GPS menang besar, PH merosot dalam PRN Sarawak

prnsarawak
GPS menang besar, PH merosot dalam PRN Sarawak

Sebelum ni, PRN Sarawak antara pilihan raya negeri yang ditunggu ramai termasuklah kerajaan PN sendiri. Apa taknya, kerusi Sarawak ni antara yang terbanyak di Malaysia iaitu sebanyak 82 kerusi seluruh negeri. Oleh sebab keluasan negerinya yang besar, program PICK dulu jugak kami lihat agak mengutamakan Sarawak agar proses pilihan raya akan lancar dilangsungkan dengan ramai pengundi berstatus lengkap vaksinasi.

Akhirnya, kita dah tau keputusan rasmi SPR. SPR menamakan GPS sebagai parti yang berjaya peroleh majoriti mudah sekaligus membentuk kerajaan apabila Abang Johari Openg dilantik semula sebagai KM Sarawak.

abg johari prn sarawak
Kembali dilantik jadi KM Sarawak.. -Via Astro Awani

GPS menang besar di Sarawak, ada mendakwa kempen tetap berunsurkan politik wang

Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi lebih dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu. Menurut keputusan rasmi yang dah diumumkan, parti itu menang di 75 daripada keseluruhan 82 kerusi. Keputusan DUN Mulu ditangguhkan dan diperoleh sedikit lewat akibat faktor keselamatan dan diumumkan selepas semua peti undi diterima.

Ini jugak mencatat sejarah bagi parti-parti tempatan lain seperti PBB, PRS, PDP dan SUPP menang dalam pilihan raya negeri menerusi gabungan bersama GPS. Sebelum ni, parti-parti ni merupakan komponen dalam BN Sarawak. Kalau korang nak cari nama-nama yang lebih ‘familiar’… korang mencari kat tempat yang salah.

Nama parti politik seperti UMNO, Bersatu… takde dalam politik Sarawak. Kalau dari segi pengaruh dan sejarah tu, ada. Namun dari segi pengundian… diorang takde dalam senarai nama parti yang bertanding. Walau bagaimanapun, blok PH masih lagi memakai nama utama diorang iaitu PKR dan DAP.

Sebelum ni, beberapa parti besar seperti UMNO-BN dan PN ni banyak dikaitkan dengan politik wang. Kat Sarawak, hal tu didakwa turut berlaku. Salah satu ‘insiden’ yang berjaya dilaporkan oleh Malaysiakini adalah insiden Calon DAP di Padungan dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang dikatakan menghantar pesanan yang menawarkan wang untuk meraih undi.

“Berani buat perubahan! Datang untuk ambil duit minya, RM20 untuk kereta, RM10 untuk motorsikal, jangan lupa undi roket!” – seperti yang dilaporkan Malaysiakini, terjemahan Malaysiakini dari pesanan teks berbahasa Cina.

hujanduitzunar
Laporan cuaca senatero Malaysia.. -Via Malaysiakini

Walau bagaimanapun, Chong menafikan ada hantar pesanan seperti tu dan mendakwa telefon peribadinya dicuri dan digunakan untuk hantar pesanan teks berniat jahat. Calon GPS pun ada jugak yang didakwa ‘beli undi’. Seperti yang dilaporkan Utusan Borneo, Dato Sri Tiong King Sing, calon Dudong menafikan khabar angin yang menyatakan dia akan beli undi pada harga RM500 setiap undi dan RM1,000 untuk satu rumah panjang mengikut pintu.

“Malah ada yang mengatakan saya akan memberikan ‘hadiah percuma’. Khabar angin ini kini tersebar di media sosial. Malangnya, khabar angin ini turut mencetuskan kekecohan dalam kalangan masyarakat rumah panjang.

Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa saya menafikan sepenuhnya khabar angin ini sebagai dakwaan berniat jahat untuk mencemarkan nama saya pada PRN12 ini,”- seperti yang dilaporkan Utusan Borneo

rumahpanjangmoden
Rumah panjang moden di Sarawak.. -Via Impiana

Suatu yang menarik perhatian kami; 10 tahun lalu, catatan sorang penulis blog ni sebut tentang kegiatan politik wang dalam PRN Sarawak. Dikatakan, pembelian undi selalu berlaku pada malam sebelum pengundian dan selalunya disasarkan di kawasan Iban. Blok pembangkang ketika tu, Pakatan Rakyat kononnya nak hantar ‘perisik’ ke rumah panjang bagi mengutip bukti terhadap dakwaan tu. Malaysiakini turut buat liputan tentangnya:

“…Saya himpunkan senarai pengundi di kawasan saya pada bulan lepas dan berikan senarai tersebut kepada seorang ejen BN. Mereka akan agihkan wang tunai mengikut senarai tersebut, sama ada hari ini atau esok. Saya masih perlu buat kemaskini terhadap senarai nama tersebut…”, seorang kapitan di kawasan Iban yang taknak dinamakan, dipetik dari Malaysiakini

Politik wang ni macam suatu rahsia terbuka jugak. Para calon boleh nafikan, namun khabar-khabar angin ni tetap wujud sama ada 10 tahun lalu hinggalah pada tahun ni PRN12 Sarawak dilangsungkan. Bak kata peribahasa Melayu, ‘kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang.’

prnmelaka politik duit
Via Edisi Siasat

Impian PAS peroleh ADUN sulung belum menjadi, sementara prestasi PH semakin merosot di Sarawak

PAS di Sabah dan Sarawak sememangnya tak dijangkakan boleh menang, walaupun diorang tetap ada kat kedua-dua negeri tu. Tak seperti beberapa negeri di Semenanjung Malaysia yang kini ditadbir oleh PAS, rata-rata pengundi Sabah dan Sarawak kurang memiliki sentimen yang sama apabila berkaitan dengan PAS. Malah kat Sabah sekalipun, baru ada sorang ADUN dilantik dari PAS… wujud penentangan dalam kalangan rakyatnya.

Menjelang PRN Sarawak dulu, PAS tak ikut jejak Bersatu dan UMNO yang bersetuju tak letak calon diorang dalam PRN Sarawak. Pada awalnya, diroang umum nak bertanding 11 kerusi. Tetapi bila dah sampai hari penamaan calon, diorang cuma letak calon dalam 1 kerusi je iaitu di Beting Maro iaitu Mohammad Arifiriazul Paijo, Setiausaha PAS Sarawak.

pasprnsarawak
Via Berita Harian

Menurut Harakahdaily, PAS sebenarnya dah lama bertanding kat DUN Beting Maro iaitu sejak 2001. Harapan PAS tak menjadi kenyataan apabila satu-satunya calon PAS di sana tewas kepada calon GPS, Razaili Gapor. Prestasi di DUN Beting Maro jugak menyaksikan calon PKR dan Bebas ditewaskan.

Pada PRN lalu, DAP cuma memperoleh 7 kerusi. Kali ni, prestasi diorang kurang memberangsangkan. Kali ni, DAP hanya peroleh 2 kerusi. Sekutu DAP dalam PH iaitu PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing kalah kesemua 28 dan 8 kerusi yang diorang tandingi.

undiprnsarawak
Via Buletin TV3

Sebenarnya PKR boleh je dapat dua lagi kerusi, iaitu menerusi Baru Bian dan See Chow How. Baru Bian ni antara calon terkemuka di DUN Ba’kelalan manakala See pula di DUN Batu Lintang. Kedua-duanya dipecat dari PKR dan bertanding di atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB).

PSB ni parti baharu jugak, namun diorang dah pegang 4 kerusi – 2 disumbangkan oleh calon bekas PKR, dan 2 lagi calon diorang sendiri. Kini, PSB jadi parti pembangkang terbesar di Sarawak, menggantikan DAP. Susulan kekalahan besar ni, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen akan buat penilaian dan ‘post-mortem’ berkaitan prestasi diorang.

psb prn sarawak
Via The Star

Berlandaskan keputusan PRN Melaka dan Sarawak, ni jugak sebenarnya suatu seruan agar PH kembalikan semula momentum diorang. Sejak ‘gugur’ dari tampuk kerajaan, PH dilihat terperangkap dalam konflik dalaman sehingga kurang menyerlah dalam pilihan raya negeri. Kami harap PH dapat kembali menjadi pembangkang yang lebih lantang, aktif dan terus memperjuangkan demi menjulang semangat demokrasi yang Malaysia amalkan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top