Nampaknya PH plus kena pilih PM di antara Anwar dan Mahathir lagi, siapa agaknya?

F1

Setelah Covid-19 perlahan-lahan meninggalkan kita, nampaknya drama politik pulak semakin menghampiri kita. Negara telah menyaksikan krisis politik 1.0 versi 2020 pada penghujung Februari dan awal Mac lepas; krisis yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan telah ditumbangkan melalui rundingan pintu belakang. Kalau tanya kami, kami memang tak setuju mana-mana kerajaan (tak kira siapa jadi kerajaan) yang dah dipilih melalui pilihan raya ditumbangkan melalui rundingan pintu belakang.

3
Anda masih ingat dengan gambar ni? Via FMT

Kalau baca artikel kami pun, kami konsisten cakap benda ni. Nampaknya, ada khabar angin yang mengatakan PH nak jadi kerajaan semula. Kalau tanya kami; benda pertama yang kami akan cakap – kalau PH bercadang nak jadi kerajaan sekali lagi, tapi masih guna pendekatan yang sama macam dulu, baik jadi pembangkang je lah. Kejatuhan PH dahulu memang disebabkan pengkhianatan kawan sendiri, tapi kena ingat – akibat sikap sesetengah pemimpin mereka yang “ego dan degil”, ramai yang tak puas hati dengan mereka.

Pemimpin Pakatan Harapan plus adakan pertemuan untuk muktamadkan calon PM? Tapi diorang ajak kita main teka-teki

Baru-baru ni pimpinan tertinggi Pakatan Harapan, Warisan dan beberapa wakil Bersatu (team Mahathir) adakan pertemuan tergempar. Menurut laporan media, perjumpaan tu diadakan untuk muktamadkan rancangan mereka untuk jadi kerajaan semula. Cuma Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan ibu pejabat PKR (tempat mesyuarat tu diadakan), tanpa sebarang kenyataan kepada media. Agaknya diorang nak kita main teka-teki lah tu.

Kita letak tepi dulu persoalan – adakah PH plus (PH, Bersatu dan Warisan) ni memiliki ahli Parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan atau tidak. Sebabnya, kebanyakan ahli politik di Malaysia ni simple je; diorang tak kisah siapa pun yang jadi kerajaan, apa yang penting poket diorang terjaga. Oleh sebab tu, tak mustahil kita akan lihat adegan melompat parti secara berjemaah akan berlaku lagi.

Okay, katakanlah PH plus ni memiliki jumlah yang cukup untuk jadi kerajaan semula, mereka ada satu persoalan penting yang perlu dijawab; siapa yang akan jadi Perdana Menteri? Hanya ada dua individu je yang boleh difikirkan apabila kita bercakap pasal benda ni – Tun Mahathir atau Anwar Ibrahim. Tak keterlaluan kalau kami katakan – salah satu sebab berlakunya perpecahan dalam PH dulu – ruang untuk dieksploitasi oleh mereka yang gila kuasa – berlaku kerana isu transisi kuasa di antara Tun M dan Anwar.

3
Yang mana satu pilihan hati? Via Al-Jazeera

Isu ini harus dibincangkan secara kritikal di peringkat PH plus, mereka harus ada perancangan yang jelas; tentang siapa yang akan menjadi pemimpin nombor satu koalisi itu. Benda ni macam sembahyanglah, mana boleh ada dua imam. Adakah mereka akan terus gunakan Mahathir sebagai PM, atau kali ni nak beri peluang kepada Anwar pulak. Kami tengok proses rundingan tu tengah berjalan, kami nampak – macam DAP dan Amanah cuba nak jadi orang tengah. Sebab tu meeting Amanah dan DAP dilakukan secara berasingan dengan Anwar dan Tun M, minggu lepas.

Bagilah Anwar tu jadi PM, kami pun nak tahu jugak apa jadi kalau dia jadi PM

Kami rasa generasi remaja dan “tua sikit (nak jaga hati)” yang sokong Pakatan Harapan dibesarkan dengan idea “Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia”. Oleh sebab tu, ada kumpulan yang rasa kesal sebab dia tak jadi PM hari tu. Benda ni simple je sebenarnya, sebab Anwar selalu bagi naratif – kalau dia jadi PM, negara akan jadi lebih baik dan progresif. Dia sebenarnya dah dua kali hampir jadi PM, tapi sehingga hari ni masih tak berpeluang lagi.

3
Gambar ikonik yang boleh buat sesetengah orang naik syeikh. Via FMT

Bukan apa, kami rasa dia perlu diberi peluang. Kita tengoklah macam mana dia jadi PM, boleh pakai atau tak boleh pakai. Kalau dia betul-betul laksanakan apa yang dia kata, rakyat Malaysia jugak yang akan dapat untung. Kalau masa dia jadi PM tu, dia tak buat benda yang dia propagandakan selama ni, bolehlah namanya disimpan dalam buku teks sejarah. Kami percaya dia perlu diberi peluang, supaya perkataan “kalau dia jadi PM, mesti jadi lain” dapat dipadamkan dalam minda kebanyakan orang.

Satu lagi poin yang bagus – Anwar memiliki kerusi ahli Parlimen yang lebih ramai ketika ini – begitu juga semasa PH hari tu. Kalau dulu penyokong Pakatan Harapan kata; Anwar dah berhati besar kerana sanggup bekerjasama dengan Tun M dan berikan dia posisi PM, kini adalah masa yang sesuai untuk Tun M pula untuk berhati besar. Kalau diikutkan, krisis politik ni berlaku akibat dia meletakkan jawatan sebagai PM, tempoh hari. Sedikit sebanyak, dia juga perlu bertanggungjawab untuk itu.

3
Adakah kali ni Tun Mahathir pulak yang akan “berjiwa besar”? Via NST

Lagipun Tun Mahathir dah jadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun + 22 bulan; kami rasa apa je yang dia nak lakukan, dia dah ada peluang yang secukupnya. Kami rasa, dia boleh je berfungsi sebagai menteri mentor atau penasihat, memandangkan dia ada pengalaman yang luas. Cuma ini je cara yang diorang boleh lakukan untuk memperlihatkan PH yang baru ni (kalau betul khabar angin yang diorang nak jadi kerajaan balik), akan dilihat berbeza daripada kerajaan yang dulu.

Kalau isu Anwar-Mahathir ni dah selesai, PH plus ada banyak kerja lagi yang kena dibereskan

Kalau isu Mahathir-Anwar ni dah selesai, dan ditakdirkan diorang jadi kerajaan semula, PH perlu mula tengok balik apa manifesto diorang semasa PRU14. Diorang ni kadang-kadang mangkuk jugak, macam lupa ingatan dengan apa yang diorang dah janjikan kepada rakyat. Padahal, diorang dah diberikan mandat kerana janji-janji ini. Apabila PH hari tu kelihatan takde minat nak tunaikan manifesto yang diorang janjikan, rakyat dah mula naik muak.

Kalau diorang diberi peluang sekali lagi, mereka kena berbeza. Naratif dan komunikasi yang mereka jual juga harus terlihat lebih kemas. Cuma korang kena ingat, ini kita sembang “kalau”, takde siapa yang tahu siapa yang ada majoriti sekarang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *