Pilihan Raya Negeri Sabah, ada ahli politik tuduh TYT Sabah ada agenda politik

F1
Pilihan Raya Negeri Sabah, ada ahli politik tuduh TYT Sabah ada agenda politik

Lepas pembubaran DUN Sabah pada akhir Julai lalu, bermacam spekulasi dah kami dengar berkaitan politik Sabah. Bagi kami, benda ni perkara biasa bila nak disebut pasal ahli politik. Tuding-menuding, salah-menyalahkan satu sama lain… ni ayat biasa dalam senario dah nak pilihan raya. Tetapi kali ni, kami nak sebut pasal dakwaan dan spekulasi politik terhadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah pulak.

Tun Juhar Tyt Sabah
Ketua Negeri Sabah, lebih dikenali sebagai Tun Juhar.. Via Astro Awani

Ahli politik tuduh TYT Sabah berniat jahat, tak adil lepas luluskan pembubaran DUN Sabah

Kalau kecam Raja-raja Melayu, memang dah kena heret polis. Tapi berbeza di Sabah, sensitiviti tersebut dilihat agak kurang berlaku di pentas politik negeri tu walaupun peranannya hampir sama dengan institusi raja yang wujud di Semenanjung Malaysia iaitu menjadi Ketua Negeri dengan lantikan Yang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Ketua Menteri sendiri.

Di Sabah, Yang di-Pertua Negeri kini ialah Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin dan merupakan Yang di-Pertua Negeri yang ke-10 yang mulai dilantik sejak 1 Januari 2011.

Tun Juhar
Tun Hj. Juhar, TYT Sabah.. Via Sabah.gov

Walaupun begitu, beberapa ahli politik Sabah ni bukan je kini dikatakan mempopularkan budaya katak politik, mereka jugak secara terbuka mendakwa dan menuduh TYT Sabah ada kepentingan politik tersendiri. Sudah pastilah sebagai Ketua Negeri, mereka kenalah bebas dari sebarang kepentingan supaya dapat berlaku adil dan mengikut perundangan negeri.

Namun berbeza pulak tanggapan ahli-ahli politik ni. Misalnya, lepas kegagalan Musa Aman ‘merampas’ tampuk pentadbiran kerajaan negeri Sabah yang dipimpin Warisan; Musa Aman kemudiannya mengetuai usaha nak saman TYT Sabah bersama 32 ahli Dewan Undangan Negeri yang dikatakan menyokong kem Musa Aman. Selain tu, dia nak cabar semula keputusan pembubaran DUN tu walaupun ia merupakan bidang kuasa TYT serta Ketua Menteri ketika tu iaitu Shafie Apdal.

Sebuah pertubuhan NGO iaitu Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia @ G57 jugak turut kemukakan laporan berlakunya salah guna kuasa dan rasuah DI antara Shafie Apdal dengan TYT Sabah. Lebih panjang, dakwaan tersebut menyebutkan kaitan antara Tun Juhar yang dikatakan ‘terhutang budi’ dengan Shafie Apdal kerana telah dilanjutkan tempoh lantikannya sebagai TYT Sabah.

“Sebelum ini Tun Juhar pernah membantu memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk melompat keluar parti pada Mei 2018, bagi menyokong Shafie menjadi Ketua Menteri Sabah. Imbuhan yang diberikan ke atas Tun Juhar ialah Shafie telah membantu menggubal undang-undang untuk tidak lagi menghadkan tempoh jawatan Tuan Yang Terutama (TYT) yang sebelum ini dua penggal sahaja,”- Zulkarnain Mahdar, Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia @ G57, seperti yang dilaporkan Sabahkini2 pada 6 Ogos 2020

Shafie Bubar
Salah ke bagi rakyat tentukan semula?.. -Via Sabahkini2

Sudah pastilah dakwaan ni dakwaan yang berat, kerana secara tak langsung, ni boleh menjatuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pimpinan Tun Juhar dan Shafie Apdal sendiri. Ditambah lagi dengan wujud pulak spekulasi bahawa ada percubaan untuk ‘membeli’ ADUN agar menyokong Musa Aman; rakyat Sabah rata-rata dah semakin penat dan muak dengan spekulasi yang melingkari politik negeri.

Istana Negeri jawab semula tuduhan sebagai ‘tak berasas’, Jeffrey Kitingan masih tak percaya Tun Juhar tak bersalah

Oleh disebabkan dah banyak dakwaan yang ditularkan, Istana Negeri Sabah menerusi Setiausaha Sulit Kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Abinan Asli sangkal tuduhan-tuduhan tersebut. Menurutnya;

“Istana Negeri dengan ini menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Zulkarnain Mahdar. Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali serta mengandungi niat jahat,” – Seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada 6 Ogos 2020

Istana Sabah
Via The Star

Penjelasan Abinan Asli seterusnya lebih mengejutkan, di mana dia menafikan kebanyakan cerita dari Musa Aman mengenai perjalanannya ke Istana Negeri dengan bawa 33 akuan bersumpah lalu ditahan berdekatan pintu jalan menuju Istana Negeri. Sebelum ni, Musa Aman dikatakan telah dihalang daripada berjumpa dengan Tun Juhar. Cerita Musa Aman jugak disokong oleh Jeffrey Kitingan, kini Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Penafian ni buatkan kami jadi bingung nak percaya siapa, sama ada Istana Negeri atau ahli politik sendiri. Mengikut Jeffery Kitingan pulak, TYT dah tau pasal Musa Aman nak bawa bukti 33 akuan bersumpah tu dan berjanji nak tengok pada esok pagi. Tapi TYT dikatakan tak tunaikan janji lalu terus bubarkan DUN lepas pertemuannya dengan Shafie Apdal pada malam sebelumnya.

Adakah mereka harapkan rakyat percaya bahawa perjumpaan antara TYT, Menteri Dalam Negeri Datuk Hamzah Zainuddin, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Nardin dan lain-lain pada pagi 29 Julai untuk maklumkan TYT mengenai kesediaan Tan Sri Musa Aman menemui TYT dengan bukti 33 akuan bersumpah serta permintaan dari TYT sendiri untuk lihat salinan asal akuan bersumpah tu tak berlaku?”- Jeffrey Kitingan, seperti yang dilaporkan Daily Express pada 7 Ogos 2020

Musa Aman Saman Tyt
33 orang, diharap bentuk majoriti mudah.. Via Malaysiakini

Satu lagi drama politik Sabah berlaku, kali ni membabitkan beberapa pegawai tertinggi kerajaan sendiri hanya untuk membawa khabar bahawa Musa Aman akan bawa bukti 33 akuan bersumpah menghadap TYT. Tindakan TYT yang mendahulukan urusan dengan Ketua Menteri yang dilantik negeri dianggap sebagai tak adil oleh penyokong kem Musa Aman.

Walaupun begitu, SPR sudahpun menerima pembubaran kerajaan negeri Sabah dan sedang merangka cara pelaksanaan pilihan raya negeri Sabah. Bagi kami, tindakan TYT Sabah untuk membubarkan DUN sebenarnya suatu keputusan yang adil untuk rakyat kerana rakyat akhirnya berpeluang sekali lagi untuk memilih pimpinan. Yang berkuasa adalah rakyat, bukan ahli politik. Pengembalian hak kepada rakyat lebih baik, berbanding setakat nak kira hak ahli politik semata-mata.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top