Perlembagaan sah dipinda, Sabah dan Sarawak kini berstatus ‘rakan sekutu’

ma63sabahsarawak
Perlembagaan sah dipinda, Sabah dan Sarawak kini berstatus ‘rakan sekutu’

Sejarah akhirnya tercatat, kini Sabah dan Sarawak tak lagi berstatus sekadar negeri. Terdahulu, laungan dan seruan memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 dah disebut tiap tahun. Mula-mula, ramai jugak yang tak faham apalah yang nak dibisingkan dengan Perjanjian Malaysia tu… tapi bagi sebahagian besar rakyat Borneo, ia umpama satu cara untuk diorang nak lebih ruang memajukan negeri masing-masing sesuai dengan konteks semasa diorang.

Pada 2019, kerajaan PH tak berjaya pinda Perlembagaan sebab tak dapat sokongan dua pertiga majoriti daripada jumlah ahli Dewan Rakyat. 2 tahun selepas tu, tak sangka jugaklah ia diluluskan. Apa je perubahan hasil dari sidang Dewan Rakyat terhadap Perlembagaan? Kami ringkaskan untuk kefahaman korang…

ma63
Via Berita Harian

Dulu tak berjaya pinda, Sabah dan Sarawak tak berputus asa perjuang MA63

Macam yang kami sebutkan sebelum ni, kerajaan PH pada 2019 tak berjaya pinda Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. Daripada 221 ahli parlimen ketika tu – dengan kerusi Sandakan yang masih kosong – 138 undi setuju manakala 59 lagi tak undi. Kerajaan PH hanya kekurangan 10 undi bagi memastikan pindaan tu berjaya dilaksanakan. Sokongan majoriti adalah 148 undi daripada 222 ahli parlimen. Tak lepas pun untuk bacaan kali kedua. Antara yang tak berikan sokongan tu adalah beberapa ahli parlimen Sarawak sendiri.

“Kerajaan Sarawak tidak memberikan sokongan pada pindaan pertama kerana pada pandangan kami, pindaan itu hanya bersifat kosmetik dan tidak menggambarkan status khas Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63,”- Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sarawak, seperti yang dilaporkan Astro Awani

datuk patinggi abang johari tun openg
Abang Johari, KM Sarawak.. -Via Malay Mail

Oleh sebab tak berjaya lepas ke bacaan kali kedua, Sabah dan Sarawak tetap teruskan usaha nak pinda Perlembagaan. Beberapa jawatankuasa ditubuhkan bagi membincangkan isu tersebut. Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) kata sebelum RUU tu dibentangkan, diorang dah bincang banyak kali. Jelasnya, Malaysia berdiri atas tiga perjanjian iaitu Perjanjian Persekutuan 1948, Perjanjian Persekutuan 1957 dan MA63.

“Apa yang kami lakukan di sini adalah untuk meletakkan MA63 dalam Perlembagaan menjadi Malaysia yang sebenar dalam konteks tiga perjanjian – Perjanjian Persekutuan 1948, Perjanjian Persekutuan 1957 dan MA63.

Ia memberi maruah kepada Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia, yang kemudiannya mewujudkan negara ini,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

Terdahulu, ada jugak yang mencadangkan Sabah buat sidang khas DUN bagi membahaskan MA63. Bagi Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, takde keperluan nak buat sidang perbahasan lagi di peringkat DUN.

“Sekarang di Parlimen sudah dibentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Malaysia mengenai isu yang berkaitan dengan MA63, jadi pada pendapat saya buat masa ini tiada keperluan mengadakan sidang khas di DUN.

Kita harap Ahli Parlimen dari Sabah akan membahaskan perkara ini apabila pindaan perlembagaan itu dibahaskan di Parlimen nanti,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

hajiji noor
Via The Sun Daily

Manakala bagi KM Sarawak, Abang Johari; salah satu pindaan yang turut pihaknya cadangkan adalah berkaitan definisi bumiputera di bawah Artikel 161A Perlembagaan Persekutuan. Jangan risau, ia tak mengugat apa-apa berkenaan status quo Melayu ye… ia hanya untuk Sabah dan Sarawak je. Hal ni diusulkan kerana waktu zaman sekarang ni, dah takde keperluan pilihan “Lain-lain” dalam borang bagi etnik Sabah dan Sarawak. Tu ada betulnya jugak: dalam kefahaman awam, etnik Sabah dan Sarawak tu dianggap bumiputera kan?

Namun dalam borang rasmi kerajaan sendiri pun… biasanya yang ada dalam pilihan tu hanya empat – Melayu, Cina, India dan lain-lain. “Lain-lain” pun boleh jadi warganegara asing, betul? Jadi dengan adanya pindaan definisi bumiputera yang jelas, borang-borang rasmi perlulah memasukkan pilihan ‘Bumiputera Sabah/Sarawak’. Khas untuk Sarawak, banyak lagi ras asli yang terpaksa tandakan jugak ‘Lain-lain’ kerana ras diorang tak termasuk dalam Perlembagaan.

boranglainlain
Via Berita Harian

Pindaan perlembagaan peroleh lebih 2/3 Dewan, agenda utama bagi Borneo sedang diteliti Majlis Khas

Rang undang-undang itu memperoleh sokongan 200 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong ketika belah bahagian pada bacaan kali ketiga, sekali gus lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

perlembagaan ma63
Klausa yang dipinda dalam Perlembagaan Persekutuan.. -Via Wikisource

Terdahulu, Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada 1975 memasukkan terus Sabah dan Sarawak dalam Negeri Persekutuan Malaysia. Dari situlah MA63 ni menjadi ‘kenderaan’ agar menuntut semula pemisahan sebagaimana sebelum pindaan 1975 tu. Beberapa lagi cadangan Pindaan adalah pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia, gantikan takrif Persekutuan. Selain tu, Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan jugak akan gantikan perenggan (a) Fasal 6 iaitu;

“berhubung dengan Sarawak, seseorang yang merupakan warganegara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang dinyatakan dalam undang-undang Negeri sebagai ras asli bagi Negeri itu”

Fasal 7 pulak dipotong, iaitu tentang senarai ras asli yang dianggap ras asli Sarawak.

perlembagaan ras asli sarawak
Fasal yang dipotong.. Via Perlembagaan Persekutuan

Apa seterusnya buat Sabah dan Sarawak? Wan Junaidi ketika menggulung perbahasan RUU kata isu Sabah dan Sarawak terutamanya keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas akan terus diteliti oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963. Beberapa yang termasuklah isu keselamatan negeri, sosioekonomi merangkumi penambahbaikan infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan, infrastruktur digital serta perundangan.

Selain tu, apa yang menarik adalah Wan Junaidi jugak turut berkongsi sebab kenapa cadangan pindaan pada 2019 tu tak menjadi.

“Bantahan kita adalah supaya pindaan itu juga meminda Perkara 160 tetapi masalahnya ketika itu naskah biru dibentangkan di Dewan ini, kita ada hanya 10 hari sahaja sebelum bacaan kali kedua, jadi kita tidak berupaya membentangkan pindaan kita sendiri yang memerlukan 14 hari notis,” – seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Maksudnya, ketika tu ia dijalankan terlalu pantas dan tak cukup tempoh masa yang diberikan. Nak bentang pindaan sendiri pun perlukan 14 hari notis, sedangkan diorang hanya ada 10 hari je sebelum bacaan kali kedua. Adakah ni bermaksud, bak kata pepatah Inggeris, doomed to fail? Walau bagaimanapun, hakikat kini adalah Perlembagaan Persekutuan akan dipinda kembali dengan memasukkan klausa yang memberi sempadan yang jelas mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berbeza dengan Persekutuan Malaya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top