Disebabkan Brexit, ramai penduduk UK dah mula ada masalah mental

Sekurang-kurangnya 4 daripada 10 orang rakyat Britain menyatakan bahawa Brexit telah memberi kesan kepada kesihatan mental mereka sejak 2 tahun lalu; tatkala 44% daripada tinjauan YouGov percaya bahawa keluar dari EU akan menyusahkan kehidupan mereka. Terdapat juga warga EU yang tinggal di United Kingdom yang membunuh diri kerana ketidakpastian terhadap masa depan mereka.

Apabila warga UK setuju untuk keluar dari EU

Pada 24 Jun 2016 yang lalu, warga United Kingdom (UK) telah menjalankan pungutan suara – sama ada mahu terus kekal bersama EU atau keluar daripadanya. Pungutan suara ini dikenali sebagai Brexit (Britain Exit). Undian untuk keluar dari EU telah mengejutkan ramai pihak dan menimbulkan rasa kurang selamat. Ramai yang risaukan keadaan mereka dari segi ekonomi dan politik selepas Brexit. Isu Brexit ini turut menimbulkan suasana rumit berkenaan pengeksportan haiwan serta harga makanan yang melambung tinggi.

Via ABC

Pilihan itu bermakna meninggalkan pasaran tunggal dan kesatuan kastam, menamatkan hubungan undang-undang, mengakhiri hak automatik bagi warga EU yang tinggal di Britain, serta mengurangkan atau menamatkan bayaran belanjawan kepada Brussels (ibu negara EU). Bagi jiran terdekat Britain iaitu Ireland, sempadan darat antara negara itu dan Ireland Utara mungkin perlu dipolisikan semula apabila Britain keluar daripada EU.

Pada masa yang sama, hubungan dagangan yang baharu juga perlu digariskan semula bagi memastikan kerjasama komersial yang rapat antara Britain dan Ireland dapat diperkukuhkan.

Kehilangan pekerjaan daripada syarikat seperti Jaguar Land Rover, Airbus dan HSBC – akan memberikan tekanan kepada banyak keluarga. Meskipun ramai ibu bapa yang mengundi untuk pro-Brexit, mereka tidak menyangka ia akan memberikan kesan kepada masa depan terhadap rawatan kesihatan mental anak-anak mereka.

 

Disebabkan brexit, penduduk UK mengalami masalah mental

Jumlah penduduk UK yang mengalami depresi, ‘anxiety disorder’, rasa panik, fobia, gugup, gementar atau bimbang kini semakin meningkat akibat Brexit. Masalah ekonomi dan perumahan, selain pemotongan kepada perkhidmatan awam juga menambah lagi kepada masalah ini. Jumlah mereka yang mengambil ubat anti kemurungan juga semakin meningkat selepas UK mengundi untuk keluar dari EU.

Kakitangan awam Britain telah ditawarkan rawatan serta sokongan kesihatan mental bagi mengurangkan tekanan akibat persediaan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).  Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal-Ehwal Luar Bandar Britain (DEFRA) telah mengambil sebuah syarikat untuk memberikan sokongan berbentuk kaunseling selama 3 bulan sehingga Januari 2019. Britain sepatutnya meninggalkan EU pada 29 Mac 2019 lalu, namun terpaksa menangguhkannya di tengah kelumpuhan politik di Westminster berhubung terma perjanjian perpisahan.

Via Tenor

DEFRA telah menambah jumlah kakitangan seramai 1,300 orang, menjadikannya jabatan yang mempunyai beban kerja paling banyak akibat daripada kegagalan memetarai perjanjian ‘Brexit’. Justeru, tidak pelik apabila mereka terpaksa mengupah kaunselor luar untuk memastikan para petugasnya berada dalam keadaan yang baik. Bantuan kaunseling menjelang persediaan Brexit disediakan kepada petugas DEFRA di London, Bristol dan York, serta sempadan lain. Perkhidmatan telah diberikan sejak 1 November 2018, meskipun kontrak hanya dimeterai pada 30 November, kemudiannya.

National Health Service (NHS), sistem penjagaan kesihatan Britain sangat bergantung kepada pekerja asing, dengan hampir 60,000 orang merupakan warganegara EU. Ini termasuklah 10,000 doktor dan 20,000 orang jururawat. Dan jumlah ini semakin bertambah sejak UK mengetatkan dasar terhadap pekerja bukan EU. Di antara 2012-2015, jumlah psikiatri yang menjalani latihan di UK jatuh sebanyak 10%, di mana 41% psikiatri adalah bukan graduan UK.

Ramai tenaga buruh yang datang dari luar UK

Dasar mengurangkan penghijrahan ke UK dan mengawal pergerakan dari EU selepas Brexit pasti akan memberi kesan serius kepada kemampuan UK untuk memastikan jumlah petugas adalah cukup untuk perkhidmatan kesihatan mental. Dengan hanya 6% jumlah kajian di UK berkenaan kesihatan mental, maka EU mampu mengisi kelompongan tersebut. EU merupakan penyumbang dana terbesar terhadap kajian kesihatan mental di Eropah.

Via Giphy

Dengan UK dijangka keluar daripada sistem Agensi Perubatan Eropah selepas Brexit, timbul tanda tanya tentang apa yang akan mengawalselia pembangunan serta kelulusan ubat terbaru untuk penyakit mental.

Terdapat pihak yang enggan menerima kaitan politik dan kesihatan mental. Ada yang berhujah bahawa punca masalah kesihatan mental adalah pelbagai dan rumit. Tetapi, harus diakui bahawa isu kemiskinan dan kuasa sangat berkait dengan keputusan atau dasar politik. Kondisi hidup rakyat – rumah, keluarga, kerja, endapatan – kebiasaannya mempunyai pengaruh yang dibentuk oleh keputusan yang dibuat oleh pemimpin politik.

Ini lebih-lebih lagi jika seseorang itu adalah golongan miskin, orang kelainan upaya, atau imigran yang memerlukan bantuan kerajaan. Mereka inilah yang paling terkesan akibat kejutan ekonomi oleh Brexit dan idea Theresa May. Terdahulu, May berjanji akan meletak jawatan sebagai perdana menteri jika Parlimen menyokong pelan Brexit yang 2 kali ditolak Parlimen sejak Januari lalu.

Keadaan ekonomi dan sosial beri kesan pada kesihatan mental

Justeru, situasi sosio-ekonomi sangat memberi impak yang signifikan kepada kesihatan mental. Hutang, kawasan perumahan yang terlalu padat atau jawatan kontrak yang tidak tetap boleh memberi kesan kepada kesihatan mental. Laksana satu jurang yang amat dalam lagi menggerunkan, para pesakit mental akibat Brexit dihumban masuk ke dalamnya, bersama pelbagai kisah tragik lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *