Amalan berbisik untuk menawarkan harga jadi keunikan Pasar Bisik Kuala Muda

Lolo1
Amalan berbisik untuk menawarkan harga jadi keunikan Pasar Bisik Kuala Muda

Selalunya ‘berbisik’ ni kita gunakan ketika nak mengumpat orang atau beritahu sesuatu yang rahsia kepada orang lain. Kami dah lupa bila last kami main bisik-bisik, mungkin masa dekat sekolah dulu kot, bisik kat member dah tak tahan nak terkentut. Sebenarnya ada satu budaya yang unik kat Malaysia – orang berbisik ketika cuba tawar-menawar dengan nelayan untuk beli hasil tangkapan diorang. Benda ni rare, sebab selalunya pasar ni sinonim dengan keadaan yang bising gila-gila, tapi bila berbisik, dah tentulah pasar tu akan jadi sunyi.

Amalam bisik-bisik ni dah mula diamalkan sejak 50 tahun lalu, kekal hingga ke hari ni…

Amalan berbisik ni dimulakan kira-kira 50 tahun lalu, kekal sebagai tradisi menentukan harga jual beli hasil tangkapan laut segar di antara nelayan dan pelanggan kat Pasar Bisik Kuala Muda. Pasar yang terletak kat sempadan Pulau Pinang dan Kedah tu dikatakan mula beroperasi sejak tahun 1960-an sebagai tempat pendaratan pelbagai hasil tangkapan nelayan tempatan.

Sehingga hari ni, tradisi berbisik dah sebati dalam kalangan penduduk setempat, malah jadi tarikan pengunjung baru dan pelancong. Walaupun pasar yang asalnya cuma pondok kayu kat tepi pantai tu sudah bertukar kepada bangunan untuk kemudahan jual beli mulai awal pagi hingga jam 12 tengah hari, tapi kaedah berbisik kekal sebagai amalan. Menyingkap kembali tradisi berbisik, amalan tu dikatakan bermula apabila orang ramai melihat hasil tangkapan nelayan yang dibawa naik ke pantai.

Apabila para nelayan pulang dari laut, pelanggan mula berbisik antara satu sama lain mengenai jenis ikan atau udang yang diorang minat. Selain menjanjikan hasil lautan yang segar, kaedah berbisik akan beri peluang pelanggan dapat harga berpatutan bagi setiap sesi jual beli.

Via Berita Harian

Menurut seorang nelayan yang ada kat pasar tu, Mohd Noor Ibrahim; kaedah berbisik tu memerlukan pembeli menawarkan harga kepada nelayan untuk dipertimbangkan. Dia yang sudah lebih 40 tahun lalu mengamalkan kaedah itu, berkata ada cara dalam menawarkan harga kepada nelayan sebelum hasil tangkapan diputuskan untuk dijual kepada individu yang membida pada harga terbaik.

Aku nak ikan tu, sekilo 20 sen, boleh? Via Giphy

Katanya, pelanggan berpengalaman pastinya arif dengan kaedah berbisik iaitu mengetahui harga semasa pasaran hasil laut yang hendak dibeli sebelum membuat tawaran paling tinggi.

Benda ni simple je, siapa yang beri harga yang paling tinggi, dialah yang akan dapat beli

Amalan bisik ikan dah jadi tradisi kat Kuala Muda. Nelayan tak mahu ubah cara hidup diorang dengan sistem harga tetap kerana dengan kaedah lelongan secara berbisik, beri kebebasan kepada mereka meletakkan harga bidaan kepada pembeli, termasuk peraih, pemborong, individu atau pengusaha restoran.

Via Berita Harian

Prinsip jualan bisik cukup mudah. Pemborong atau orang perseorangan akan bisik kepada nelayan untuk beli hasil tangkapan diorang seperti ikan, udang, sotong dan ketam. Diorang menawarkan harga yang diingini dan nelayan akan jual hasil tangkapan berdasarkan ‘harga bisik’ paling tinggi. Sistem bidaan berbisik ni mampu tarik perhatian ramai pihak termasuk pelancong dari negeri berdekatan seperti Pulau Pinang dan Perak.

Lazimnya setiap hujung minggu, cuti perayaan atau musim cuti persekolahan, bilangan pengunjung ke Kompleks Pasar Bisik Ikan Kuala Muda akan bertambah, seolah-olah diorang tengah hadiri majlis perkahwinan atau keramaian di kawasan tu, suasana meriah dan sesak!

Tempat ni juga pernah ditimpa bencana Tsunami, lebih 10 tahun lepas

Pengalaman berbisik dan membida ikan dengan cara pelik ini tak mungkin dapat dilupakan oleh sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini untuk kali pertama. Keunikan urusan jual-beli yang menggunakan konsep bisik antara pelanggan dengan nelayan punya tarikan tersendiri dan menjadi identiti perkampungan nelayan di sana. Kami rasa kalau ada peluang, kami pun nak ke sana.

Pemandangan kat Kota Kuala Muda. Via Berita Harian

Peraih ikan, Mohd Nizam Azizan, ketika ditemui Berita Harian kata; pelancong asing mudah tertarik dengan konsep begini kerana percaya jual-beli ikan secara berbisik tidak diamalkan di negara mereka. Kota Kuala Muda pekan terkecil di negeri Kedah, manakala pantai terdekatnya ialah Pantai Merdeka. Tanggal 26 Disember 2004 berlaku gegaran gempa bumi menghasilkan gelombang besar tsunami dikesan di utara Indonesia.

Tsunami melanda kawasan pantai Kuala Muda dengan ketinggian ombak melebihi 8 meter, sekitar jam 1.45 petang, sekali gus meragut nyawa dan memusnahkan harta benda termasuk Pasar Bisik Ikan Kuala Muda.

Via Berita Harian

Kesan fenomena alam beberapa ketika dahulu dijadikan nilai tambah, sekali gus melonjakkan populariti Kompleks Pasar Bisik Ikan Kuala Muda apabila pelancong pasti ingin meninjau kawasan yang pernah ranap sama sekali itu, dibangunkan semula menjadi antara destinasi pelancongan terkenal di Kedah. Kalau korang ada peluang untuk ke sana, jangan lupa ajak kami eh, sebab macam best tempat tu.

Artikel ini banyak merujuk laporan Berita Harian bertajuk Pasar bisik-bisik, keunikan Kuala Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top