mengambil alih. Musa abang saya, saya sayang beliau, tetapi (dalam) politik (ia) berbeza,”- Anifah Aman, seperti yang dilaporkan Malaysiakini pada 10 Ogos 2020

Terdahulu, ‘katak-katak politik’ yang memungkinkan majoriti mudah di tangan Musa Aman kini dah bertanding atas tiket Bebas pulak. Antara ‘katak’ yang masih taknak undur diri lagi seperti Kenny Chua, Datuk Musbah Jamli dan Anita Baranting manakala ada jugak ‘katak-katak’ ni yang tengah bertanding di bawah tiket parti lain seperti Abd. Muis Picho (N60 Sebatik) yang ‘lompat’ daripada UMNO/BN ke Warisan, dibuang keahlian menjadi calon Bebas dan sekarang bertanding atas tiket Bersatu.

Muis Picho
Ni lah Abd Muis Picho.. -Via Utusan Borneo

Ada yang menyatakan bahawa PRN Sabah ni jugak boleh dijadikan sebagai kayu ukur kepada pencapaian dan prestasi parti-parti politik di Malaysia, sekaligus turut dianggap sebagai penentu PRU15 nanti. Sama ada kenyataan ni betul atau tak, kami akan sentiasa cuba himpunkan maklumat-maklumat padat untuk korang faham pasal PRN Sabah ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *