Nisey kerek, makanan yang jadi kebanggaan rakyat Kelantan

Setiap negeri ada makanan mereka yang tersendiri. Selalunya makanan inilah yang akan jadi kebanggaan rakyatnya. Kalian berasal dari negeri mana? Dan apa makanan dari negeri kalian yang buat kalian berbangga? Hari ni kami akan cerita sikit pasal satu makanan di Kelantan. Masyarakat Kelantan mungkin sudah biasa dengan perkataan ‘nisey kerek’, namun bunyinya agak melucukan bagi mereka yang pertama kali mendengarnya.

Ini makanan kegemaran kami. Via Tenor

Dialek negeri Kelantan ni memang unik sikit, kali pertama dengar kalian mungkin akan rasa pelik. Dengar baik-baik ye, ‘nisey kerek’. Kalau kalian tersalah faham dengan maksud ayat ni, kami tak nak tanggung.

Manisan yang dihasilkan daripada nira kelapa

‘Nisey kerek’ adalah manisan yang dihasilkan dengan sepenuhnya menggunakan nira kelapa. Ia sama seperti gula melaka, namun memiliki bentuk serta rasa yang tersendiri mengikut cara pembuatan orang Kelantan.

Menurut artikel Berita Harian, pengusaha produk ni – Wan Omar Wan Awang, kata sejarah perkataan ‘nisey’ berasal daripada manisan, manakala ‘kerek’ adalah kerana bentuknya yang bulat. Dia yang sudah lebih 50 tahun mengusahakan ‘nisey kerek’ bersama isteri, Wan Yah Wan Ismail, pernah menerima tempahan sehingga 500 keping pada satu masa dan dijual dengan harga RM6 untuk 10 keping.

“Kami mempunyai ramai pelanggan tetap, mereka bukan saja dalam kalangan penduduk di negeri ini, malah dari Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak. Nisey kerek yang kami hasilkan boleh bertahan lebih daripada tiga bulan jika disimpan dengan cara yang betul atau diletakkan dalam peti ais,” – Wan Omar Wan Awang

Via BH

Ada yang beritahu kami bahawa nisey yang kami hasilkan ini diterbangkan sehingga ke Makkah, China, Australia dan banyak lagi. Mungkin kerana mereka anak tempatan yang menetap di sana, yang perlukan nisey untuk digunakan dalam masakan seharian. Nisey kerek ini biasanya digunakan bagi menggantikan gula dalam sesetengah masakan atau pembuatan kuih muih dan memiliki khasiatnya yang tersendiri.

Perlu dimasak sehingga lembih empat jam untuk jadi pekat

Wan Omar berkata, bagi menghasilkannya, beliau perlu memanaskan atau memasak nira kelapa di dalam kawah menggunakan kayu api selama lebih empat jam sebelum ia menjadi lebih pekat. Katanya, takde resipi rahsia bagi menghasilkan manisan terbabit selain daripada kesabaran yang tinggi serta tahan panas kerana perlu mengacau dan berdepan dengan bahang api daripada kayu api.

Selepas nira kelapa bertukar menjadi pekat dan likat, ia perlu diangkat dengan cepat serta diletak di dalam acuan yang dibuat daripada daun mengkuang yang sudah dikeringkan selama sehari dan dipotong dalam bentuk bulat dan seragam.

Proses menuangkan ke dalam acuan perlu dilakukan dengan cepat dan teknik tersendiri supaya nisey kerek yang dihasilkan tidak rosak atau pecah. Menurutnya, kini hanya beliau dan isteri yang menjadi pasangan tunggal di kampung itu yang mengusahakan manisan warisan terbabit kerana rakannya yang lain sudah tidak berdaya dan ada yang meninggal dunia.

“Saya bersedia untuk mengajar siapa saja anak muda yang berminat untuk membuat manisan ini kerana tidak mahu ia terus hilang ditelan zaman,” – Wan Omar Wan Awang

Adakah anak muda yang berminat nak warisi kemahiran masakan tradisional?

Kami terfikir jugak, memandangkan sekarang ni macam-macam makanan yang lazat ada kat pasaran, satu persoalan penting yang ada kat kotak fikiran kami – adakah makanan ini akan hilang ditelan masa? Sebabnya macam susah je nak jumpa anak-anak muda yang ada keinginan nak belajar benda-benda macam ni. Cara paling senang, seseorang kena buat apps kot – so budak-budak ni boleh belajar dari sana.

 

Artikel ni banyak merujuk artikel yang bertajuk Nisey kerek’ manisan popular Kelantan yang diterbitkan oleh Berita Harian.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *