Ini bukti yang menunjukkan pengeboman di Sri Lanka ada amaran awal

Ini bukti yang menunjukkan pengeboman di Sri Lanka ada amaran awal

Hujung minggu lalu, dunia dikejutkan dengan satu lagi kejadian tidak berperikemanusiaan dan kali ini di Sri Lanka. Letupan di tiga gereja dan empat hotel pada Hari Easter itu telah mengorbankan 321 nyawa dan menyebabkan lebih 500 orang cedera. Lebih menyedihkan, kejadian ini berlaku hanya lebih sebulan selepas insiden tembakan di masjid-masjid di Christchurch, New Zealand.

Amaran dah dimaklumkan sejak awal lagi

 Apa yang mengejutkan,unit risikan Sri Lanka sudah diberi maklumat awal berkenaan ancaman ini namun maklumat tersebut tidak sampai ke Menteri Pertahanan maka tiada tindakan lanjut diambil. Laporan ancaman ini juga dikongsi oleh Unit Risikan India untuk membantu Sri Lanka mengambil langkah berjaga-jaga tetapi malang sekali, tiada tindakan diambil oleh pihak yang berkaitan.

Pihak berkuasa Sri Lanka mengumumkan kumpulan pengganas tempatan, National Thowheeth Jama’ath (NTJ) sebagai dalang serangan ini. NTJ adalah satu kumpulan ekstremis baharu yang tidak terkenal di Sri Lanka diketuai oleh Mohammad Zahran. Walaupun NTJ masih tidak mengeluarkan seberang kenyataan dan Daesh sudah mengaku bertanggungjawab atas kejadian tersebut, kerajaan Sri Lanka yakin NTJ adalah dalang utama.

Via Tenor

Perdana Menteri Ranil Wickremsinghe juga tidak menolak sebarang kemungkinan sekiranya Daesh terlibat secara tidak langsung seperti bantuan latihan kepada NTJ. Antara orang yang melampirkan bukti amaran awal termasuklah Menteri Telekomunikasi Sri Lanka, Harin Fernando melalui laman Twitter beliau.

Dokumen yang bertarikh awal bulan April itu dengan jelas menamakan gereja dan Suruhanjaya Tinggi India sebagai sasaran serangan oleh NTJ. Bukti ini sudah tentu memberi tamparan hebat kepada pihak berkuasa atas kelewatan mereka untuk bertindak. Lagi-lagi, dengarnya dokumen ini adalah daripada Ketua Polis Negara sendiri.

Amaran awal berkenaan kumpulan ini bukan sahaja sudah disedari oleh unit risikan dalam dan luar negara, komuniti Muslim di Sri Lanka juga sudah memaklumkan pihak berkuasa bahaya kumpulan ini sejak tiga tahun lepas!

Naib Presiden Muslim Council of Sri Lanka, Hilmy Ahamed berkata, beliau sudah menghantar amaran kepada unit risikan tentera mengenai ancaman NTJ tiga tahun lalu kerana dia sedar kumpulan ini menggalakkan orang bukan Islam dibunuh menggunakan nama Islam. Sudah tentu sebagai orang yang beragama Islam, wakil Muslim Council of Sri Lanka ini tidak mahu nama agama Islam terpalit dengan segelintir penunggang agama yang bersikap ekstrem dan tidak mencerminkan nilai-nilai sebenar agama Islam.

Via WSJ

Hilmy bukan sahaja memberi amaran kosong kepada pihak berkuasa, beliau juga menyerahkan dokumen-dokumen termasuk nama-nama ahli NTJ yang mempunyai pemikiran yang berbahaya. Namun begitu, tiada tindakan tegas yang diambil.

NTJ terus untuk membuat posting di dalam media sosial mereka  termasuk Twitter dan Facebook sepanjang tiga tahun selepas amaran oleh komuniti Islam Sri Lanka itu diberikan. Ini membuktikan mereka tidak gentar untuk terus muncul di laman media umum.

Jangan suka-suka hati salahkan komuniti Islam Sri Lanka

Disebabkan serangan itu dilakukan di tiga gereja, rata-rata mangsa terdiri daripada warga tempatan dan antarabangsa yang beragama Kristian. Lagi-lagi kejadian ini berlaku ketika Hari Easter di mana orang Kristian memperingati hari Jesus dibangkitkan kembali selepas disalib pada hari Jumaat sebelumnya. Oleh sebab itu, gereja yang terlibat penuh seperti yang kita dapat lihat jumlah yang terkorban sangatlah ramai.

Agama Kristian adalah antara agama utama yang paling minoriti di Sri Lanka di mana hanya 7% daripada 21 juta penduduk Sri Lanka menganutinya. Kedua paling minoriti di negara itu adalah Islam dengan 9.7% daripada jumlah penduduk. Seperti yang kita lihat di atas, orang Islam di Sri Lanka sudah memberikan amaran awal kepada pihak berkuasa mengenai kumpulan yang sekarang ini menjadi suspek utama keganasan itu.

Via Republika

Maka, dengan jelas tanggungjawab umat Islam untuk mengelakkan kejadian ini daripada berlaku sudah dijalankan. Kelemahan pihak berkuasa sendiri untuk bertindak patut diberi fokus lebih utama.

Walaupun sudah menjalankan tanggungjawab awal itu, komuniti Islam di Sri Lanka tetap tidak berpeluk tubuh untuk mengecam insiden itu. Lima organisasi Islam yang terdiri daripada All Ceylon Jamiyyathul Ulama, Muslim Council, Jama’athe Islami, Memon Association of Sri Lanka dan Anjuman-E Saifi mengeluarkan kenyataan bersama mengecam keganasan yang terjadi dengan sekeras-kerasnya di mana mereka menegaskan serangan itu tidak mewakili Agama Islam atau mencerminkan kepercayaan orang Muslim.

Tambah mereka, pengganas telah menyalahguna nama Islam untuk memenuhi agenda radikal mereka yang anti-Islam dan mereka semua juga adalah penjenayah.

Komuniti Islam di sana akan memberi bantuan penuh supaya semua orang yang bertanggungjawab dalam kejadian ini akan dibawa ke muka pengadilan. Seperti yang kita dapat lihat, dalam masa dua hari sahaja, lebih 40 tangkapan sudah dibuat. Sayangnya, nasi sudah menjadi bubur kerana jika tindakan pantas ini dilakukan selepas amaran-amaran awal tadi pasti kejadian ini langsung tidak akan berlaku.

Apa yang orang Islam boleh lakukan?

Disebabkan kejadian ini berlaku tidak lama selepas kejadian tembakan di New Zealand, beberapa media dan orang awam cuba untuk membuat perbandingan di antara dua kejadian ini. Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengatakan tiada bukti risikan yang menunjukkan dua kejadian ini berkaitan. Beliau mendapat perhatian dunia termasuk dalam kalangan orang Islam kerana cara beliau menangani insiden di New Zealand dengan penuh penghormatan terhadap mangsa-mangsa agama Islam.

Walaupun tiada kaitan yang jelas antara dua kejadian ini, cara penghormatan terhadap mangsa-mangsa kejadian terutama kepada agama Kristian patut kita contohi untuk menunjukkan sifat agama Islam yang penyayang dan cintakan keamanan.

Via ShawGlobalNews

Seorang wartawan British beragama Islam, Mehdi Hasan berkata orang Islam perlu lebih berani untuk mengecam sebarang bentuk keganasan terhadap orang Kristian di seluruh dunia. Ini bukanlah serangan pertama terhadap orang agama Kristian yang berlaku ketika sambutan Easter. Pada tahun 2017, lebih 45 orang terkorban di Mesir apabila dua serangan oleh Daesh dilakukan di dua gereja.

Tahun 2016, Taliban Pakistan menyerang sekumpulan penduduk Kristian di taman dan mengorbankan 75 orang. Di Nigeria pada 2012, Boko Haram bertindak untuk mengebom orang Kristian di luar gereja dan menyebabkan 38 nyawa terkorban. Kesemua insiden ini berlaku ketika sambutan Hari Easter.

Via Tenor

Orang-orang Islam di Sri Lanka sudahpun mengeluarkan kenyataan mengecam insiden itu seperti yang kita dapat lihat di atas. Di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong sudah mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya insiden tersebut. Baginda juga menyatakan solidariti bersama semua mangsa khasnya dan seluruh rakyat Sri Lanka secara umumnya. Wisma Putra yang diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah juga dengan tegas mengatakan pihak yang terlibat harus dibawa ke muka pengadilan.

Rakyat Malaysia harus turut bersolidariti

Seluruh rakyat Malaysia harus sama-sama bersolidariti bersama rakyat Sri Lanka dan warga Kristian seluruh dunia. Seperti yang dikatakan oleh Mehdi Hasan, serangan pengganas bukannya ideologi Kanan vs. Kiri mahupun Muslim vs. Non-Muslim.

Setiap individu tidak kira agama dan kepercayaan mesti mengecam semua tindakan keganasan tidak kira keganasan itu dilakukan kepada minoriti Islam di Myanmar dan Xinjiang ataupun minoriti Kristian di Asia Selatan dan Asia Tengah. Marilah kita sama-sama buktikan kepada dunia sifat kemanusiaan yang ada dalam diri umat Islam dengan tidak hanya mengecam keganasan apabila ia berlaku terhadap umat Islam tetapi juga terhadap orang-orang yang tidak seagama.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top