Monumen seakan piramid di Jepun mungkin bukti tamadun yang hilang, ini kisah Monumen Yonaguni

yonaguni1

Sejarah manusia ni sebenarnya panjang dah. Lama dah manusia hidup kat muka bumi ni. Kita pun dah jumpa banyak teori untuk faham bagaimana manusia bermigrasi dan akhirnya membina tamadun di satu-satu tempat. Dalam teori-teori ni jugak, faktor geografi amat penting. Perubahan fizikal bumi mempengaruhi segalanya tentang manusia dan tamadun yang diorang bina.

Kali ni, kami nak berkongsi kisah sebuah ‘monumen’ yang pernah ditemukan hampir 40 tahun lalu di Jepun. Monumen ni menarik, sebab ada yang kata ni bukti wujudnya tamadun Atlantis Asia sementara ada jugak yang kata benda tu sebenarnya buatan semulajadi semata-mata.

yonaguni
Via BBC

Monumen Yonaguni di Pulau Ryukyu tajam dan tersusun macam piramid, ada yakin itu sebahagian dari tamadun Mu yang hilang

Pada 1987, sorang penyelam bernama Kihachiro Aratake tengah buat eksplorasi di kawasan pinggir laut Pulau Ryukyu di Jepun. Dia ni pengarah Persatuan Pelancongan Yonaguni-Cho ketika tu. Dikatakan pada masa tu, dia nak cari tempat cantik dan sesuai untuk perhatikan jerung hammerhead.

Masa dia menyelam tu, dia terjumpa suatu binaan yang pelik kira-kira 25 meter di bawah laut; seakan-akan tangga yang tajam. Dah tu, binaan tu dianggarkan kira-kira 50 meter panjang dan 20 meter lebar. Ia dihebahkan ke seluruh dunia, dan ramai jugaklah pengkaji dan penyelam yang turun untuk tengok binaan pelik tu.

yonaguni underwater
Via Japan Info

Oleh disebabkan bentuk penemuan tu, ia digelar Atlantis Jepun oleh pihak media. Nama yang lebih sesuai diberikan untuk penemuan tu pulak adalah Monumen Yonaguni, sempena nama kawasan pinggir laut Yonaguni di hujung Pulau Ryukyu. Misteri binaan tu cuba dirungkaikan oleh sorang ahli geologi marin dari Universiti Ryukyu bernama Masaaki Kimura.

Masaaki Kimura inilah yang mula-mula menyimpulkan bahawa binaan ni adalah buatan manusia, dan dipercayai tinggalan kota tamadun Mu yang hilang. Tamadun Mu ni dianggap sebagai nama alternatif kepada Atlantis, dan akhirnya disamakan pulak dengan teori tamadun Lemuria yang disebut oleh James Churchward. Mu dikatakan terletak di Lautan Pasifik sebelum keruntuhannya.

posisi tamadun mu
Via Wikimedia

Namun teori tamadun Mu tu sendiri dah banyak ditolak oleh para pengkaji khususnya ahli geologi, disebabkan takde benua boleh tenggelam atau musnah untuk tempoh waktu yang singkat sebagaimana yang disebutkan dalam legenda, sastera atau cerita rakyat tentangnya.

Berbalik kepada Monumen Yonaguni, mula-mula Kimura letak tarikh 10,000 tahun lalu… jadi tu yang memungkinkan ia sebahagian dari tinggalan Mu. Dalam seminar Kongress Sains Pasifik pada 2007, Kimura letak pentarikhan monumen ni sekitar 2,000 hingga 3,000 tahun lalu disebabkan paras laut ketika tu hampir dengan paras sekarang. Dia mencadangkan, aktiviti tektonik menyebabkan monumen tu tenggelam di bawah aras laut selepas pembinaannya.

yonaguni map plan
Ada orang dah petakan struktur yang mungkin pernah wujud dulu.. -Via Suki Desu

Selain tu, Kimura selalu turun menyelam untuk tengok monumen tersebut. Ikut pemerhatiannya, binaan tu jugak dikatakan mempunyai pelbagai ukiran yang mirip skrip tulisan Kaida. Sepanjang pengalamannya, dia mengenalpasti sebuah piramid, istana, jalan, monumen dan stadium.

Monumen tu bukan buatan manusia, semuanya kerana faktor jenis batu dan ombak laut

Kepercayaan Kimura dibantah oleh beberapa pengkaji lain. Sorang ahli geologi bernama Robert Schoch percaya semuanya tu kemungkinan besar terhasil kerana alam semulajadi. Ikut pemerhatian Schoch pula, apa yang dilihat Kimura mengenai monumen atau binaan yang dipotong hampir sempurna tu terhasil dari jenis tanah tu sendiri. Memandangkan Jepun selalu terkena gempa bumi, boleh jadi batu tu terpecah menjadi bentuk tajam tu.

John Anthony West, sorang lagi pengkaji yang melawat monumen bersama Schoch bersetuju bahawa ia merupakan pembentukan semulajadi dan kata Kimura ‘tak tengok betul-betul’. Malah, apa yang dilihat Kimura sebagai ukiran tu pulak hanyalah kesan akibat terkena batu-batu kecil di bawah laut. Ia lebih kurang macam pembentukan geologi pinggir pantai yang terdapat di Sanninudai atau di Giant’s Causeway di Ireland.

rock formations at sanninudai
Pembentuan batu di Sanninudai.. -Via Wikimedia

Ada jugak ditemukan sebenarnya tinggalan pasu, alat batu dan pendiangan di kawasan Yonaguni, dipercayai wujud pada 2,500 sebelum masihi. Akan tetapi, tinggalan-tinggalan ni dikatakan hanya membuktikan kawasan tu pernah didiami, dan tak membuktikan monumen tu lebih dari sekadar pembentukan semulajadi.

Yonaguni terdiri dari batu pasir dan batu lumpur yang ditarikhkan 20 juta tahun lalu. Sekiranya benar monumen tersebut diukir sendiri menggunakan tangan manusia, ia sepatutnya berlaku semasa zaman ais (kira-kira 10,000 tahun lalu) apabila Yonaguni sebahagian dari daratan yang bersambung dengan Taiwan. Walau bagaimanapun, kerajaan Jepun dan Okinawa tak iktiraf Yonaguni sebagai kawasan bersejarah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *