Bukan semua masyarakat Cina yang menolak tulisan Jawi rasis, tapi…

Khat Dalam Bahasa Melayu
Bukan semua masyarakat Cina yang menolak tulisan Jawi rasis, tapi…

Isu tulisan Jawi ni nampaknya semakin panas. Benda ni dah melibatkan banyak pihak, tak kiralah kelompok yang menyokong atau menentang – semuanya nampak tengah panas. Kami pun cubalah dalami isu ni sedalam-dalamnya, sedalam cintaku padamu, chewah. Masa kami tengah godek-godek padangan berpuluh-puluh orang tentang isu ni, kami terjumpa satu pandangan yang agak unik, jadi kami pun rasa kami patut kongsikan artikel tu dengan korang, supaya korang boleh faham isu ni dengan lebih baik…

Terlalu terburu-buru kalau nak anggap semua orang yang tolak bahasa Jawi ni rasis…

Kali ini, isu pengenalan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi pelajar darjah empat sekolah jenis kebangsaan – cetuskan pertikaian hangat dalam kalangan masyarakat Cina. Macam biasalah, perdebatan isu pendidikan akhirnya dicorongkan kepada perkauman dan agama, yang sudah tentu menyempitkan, jika pun ada jalan keluar di penghujungnya.

Via Yadim

Sementara tak menafikan wujudnya sentimen perkauman dalam sesetengah komuniti Cina yang membantah, agak simplistik jugak kalau kita anggap semua yang membantah, bersikap rasis. Contohnya, ramai yang khuatir pembelajaran tulisan Jawi ni membebankan murid sekolah rendah. Suara sebegini datang daripada ibu bapa, dan juga sesetengah guru. Jikalau dikupas lagi, mereka menganggap sukatan bahasa Melayu sedia ada terlalu berat untuk digalas murid sekolah jenis kebangsaan.

Bukan kerana mereka menolak pembelajaran bahasa Melayu, tetapi silibus yang terlalu sukar bermula dari darjah satu akan mengendurkan keyakinan murid, lantas melunturkan minat mereka untuk mempelajari subjek tu. Benda ni masalah yang berlonggok sejak berzaman-zaman lagi. Diorang sebenarnya menaruh harapan tinggi agar kerajaan baru ini merombak sistem lama, dan mengembalikan pendidikan kepada landasan yang betul tanpa dipengaruhi politik.

Via Pendidik2U

Malangnya, masalah lama belum habis diselesaikan, sebaliknya ditambah pula dengan isu baru – cukup untuk meledakkan kebimbangan diorang, disusuli dengan kemarahan yang meluap-luap. Andainya pengenalan seni khat ni dilaksanakan atas alasan untuk memahami dan menghayati keindahan bahasa Melayu, bagaimana pula dengan tulisan Pallava, Kawi dan Nagari yang mempunyai pengaruh besar ke atas bahasa Melayu, sebelum kedatangan tulisan Jawi?

Itu pun belum lagi mengambil kira Malaysia sebagai masyarakat berbilang kaum. Bayangkan, kalau ada yang menuntut agar bahasa/tulisan Tamil, bahasa kaum asal dan sebagainya juga “diperkenalkan” dan “dihayati”, bukankah ia satu beban kepada guru dan pelajar? Bukankah ia bercanggah dengan matlamat yang digariskan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sendiri, yang mahu mencorakkan suasana kegembiraan tanpa beban dalam sekolah?

Hakikatnya, beberapa cadangan diketengahkan, termasuk mengajar seni khat dalam mata pelajaran seni, tidak dipaksakan atau diwajibkan, sebaliknya diberi kebebasan kepada mereka yang berminat untuk mempelajarinya. Mereka yang mengajukan pandangan dan cadangan sedemikian, tidak harus digolongkan sebagai jahil dan rasis.

Melihat isu dengan sentimen semata-mata merupakan isu masyarakat kita sejak sekian lama

Bagaimanapun, tulisan ini tak jujur jikalau cuba menyorok kegusaran sebenarnya yang menyelubungi masyarakat Cina dalam isu ni. Mereka gusar seandainya “pengenalan seni khat” hanya langkah pertama, sebelum “pembelajaran tulisan Jawi”, yang berakhir dengan proses islamisasi. Bunyinya agak jahil, kerana “menyamakan tulisan Jawi dengan agama Islam”.

Via PerakToday

Hakikatnya ramai yang mempercayai bahawa dengan menguasai tulisan Jawi, seseorang itu lebih memahami al-Quran – cuma mereka tertinggal satu syarat penting, iaitu penguasaan bahasa Arab.

“Mengenali tulisan Jawi tidak semestinya menjadikan kamu seorang Muslim,” demikianlah suara yang cuba memujuk masyarakat Cina agar berlapang dada dalam isu ini. “Memandang salib juga tidak menjadikan kamu seorang Kristian, habis mengapa mereka membantah?”

Inilah sentimennya. Sentimen sedemikian bukan muncul dalam sekelip mata, tetapi sudah dilonggok untuk sekian lama. Situasi ini berlaku kerana banyak perubahan yang tergendala, atas alasan “menjaga sensitiviti dan sentimen Melayu”. Apabila isu Icerd menyaksikan pusingan U, apabila pengiktirafan UEC ditangguhkan, pemimpin Pakatan Harapan sering mengulangi alasan “demi menjaga sentimen Melayu”.

Weh ada Salib! Via Giphy

“Apabila masyarakat Melayu menolak Icerd, maka ia ditarik balik. Apabila masyarakat Cina menolak pengenalan seni khat (atau pembelajaran tulisan Jawi), mengapa kerajaan tidak menarik balik keputusannya?” Malah, suara yang lebih keras berbunyi, “Mengapa apa yang disokong masyarakat Cina, misalnya pengiktirafan UEC ditangguhkan; sebaliknya apa yang ditolak masyarakat Cina, misalnya pengenalan seni khat, diteruskan? Jelas, ia adalah hegemoni, di mana Melayu cuba menunjukkan kekuasaan mereka ke atas kaum lain!”

Kita harus menjadi masyarakat yang menggunakan kaedah hujah melawan hujah

Apa seterusnya? Apabila sentimen dikerah untuk melawan sentimen, mustahil kita mendapat kesudahan yang rasional. Setiap aksi akan mengundang reaksi, dan tiada penghujung seandainya kita terus dihanyutkan arus populis. Ia hanya akan berakhir dengan ditelan pusaran, apabila arus dari pelbagai arah bertemu.

Via Giphy

Sudah tiba masanya kita kembali kepada perbahasan dasar yang mengangkat hujah yang profesional dan rasional. Sesuatu dasar yang diketengahkan dengan niat baik, perlu diambil kira kesan dan akibatnya. Ia bukan cara yang profesional untuk satu kementerian, jika hanya melontar satu idea dan kemudian mempertahankannya dengan pelbagai dalil tanpa hujah dan fakta yang kukuh.

Artikel ini diambil dan disunting dari artikel tulisan Lim Hong Siang yang bertajuk Jawi, Cina dan DAP terbitan MalaysiaKini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print