Tiada jaminan Ismail Sabri jadi PM jika menang PRU15, MOU akan diteliti semula

ismail sabri calonpm

Sekali lagi, isu PRU15 kembali hangat apabila Umno dilaporkan dah umum calon PM diorang sekiranya diorang jadi kerajaan nanti. Ramai jugak melihat ada kemungkinan tahun ni, kita akan ada pilihan raya umum setelah MOU kerajaan dan PH. Jadi tak mustahil jugak untuk kita ‘bermain-main’ dengan idea siapa yang bakal jadi PM.

UMNO dah pilih Ismail Sabri, meskipun ada jugak pihak dalaman yang kata Ismail Sabri sekadar ‘poster boy’ je. Para penganalisis turut melihat takde jaminan Ismail Sabri akan dipilih selepas ni. Sementara tu, MOU kerajaan-PH akan diteliti semula menjelang Julai nanti.

mou persefahaman
Via Malaysian Dateline

Ismail Sabri gembira dipilih jadi calon PM sekali lagi,  jadi ‘poster boy’ macam kes MB Johor

Ismail Sabri, merangkap Naib Presiden UMNO dilaporkan berterima kasih kepada partinya sebab calonkan dirinya sebagai PM pada PRU15 kelak. Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebulat suara cadangkan Ismail Sabri.

“Saya ucapkan terima kasih kepada presiden (Ahmad Zahid), timbalan presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan), ‘Top Five’ dan semua ahli MT kerana secara sebulat suara menyokong saya sebagai calon perdana menteri selepas PRU15 jika Barisan Nasional memenangi pilihan raya nanti,”- Ismail Sabri, seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Walau bagaimanapun, wartawan veteran Abdul Kadir Jasin dalam hantaran di Facebooknya kata benda ni terlalu awal untuk buat spekulasi bahawa Ismail akan dapat jawatan tersebut. Pelantikan PM masih terpulang di tangan YDP Agong. Sama halnya jugak dengan pelantikan MB semasa PRN Johor lalu – diorang letak Hasni Mohammad, tapi yang dilantik, Onn Hafiz Ghazi (cucu Onn Jaafar) yang merupakan cicit Dato Onn Jaafar.

Dalam beberapa kes terdahulu pun, ada je calon parti atau gabungan bagi jawatan menteri besar tak diterima oleh istana dan sebaliknya melantik individu lain ke dalam jawatan tersebut. Tiga kes tersebut adalah di Perlis (2018), Terengganu (2008) dan Selangor (2014).

Tambah lagi, Tajuddin Abdul Rahman je yang minta jaminan berhubung pilihan Majlis Tertinggi Umno tu. Mengikut sumber dalaman Umno kepada Malaysiakini;

“Hanya Tajuddin yang lantang mempersoal dan meminta jaminan bahawa Ismail akan menjadi perdana menteri seperti mana dicalonkan MKT Umno. Agak sedikit tegang tapi terkawal, barisan kepimpinan tertinggi kata mahu jaminan apa lagi kerana ia keputusan yang dibuat oleh MKT Umno secara sebulat suara.

Jaminan apa lagi yang boleh diberikan kerana kita pun tidak tahu sama ada kita boleh menang PRU15 dengan majoriti mudah atau sebaliknya,”- seperti yang dipetik dari sumber kepada Malaysiakini

Di mata penganalisis, Azmi Hassan yang merupakan felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, percaya Ismail Sabri memang perlu jadi PM kalau dilihat situasi masa kini.

“Besar kemungkinan kalau Umno dapat membentuk kerajaan, Umno bukanlah satu parti sahaja yang membentuknya kerana akan ada rakan-rakan yang lain seperti di Sarawak iaitu GPS dan dari Sabah.

Dan di Semenanjung juga. Kalau dilihat Ismail Sabri boleh diterima semua peringkat atau semua parti. Kalau dilihat kenapa beliau dipilih adalah kerana dia boleh diterima oleh Bersatu, PAS dan juga Umno dalam dua kem yang berbeza itu.

Jadi saya melihat bahawa besar kemungkinan Ismail Sabri akan menjadi PM (seterusnya) kalau melihat keadaan sekarang,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

ismail sabri 22
Via Utusan

Berbeza pula dengan dua lagi penganalisis politik lain, James Chin. Dia adalah Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania. Dia rasa, Ismail Sabri tak mungkin diberikan jawatan tu melainkan dia bersama presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan ahli Parlimen Pekan, Najib Razak.

“Saya tidak fikir Ismail Sabri akan menjadi perdana menteri selepas pilihan raya, melainkan dia bersetuju untuk mengalah dengan apa yang Najib dan Zahid… apa yang semua kluster mahkamah mahu… Jika dia (Ismail) bersama mereka, maka mereka mungkin mempertimbangkannya, tetapi sangat tidak mungkin,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

MOU akan diteliti semula antara kerajaan dan pembangkang, belum tentu PRU15 selepas 31 Julai

Terdahulu, ura-ura nak dibuat PRU ni dah banyak kali keluar dari mulut ahli politik. Contohnya baru-baru ni pun, beberapa ahli Umno nampak ‘teruja’ nak adakan PRU15 secepat mungkin lantaran kegagalan usul Sosma yang dikemukakan kerajaan. Ikut MOU, usul yang dikemukakan kerajaan mesti disokong dan lulus. Walau bagaimanapun, usul tu gagal akibat ketidakhadiran sejumlah ahli parlimen tu sendiri termasuklah dari blok kerajaan ketika proses undi dijalankan.

PAS selaku parti baharu yang dilihat menyebelahi Bersatu dalam dua pilihan raya negeri tahun ni kata, pihaknya alu-alukan Ismail Sabri dikedepankan sebagai calon PM. Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan sempat mengulas perihal MOU dalam satu sidang media.

Menurutnya, perjanjian tu terpakai sehingga Parlimen dibubarkan. MOU tu jugak tak kata perjanjian tu akan tamat pada 31 Julai. Sebaliknya, fasal 3.1 ditulis bahawa kerajaan berikrar untuk tak bubarkan Parlimen sebelum 31 Julai.  Susulan keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada 14 April bahawa MOU tu takkan dilanjutkan lagi selepas tarikh akhir Julai ni, Khalid Samad kata perjanjian tu bukan dengan UMNO pun…

“Perlu dijelaskan di sini bahawa MOU itu adalah perjanjian dan ikatan yang dibuat antara PH dan kerajaan persekutuan, bukannya dengan Umno. Oleh itu sebarang keputusan untuk meneruskan atau tidak meneruskan MOU tersebut adalah tertakluk kepada keputusan perdana menteri, bukan keputusan MKT Umno,”- Khalid Samad, Pengarah Komunikasi Amanah, seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Bernada sama, Anthony Loke kata MOU bukan di tangan UMNO. Jadi pihak pembangkang tak terikat dengan apa-apa keputusan MKT UMNO. Yang penting, kerajaan mesti laksanakan komitmen yang termaktub dalam MOU termasuklah penggubalan Akta Anti Lompat sebelum Parlimen dibubarkan. Sekarang ni, RUU Antilompat Parti tak nampak sangat jalannya kerana isu perundangan yang muncul sehingga difikirkan perlu pindaan Perlembagaan.

Sebaiknya, MOU tu perlu dibincangkan secara rasmi antara Perdana Menteri yang mewakili Kerajaan Persekutuan dengan pemimpin tertinggi PH. Keputusan MKT UMNO tu urusan Ismail Sabri dengan partinya. Bukan urusan Ismail Sabri sebagai PM Malaysia dan tokoh utama dalam MOU. Namun, DAP dan PH masih akan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Parlimen pada awal bulan Ogos nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *