Gangguan air di Lembah Klang disebabkan oleh NRW, apa tu?

Gangguan air di Lembah Klang disebabkan oleh NRW, apa tu?

Bukan sejam dua, tetapi 86 jam. Demikianlah tempoh yang perlu ditempuhi oleh para penduduk Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor dalam menanggapi gangguan bekalan air. Ini adalah susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April.

Empat juta pengguna akan terkesan kali ni

Laksana tradisi saban tahun, kali ini penduduk Lembah Klang perlu menghadapi perkara ini buat kesekian kalinya. Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago berkata pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu dibuat dengan segera untuk mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang tidak terancang kepada pengguna. Sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terkesan akibat gangguan ini.

Terdahulu, pada Mac 2018, telah berlaku kejadian sistem mampatan udara pecah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) Bukit Badong, berpunca daripada tekanan pada bahagian sambungan ‘elbow joints’, disebabkan menampung lebihan beban secara berterusan. Sebagai kawasan yang pesat membangun dan maju, Lembah Kelang turut mempunyai kesan tersendiri, iaitu peningkatan permintaan air.

Bayangkan rupa kau tingkat 14. Dan lif rosak. Via BHarian

Bercakap soal air, penting untuk kita ketahui tentang Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water – NRW). Ia bermaksud kehilangan air bersih dan terawat; berdasarkan perbezaan antara jumlah pengeluaran air yang dibekalkan ke dalam sistem agihan, berbanding jumlah penggunaan sah yang dibilkan.

Selain paip bocor dan pecah, komponen NRW terdiri dari punca-punca yang berikut: Kegunaan air bagi mencuci laluan paip; kegunaan air bagi tujuan menangani kebakaran; kegunaan air bagi mencuci penapis; ujian-ujian sistem; limpahan tangka; daftar meter yang rendah (MUR); kecurian dan lain-lain punca yang seumpamanya.

NRW dan fenomena pemanasan global menjadi cabaran kepada pembekalan air di Lembah Kelang. Penyusutan hujan serta peningkatan permintaan setiap tahun khususnya pada musim kemarau, menjadi aspek yang perlu diberi perhatian. Seperti yang kita tahu, kehilangan air merupakan salah satu isu penting dalam pengurusan air negara kerana ia memberi impak terhadap kemampanan bekalan air terawat kepada pengguna.

Ia melibatkan ‘kehilangan komersial’ merangkumi bacaan meter yang tidak tepat, penggunaan tidak sah dan kegunaan air yang tidak dibilkan. Selain itu, terdapat juga ‘kerugian fizikal’ seperti kebocoran atau paip pecah.

Nilai NRW purata di Malaysia adalah 37 %, boleh tahan tinggi

Pengurangan NRW membolehkan bekalan air yang sedia ada dapat menampung permintaan air yang kian meningkat dan mengelakkan pembaziran sumber. Langkah-langkah untuk mengurangkan NRW perlu dipertingkat kerana ia menyebabkan pembaziran bekalan air serta pendapatan.

Pengurangkan NRW juga bermaksud kebolehan untuk menampung permintaan air yang kian meningkat tanpa pelaburan baru untuk membina infrastruktur perawatan air. Tahap NRW yang tinggi juga menunjukkan pengurusan utiliti air yang lemah. Maksudnya, lebih rendah kadar kehilangan air; adalah lebih mapan untuk semua.

Via Tenor

Mengikut Malaysia Water Industry Guide 2009, nilai NRW purata di Malaysia adalah 37 % sedangkan World Bank mengesyorkan NRW paling tinggi pun 25% sahaja. Cuba bayangkan satu per tiga air yang ditapis dengan harga yang mahal, hilang begitu saja. Justeru, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) perlu menjalankan kajian terperinci untuk memastikan semua syarikat air dapat mengurangkan nilai NRW. Ini juga dapat membantu pengenalan Indeks Pencapaian Utama (KPI) berdasarkan saiz operasi.

Lebih-lebih lagi, penggunaan air dalam kalangan rakyat Malaysia amatlah tinggi. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) menyatakan keperluan penggunaan air bagi satu orang adalah 165 litre, tapi orang Malaysia secara purata menggunakan 300 liter sehari – lebih dari purata penduduk US dan Australia. Menurut laporan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air pada tahun 2016, seorang rakyat Malaysia membazir 50,000 liter air setahun. Kalau tak percaya, cuba tengok macam mana korang gunakan air.

Proses penggantian paip-paip lama perlu dilakukan dengan lebih tersusun, selain perlunya ada permuafakatan serta kesungguhan bertindak dalam menyelesaikan projek mitigasi yang membabitkan pelbagai pihak berkepentingan.

Simpanlan air, kot-kot nak buang air, susah nanti…

Pemegang taruh yang mempunyai latar belakang politik yang berbeza seharusnya berlapang dada, demi kemaslahatan rakyat. Bagi menjamin bekalan yang berterusan, situasi kondusif dari sudut cuaca, infrastruktur dan pengurusan yang cekap amat diperlukan.

Betul, memang pengguna yang terjejas akan berasa marah dan bengang, bila terputus bekalan air. Tapi kena ingat juga, ada yang lebih kritikal bila tiada air, khususnya hospital dan pusat dialisis. Lagipun, kita boleh je ambik hadas dalam keadaan air yang kurang, kena bijaklah. Apa juga cerita di balik gangguan air ini, pengguna dinasihati untuk menyimpan air yang mencukupi bagi tempoh gangguan bekalan air sementara itu dan disarankan menggunakan air secara berhemah untuk mengelakkan pembaziran.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print