37 calon wanita turun bertanding dalam PRN Johor, calon termuda berusia 26 tahun

wanitapolitik1

Di sebalik bermacam kritikan, tohmahan dan drama politik yang semakin rancak menjelang PRN Johor, sekali sekala kita jugak kena lihat kemanisan wujudnya pilihan raya secara umumnya. Pilihan raya memberikan peluang untuk kita memilih dan mengubah nasib serta masa depan negara. Namun peluang tu jugak mestilah datang dari pelbagai latar belakang, kepakaran dan bidang diorang. Jantina jugak memainkan peranan penting, sebab kita harus tonjolkan bahawa wanita jugak mampu jadi pemimpin dan diharapkan membawa perspektif serta permasalahan baharu khususnya mengenai isu wanita.

Kalau nak diikutkan, representasi wanita dalam barisan kepimpinan adalah suatu perkara yang disedari perlu wujud. Dalam PRN Johor kali ni, kita menyaksikan peningkatan jumlah calon wanita berbanding PRU14. Dulu, hanya 28 orang je.. sekarang, seramai 37 wanita diletakkan jadi calon.

61645875220 calonwanita
Via Astro Awani

BN letak barisan calon terbesar dan termuda dalam PRN Johor, semangat berkobar wanita membara tak kira parti

Mengikut laporan Astro Awani, BN merupakan parti yang mengetengahkan bilangan calon wanita terbesar dengan 14 calon. Beberapa calon kuat BN, Nor Rashidah Ramli dan Rashidah Ismail antara calon wanita yang diletakkan untuk mempertahankan kerusi yang diorang menangi dulu pada 2018 iaitu di DUN Parit Raja dan Pasir Raja. Selain tu, BN turut meletakkan sorang calon wanita termuda dalam PRN kali ni iaitu Kelly Chye Pei Yee yang berusia 26 di DUN Mengkibol.

calonbnwanita
Via My TV Online

Sementara tu, PH letak 8 orang calon wanita untuk tawan semula kerusi DUN. Antara muka popular yang kini disebut-sebut ramai adalah Marina Ibrahim. Marina Ibrahim ni merupakan Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor. Kami difahamkan ni merupakan kali pertama dia diberi amanah untuk bertanding di DUN Skudai. Dalam ceramah sulungnya, dia berkongsi pengalaman berkempen untuk dirinya sendiri di khalayak ramai;

“Saya berhenti sebentar panik, sebabnya saya takut apa yang saya sampaikan boleh diterima atau pun boleh difahami. Ini adalah kali pertama untuk saya bertanding, memang gementar. Bukan gementar sedikit tetapi sangat-sangat gementar.

Ini adalah satu permulaan yang baik untuk saya belajar banyak perkara. Kalau kita tengok sebelum ini, saya lebih tertumpu pada kerja-kerja di bawah. Bukan untuk kerja-kerja kempen. Tapi hari ini bila diberi peluang dan menjadi calon pertama kali saya rasa untuk malam ini agak baiklah,”- seperti yang dilaporkan Malaysia Gazette

penamaan calon johor marina ibrahim dap 250222
Marina Ibrahim di tengah.. -Via FMT

Selain tu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya letakkan 2 orang calon wanita iaitu Amira Aisya Abd Aziz di DUN Puteri Wangsa dan Nur Afiqah M. Zulkifli di DUN Bukit Kepong. Ni tentunya suatu pengalaman baharu buat diorang dan MUDA. Semangat Afiqah M. Zulkifli menggamit perhatian media. Baginya, situasi politik negara kini dipenuhi golongan ‘elit politik’ mengakibatkan Malaysia semakin terkebelakang dan dikatakan takde perubahan dalam pembuatan polisi.

“Tetapi rakyat tidak boleh ambil mudah kuasa mengundi itu. Rakyat pun ada kuasa, kalau ‘elit politik’ ini dia ada duit yang banyak, (tetapi) rakyat perlu sedar yang rakyat ada kuasa mengundi.
Dengan keluar mengundi, dengan soladiriti daripada rakyat, rakyat mampu menukar pemimpin dan mampu mengajar pemimpin yang merasakan mereka boleh membeli undi… yang merasakan pengundi ini boleh digula-gulakan, boleh ditipu, dicandukan dengan wang, (atau) dengan retorik agama dan kaum,”- Afiqah M. Zulkifli, seperti yang dilaporkan Astro Awani
Perikatan Nasional pula letak 6 calon wanita, manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), 4 calon dan PKR pulak hanya 3 orang calon. Namun begitu, secara gambaran penuhnya… ni boleh dikatakan suatu pembaharuan yang baik apabila parti-parti politik pun dah berani letak calon wanita dan tidak lagi terlalu utamakan calon lelaki dan dah capai usia tertentu sebagai wakil diorang.

Zuraida nak pengundi cuba beri peluang pada calon wanita, baru je dapat anugerah antarabangsa

Lama jugak kita tak dengar khabar Zuraidah Kamaruddin, yang merangkap Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi. Walaupun ramai dilihat agak kritikal dengan Zuraida, namun apa yang dikatakannya tentang calon wanita dalam PRN kali ni memang penting dan tepat. Baginya, pemilihan lebih ramai calon wanita sebagai rakyat membolehkan lebih banyak isu berkaitan jantina dan keluarga dapat dibincangkan dalam Dewan Undangan Negeri.

Dia yang turut merupakan Presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) turut kata, walaupun jumlah calon wanita hanyalah 15.5% daripada jumlah calon bertanding… pengundi perlu beri peluang kepada calon-calon berkenaan untuk menang di kawasan-kawasan yang ditandingi.

“Seramai 37 wanita daripada 239 calon telah dicalonkan untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri Johor 2022. Angka ini adalah bertambah daripada 28 orang calon wanita pada pilihan raya negeri yang lalu. Untuk mencapai 30 peratus wanita dalam Dewan Undangan Negeri, sekurang-kurangnya 17 orang wanita perlu menang di kawasan-kawasan mereka,”- Zuraida Kamaruddin, seperti yang dilaporkan Astro Awani

politik wanita
Merujuk laporan Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih di Malaysia.. -Via DOSM

Menyambung lagi:

“Bagi pihak COMWEL, saya juga mengucapkan tahniah dan semoga berjaya kepada kesemua calon-calon wanita ini dan berharap mereka akan membawa perubahan positif kepada rakyat sekiranya mereka berjaya menjadi wakil rakyat nanti,” – seperti yang dilaporkan Astro Awani

Kami setuju dengan kenyataan Zuraida Kamaruddin. Perwakilan wanita amat penting. Jika dahulu, ramai yang lebih selesa tengok warna, bendera parti… kali ni, mungkin para pengundi harus mempertimbangkan calon wanita sebagai pemuka baharu wakil rakyat di kawasan masing-masing. Rata-rata calon wanita yang diletakkan ni tentunya memiliki karisma, kredibiliti, reputasi dan kekuatan tekad yang sama dengan calon lelaki yang lain. Jantina tak membezakan hal-hal insaniah, sebaliknya perkembangan dirilah yang menentukan kualiti personaliti masing-masing.

zuraida anugerah 1645940163
Via BH Online

Untuk pengetahuan korang jugak, Zuraida Kamaruddin baru-baru ni dah terima 2 anugerah dari 2 universiti iaitu Universiti Teknologi Maklumat dan Sains (UITS) dan Universiti Asia Pasifik di Bangladesh. Menurutnya dalam satu kenyataan, penganugerahan UITS tu adalah untuk menghargainya sumbangannya kepada pemerkasaan wanita.  Selain tu, dia jugak turut menerima Anugerah ‘Kesaksamaan Gender’ (Pemerkasaan Wanita) daripada Universiti Asia Pasifik di Dhaka.

Dia terima anugerah tu selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Kesaksamaan Gender di Tempat Kerja dan Kesan Terhadap Covid-19’. Dalam ucaptamanya tu, dia kata dengan peranannya sebagai ahli politik wanita; dia akan terus perjuangkan kesaksamaan gender, termasuklah dalam penggubalan dasar. Tambah lagi, dia jugak ada berkongsi pengalamannya dalam sektor korporat dan penglibatannya dalam misi kemanusiaan di luar negara seperti Afghanistan dan Indonesia.

Kami bangga dengan pencapaian Zuraida sehingga mampu diiktiraf di peringkat antarabangsa. Biasalah, sedikit perselisihan dan percanggahan idea politik tu sebahagian dari adat politik. Namun jika ada kalangan rakyat kita berjaya dianugerahkan di peringkat antarabangsa… takde salah kita nak bangga dan tumpang gembira dengan hal tersebut. Lagipun, ni jugak merupakan salah satu langkah untuk membuktikan bahawa ahli politik wanita jugak mampu memimpin dan mentadbir negara sepertimana ahli politik lelaki.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *