Lukisan Dewan Rakyat penuh katak dan monyet tarik minat Sultan Selangor, ini rupanya inspirasi lukisan tersebut

lukisan parlimenmonyet

Seni dan sastera sentiasa memainkan peranan yang besar dalam kebudayaan manusia. Ia meraikan rasa, melahirkan perasaan dan menzahirkan pengharapan sorang seniman kepada sesiapa yang menatap hasil karya diorang. Nikmat seni dan sastera menghidupkan keindahan perbezaan sesama kita, memberi peluang kepada keunikan dan mungkin… kelucuan. Baru-baru ni, kita menikmati lukisan satira yang cukup kena pada situasi negara beberapa ketika ni. Lebih-lebih lagi, ia dibeli oleh sorang Sultan yang sedang duduk jadi ketua negeri.

Sementara lukisan tu tak dapat dikenali siapa artisnya, kita dapat kenali lukisan tersebut dari siapa yang tengah milikinya sekarang. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin memutuskan untuk beli karya tersebut dan akan digantung dalam bilik pejabat peribadinya nanti. Oleh sebab sultan berkenan nak beli, ada pulak orang politik pun nak beli jugak… walaupun dari Sultan sendiri.

sultan lukisan
Via Malaymail

Lukisan monyet dan katak ‘mengusik’ hati rakyat, sorang ahli politik nak beli bila Sultan dah lelong

Pada 12 April lalu, akaun Instagram rasmi diraja Selangor muat naik satu gambar yang memperlihatkan sebuah lukisan yang betu-betul mengusik jiwa rakyat. Dapat kita perhatikan, lukisan tersebut ada barisan monyet dan katak yang sedang bertelingkah antara satu sama lain. Ia kelihatan ‘dipengerusikan’ oleh Speaker Dewan dan dua lagi pegawai dewan yang bertugas. Latar belakangnya pun mirip giler dengan rekaan Dewan Rakyat, jadi kita dapat fahamlah diorang ni tengah bertekak bising dalam Dewan Rakyat. Menariknya, ketiga-tiga sosok ni berwajah manusia manakala selainnya adalah haiwan.

Dari satu segi, kita pun dah dapat tangkap apa sebenarnya maksud lukisan ni. Para wakil rakyat dan ahli politik yang ada disifatkan macam monyet, dan ada jugak terselit 2-3 ekor ‘katak politik’ yang kita fahami, suka lompat parti. Diorang dilihat hanya mampu bertekak, gaduh dan tak benar-benar berfungsi ‘macam manusia’ sebagaimana Speaker Dewan dan dua pegawai lain. Di mata rakyat yang dah rasa keadaan ketidakstabilan politik akibat tindakan para ahli politik ni, lukisan tersebut ternyata mengusik hati dan mengundang tawa. Tambah lagi, lukisan tu dibeli oleh sorang kerabat diraja iaitu Sultan Selangor. Secara tak langsung, ramai jugak berspekulasi bahawa raja-raja pun sebenarnya tau dan cakna pasal isu politik negara. Takdelah duduk diam membatu seperti yang dibayangkan segelintir rakyat.

Menerusi hantaran Instagram tu jugak, baginda bercadang untuk lelong lukisan tersebut dan hasil lelongan tu akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan. Kami rasa dengan perhatian yang diterima kerana lukisan tu dan siapa pemilik sebelumnya, boleh jadi ia akan cecah ratusan ribu atau juta. Sementara tu pulak, ia turut menarik perhatian sorang ahli politik ni. Katanya, dia berminat nak beli sekiranya Sultan nak lelong atau jual pada suatu masa nanti.

Dalam suatu hantaran di Facebook Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi; dia kata dia nak beli lukisan tersebut kalau Sultan nak lelong nanti. Dr. Mohd Puad Zarkashi ni merupakan ahli Majlis Tertinggi UMNO. Sambungnya lagi; kalau lukisan tu dah jadi miliknya, dia takkan dijual lagi malah akan dihadiahkan kepada Muzium Negara untuk tatapan orang awam. Bagi kami, ni pun satu hasrat yang bagus. Sultan nak beri untuk kebajikan, manakala Dr. Puad nak jadikan ia satu ingatan sejarah buat kita. Kebingungan dan kekeliruan rakyat pada 2020 dan 2021 kerana perangai ahli politik, ditambah lagi dengan ujian pandemik melanda negara… ia satu tempoh yang cukup perit sebenarnya.

puadzarkashi lukisan parlimenmonyet
Via Faebook

Inspirasi kepada lukisan tersebut turut dijual hampir 14 juta dollar, komen Banksy memang sentap

Kalau diperhatikan, lukisan tu ada persamaan dengan lukisan Banksy pada 2009 bertajuk ‘Devolved Parliament’. Dalam lukisan tersebut, takde katak. Semuanya chimpanzee – merujuk kepada ahli-ahli politik dalam Dewan Rakyat diorang. Meskipun ia dihasilkan pada 2009, ramai masih lagi melihat tak jauh beza pun keadaan Dewan yang dilukis pada 2009 dengan situasi politik di Britain berkenaan Brexit. Pada tahun 2009, ia dipersembahkan sebagai sebahagian dari pertunjukan Banksy vs Bristol. 10 tahun kemudian, ia dipinjamkan kepada Muzium Bristol pada Mac 2019.

britain art frieze auction
Lukisan Devolved Parliament.. -Via Banksy Explained

Semasa sesi lelongan dibuat pada 2019, lukisan Devolved Parliament melepasi nilai awalnya, 1.5 juta pound kepada 2 juta pound. Selepas 13 minit ia dilelong, Devolved Parliment dijual dengan harga sebanyak 8.5 juta pound. Banksy yang nampaknya mengikuti sesi lelongan tu dari dalam talian kata, ‘sayangnya ia bukan saya punya’. Devolved Parliment ni merupakan karya seni pertama atas kanvas yang paling besar pernah dihasilkan Banksy. Dalam hantaran Instagramnya, dia sempat memuat naik petikan tentang karya seni dari Robert Hughes, sorang pengkritik seni.

devolved parliament banksy ig comment
Via Banksy Explained

Kata Robert Hughes, seni sebenarnya harus buat kita rasa lebih jelas dan lebih baik. Ia patut beri kita sensasi yang sebelum ni takde. Namun sekarang ni, harga sesebuah karya seni hanyalah sebahagian dari fungsinya untuk cuma tergantung di dinding je. Ia akan terus digantung sehingga nilainya semakin tinggi. Ia cuma jadi sebahagian dari harta benda biasa; sepertimana sesebuah buku pada sorang bukuwan, seni pulak kini jadi harta ekslusif kepada sesiapa yang mampu memilikinya.

Ada benarnya jugaklah apa yang dia katakan ni. Acapkali seni kini jadi hak milik sesiapa yang berkemampuan nak beli. Ia dilihat hanya sebagai satu hobi yang mewah. Satu lagi perkara yang wajar kita persoalkan adalah ‘layanan’ antara seni satira. Ye lah, lukisan yang dibeli Sultan ni termasuk dalam karya satira jugak. Karya tu menyindir tingkah laku ahli politik. Tapi kenapa pulak lukisan atau seni satira yang lain seperti yang dihasilkan Fahmi Reza tu dikecam dan terus dipantau oleh polis? Adakah kerana ia tak dibeli oleh kerabat diraja, maka seni satira oleh Fahmi Reza tu tak boleh disebarluas tanpa perlu risau kena tahan polis suatu masa nanti?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *