Isu diplomat Malaysia didakwa gagal urus PM di UAE, ini cerita selanjutnya

ismail diplomat uae
Isu diplomat Malaysia didakwa gagal urus PM di UAE, ini cerita selanjutnya

Baru-baru ni, kita dikejutkan dengan kisah dua orang diplomat Malaysia yang dipanggil pulang ke tanah air selepas didakwa tak urus PM ketika buat lawatan di UAE awal April lalu. Isu ni jadi lebih besar apabila panggilan tersebut menjadi faktor ketidakpuashatian dan kekecewaan para pegawai diplomat yang lain. Diorang rasa tak adil diperlakukan macam tu, ditambah lagi selepas UAE sendiri dah terlebih dahulu tak nasihatkan PM Ismail Sabri datang.

Sekarang ni pulak, ada sorang lagi bekas duta yang memang berpengaruh bercadang nak kemukakan surat bantahan kepada Wisma Putra. Tak cukup dengan tu, tindakan Wisma Putra menangani isu PM tak disambut meriah oleh pegawai tinggi UAE ni turut mengundang kritikan ramai.

ismailsabri uae
Via FMT

Wisma Putra akhirnya mengaku dah panggil 2 diplomat kerana PM gagal disambut dengan baik

Mulanya, isu ni hangat diperkatakan ramai kerana ada orang kata, diplomat-diplomat ni sebenarnya dah tau dan maklumkan pada Wisma Putra bahawa UAE tak nasihatkan PM Ismail Sabri untuk datang buat masa ni. Dikatakan, UAE sekarang menerima ratusan lagi tetamu kehormat negara lain untuk Ekspo Dunia Dubai 2021. Menurut laporan dari The Malaysian Insight (yang dipetik dalam blog Tukar Tiub), Duta Besar, Mohd Tarid Sufian dan Konsul Jeneral di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid dah ‘diarah pulang dan direhatkan’ kerana tak sediakan sambutan sewajarnya ketika ketibaan Ismail Sabri.

Mohd Tarid dan Mohd Hasril ni merupakan pegawai diplomatik kanan yang hadir di lapangan terbang untuk sambut PM ketika dia tiba di Dubai tanpa kehadiran pegawai kanan tinggi UAE. Ni bertentangan dengan protokol yang biasa diamalkan. Biasanya, pegawai kanan tuan rumah akan hadir menyambut ketibaan tetamu kehormat asing yang melawat.

“Tidak ada pegawai kanan kerajaan dari UAE yang menerima ketibaan mereka. Sambutan itu tidak sesuai dengan status seorang perdana menteri”, – Sumber, seperti yang dipetik FMT

uae diplomats
Dari kiri, Mohd Tarid dan Mohd Hasril

Satu lagi sumber dilaporkan berkata Mohd Tarid dah maklumkan kepada Wisma Putra tentang kekhuatiran kerajaan UAE tentang masa lawatan Ismail Sabri. Walau bagaimanapun, makluman tu tak diendahkan. Sumber dipetik kata;

“Wisma Putra atau menteri luar sepatutnya menasihatkan perdana menteri untuk menjadualkan semula lawatan itu. Ini adalah kelemahan besar kerana melibatkan diplomasi dan reputasi kerajaan,”- sumber, seperti yang dipetik FMT

Oleh disebabkan hal ni, kedua-dua pegawai tersebut dipanggil semula ke Malaysia dan ‘direhatkan’. Akibatnya, ramai bersimpati dengan isu ni dan luahkan rasa kecewa dengan hal ni. Wisma Putra kemudiannya arahkan kedua-dua diplomat ni pulang ke tanah air, dengan alasan “gagal selaraskan urusan pentadbiran serta logistik” bagi lawatan tersebut.

mohd tarid diplomat uae
Mohd Tarid pernah ditugaskan di Filipina, Sudan dan Algeria sebelum ditempatkan di UAE… -Via Facebook

Menerusi kenyataan Kementerian Luar Negeri (KLN):

“Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam…

Lazimnya, dalam apa keadaan sekalipun, seperti ketika Ismail Sabri menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tetamu, namun Ketua Perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikuti SOP untuk Perdana Menteri,”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian

ismailsabri uae1
Via Umno Online

Jelas KLN lagi, kegagalan kedua-dua ketua perwakilan tu menyebabkan Ismail Sabri kena tunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai. Selain tu, liputan, kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Ismail Sabri seperti biasa takde. Kedua-dua pegawai tersebut jugak gagal maklumkan kepada kementerian di Putrajaya tentang penganjuran Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia (WGS) yang diadakan di dalam kawasan Ekspo Dubai. Pimpinan tertinggi KLN cuma tau pun ketika pagi 30 Mac melalui sumber lain. Kalau dah dimaklumkan awal, pasti ada usaha dibuat supaya Ismail Sabri dapat sampaikan ucapan dalam program tersebut.

JPA nafi panggilan pulang bererti masuk ‘cold storage’, bekas duta nak hantar surat bantahan

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah kata kedua-dua diplomat tu akan ditempatkan di Wisma Putra sebelum diberi tugas baharu. Dia nafikan diorang diletakkan di ‘pool’ JPA dan masuk ‘cold storage’ sebagaimana yang didakwa ramai. Diorang jugak akan diberi kursus meningkatkan kemahiran bila pulang.

Untuk pengetahuan korang, istilah ‘cold storage’ ni difahami ramai sebagai satu situasi yang mana seseorang penjawat awam tu akan ditahan kenaikan pangkatnya dan tak diberi tugasan baharu yang lebih sesuai dengan kemahiran diorang. ‘Cold storage’ ni biasanya digunakan untuk merujuk kepada para penjawat awam yang disifatkan bermasalah.

“Penempatan semula duta-duta untuk menjalani kursus itu merupakan perkara biasa di KLN… Mereka dibayar gaji, gaji tidak dipotong dan diberi tugasan serta kursus. Dalam perkhidmatan orang pergi kursus dibayar gaji. Interpretasi ‘cold storage’ dalam kalangan masyarakat itu berbeza-beza dan harus diperbetulkan,”- seperti yang dilaporkan FMT

Susulan panggilan pulang kedua-dua duta tersebut, ramai pegawai kanan dilaporkan tak puas hati dengan keputusan Wisma Putra. Sekerat audio tular kemudiannya dimuatnaik dan didengari ramai memberi gambaran bahawa wujud konflik dalaman para pegawai kanan dengan Menterinya, Saifuddin Abdullah. Dalam audio tu, dirakamkan perbualan sorang lelaki yang sedang bercakap dengan sorang ‘Datin’ tentang masalah dalaman tu serta kerisauan mengenai kekosongan jawatan diplomat Malaysia di beberapa negara. Sebelum ni Shafiq, Ketua Pengarah JPA kata sebanyak 29 perjawatan perwakilan masih belum disi dan sedang diusahakan dengan Ketua Setiausaha KLN M. Shahrul Ikram Yaakob.

Berkenaan rakaman tular tu, Wisma Putra dah buat laporan polis demi melindungi kepentingan dan imej KLN. Saifudin Abdullah jugak dikritik oleh bekas Menteri Luar, Anifah Aman. Bagi Anifah, Saifudin perlu bertanggungjawab atas kekeliruan tersebut. Ini senada dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin kerana gagal pastikan Ismail Sabri diberi penghormatan sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin utama negara dan kejadian tu sangat memalukan.

“Jika saya secara peribadi, akan menangani situasi itu dengan cara yang lain dan menggesa supaya siasatan dalaman dilakukan terlebih dahulu. Saya ada keraguan sendiri mengenai diplomat kanan dan berpengalaman seperti itu mengabaikan perkara penting, khususnya apabila ia membabitkan Perdana Menteri…

Sebagai Menteri Luar (ketika itu), saya akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap sebarang kekurangan yang berlaku ketika lawatan Perdana Menteri… Insiden seperti ini jarang berlaku dan jika berlaku sekalipun, ia dapat dihalang jika Menteri Luar berada di UAE terlebih dahulu untuk secara peribadi meninjau persiapan lawatan Perdana Menteri… Ia adalah sebahagian daripada tugas seorang Menteri Luar dan jika beliau gagal berada di sana, beliau tidak sepatutnya setuju atau mengarahkan dua diplomat itu dipanggil pulang,” – Anifah Aman, seperti yang dilaporkan BH Online

Noor Farida Mohd Ariffin, bekas diplomat negara yang pernah bertugas di Belanda berkongsi kepada FMT bahawa ramai bekas rakan sejawatnya turut ‘geram’ tentang tindakan yang diambil ke atas kedua-dua pegawai Malaysia. Dia mendakwa menerusi teks pesanan antara dirinya dan bekas rakan sekerja di Wisma Putra, ramai marah dan kecewa kepada menteri dan ‘pegawai kurang berprestasi’ di pejabat Perdana Menteri.

“Mereka kata beliau adalah pegawai diplomatik berwibawa yang tidak sepatutnya dilayan dengan cara tidak patut, terutama isu terjadi bukan menjadi kesalahannya.”- seperti yang dilaporkan Mykmu.net

Oleh demikian, meletakkan dirinya di tempat Saifudin, dia pasti akan buat bantahan keras terhadap PM dalam mesyuarat mingguan Kabinet berhubung ‘cara duta kita ke UAE dilayan’. Khaled Nordin jugak terdahulu menyuarakan ketidakpuashatiannya terhadap tindakan Wisma Putra yang seolahnya nak salahkan segalanya pada bahu diplomat semata-mata. Bahkan sejak 2018, keterlibatan Malaysia dilihat semakin mengecil di peringkat antarabangsa khususnya selepas Saifudin ambil alih jawatan menteri luar dalam kerajaan PH. Saifudin kemudiannya jadi menteri komunikasi dan multimedia dalam kabinet Muhyiddin Yassin. Bila Ismail jadi PM semula, Saifuddin kembali ke KLN.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top