Umur 18 tahun dah boleh mengundi, ini antara platform untuk terlibat dalam demokrasi

15nt51jj 1563118218

Baru-baru ni Parlimen dah luluskan pindaan Perlembagaan yang menyaksikan mereka yang berumur 18 tahun dah boleh pergi mengundi. Sudah tentu parti-parti politik yang ada di Malaysia ni tengah keluar air liur nak pergi cari jalan untuk mengoda kelompok muda yang masa tu mungkin tengah fikir nak buat apa selepas tamat SPM.

Persoalan matang tak matang yang dikaitkan dengan usia nampaknya agak tergopoh-gopoh. Setiap segmen umur masyarakat mempunyai ‘kumpulan tak matang’. Apa yang penting untuk anak muda hari ni – mereka tidak tergopoh-gopoh untuk masuk ke parti politik. Sebab tu kami akan cuba berikan korang beberapa tips yang kami fikir penting menjelang ‘tsunami parti politik’ yang akan cuba merekrut anak muda.

Korang boleh jadi terlibat aktif dalam politik tanpa perlu menjadi ahli parti

Idea yang mengatakan seseorang itu perlu menjadi ahli politik untuk aktif secara politikal dalam proses demokrasi negara adalah sesuatu yang kurang tepat. Seseorang anak muda tu boleh je terlibat aktif dalam proses demokrasi negara seperti memberi komentar, kritikan atau mengaturkan gerakan untuk menggugat parti kerajaan atau pembangkang.

Via Youtube

Selain semak imbang yang berlaku di antara kerajaan-pembangkang, kewujudan kuasa ketiga yang selalunya dipimpin oleh aktivis non-partisan akan beri sumbangan yang besar untuk menjadikan demokrasi kat negara ni lebih sihat. Parti politik adalah platform (nanti kita sembang lebih panjang) – tapi ia bukanlah satu-satunya platform untuk terlibat secara politikal.

Cuma masalah besar yang kami tengok untuk aktivis – korang kena sedia berkorban atau menjadi korbanlah. Korang akan kurang ‘safety net’ – masa korang berkempen tu mungkin akan ramailah ahli politik join sekali. Tapi percayalah, kebanyakan diorang tu buat macam tu sebab nak dapat political mileage je, bila korang ada masalah; contohnya ditangkap, kalau keterlibatan diorang mungkin akan sebab diorang kehilangan kedudukan, mesti akan lesap punya.

Boleh je terlibat dengan parti politik pada usia muda, tapi kena nilai kemampuan dan kerjaya

Walaupun kat poin sebelum ni kami nampak macam skeptikal dengan keterlibatan anak muda dengan parti politik, tapi kami sebenarnya takdelah kata anak muda tak boleh join parti politik. Kalau anak muda tak terlibat dengan parti politik – maka parti-parti politik yang ada kat Malaysia ni akan syok sendiri. Maka tinggal ler orang-orang tua yang mendominasi parti politik.

Antara ahli politik muda yang berjaya. Via Astro Awani

Cuma, kalau korang nak masuk parti politik – korang kena tetapkan dahulu apa pendirian, bagaimana korang nak berfungsi dan apa perancangan korang dalam parti politik. Parti politik ni amat ‘struktural’ – maksudnya korang kena berada dalam proses yang panjang untuk memegang jawatan yang penting. Tapi ada je orang yang naik cepat kerana ‘kelebihan’ diorang yang tersendiri – contoh terbaru Syed Sadiq yang jadi Menteri Belia dan Sukan.

Pilihan di tangan anda. Via Giphy

Namun untuk kebanyakan orang, korang perlu menjadi ‘tua’ untuk memanjat tangga jawatan. Jadinya, sebagai orang biasa – korang kena gunakan masa muda tu untuk korang belajar dan tambah kemahiran seberapa banyak yang boleh, itu pun kalau korang ada cita-cita nak jadi pimpinan parti atau wakil rakyat. Kalau setakat nak jadi pengundi dan ahli biasa, korang bolehlah fokus bina kerjaya professional. Korang mungkin akan join politik dengan serius bila dah stabil nanti.

Apa yang positif, dah banyak parti-parti politik yang berikan peluang untuk anak muda pikul jawatan penting. Baguslah macam tu – pengalaman orang tua harus diimbangi dengan semangat anak muda.

Pemilihan platform penting untuk dilakukan oleh anak muda…

Semua orang memiliki peranan mereka yang tersendiri – bermula dari Perdana Menteri sehinggalah pengundi biasa. Begitu jugak dalam segmen anak muda; setiap anak muda ada peranan dan sumbangan diorang yang tersendiri. Tidak kiralah anak muda tu ambik platform untuk jadi ahli parti politik, aktivis, kaki sembang kat media sosial atau pengundi biasa – diorang semua ada peranan penting untuk demokrasi negara.

Apa yang paling penting adalah ilmu dan analisis yang kritikal dalam melakukan keputusan dalam demokrasi. Kami harap keputusan Parlimen menurunkan had umur mengundi akan diambil sebagai sesuatu yang positif dan diorang akan gunakan peluang ni untuk jadikan negara kita lebih maju. Oh ya, kami ada buat satu kuiz untuk korang; kuiz untuk tentukan korang ni sepatutnya sokong kerajaan atau pembangkang, meh ambik kat sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *