Rafizi Ramli sah masuk politik semula, ini komennya terhadap prestasi PKR

f1
Rafizi Ramli sah masuk politik semula, ini komennya terhadap prestasi PKR

Selepas PRN Johor, kita dah saksikan banyak pandangan yang condong kata blok pembangkang sebenarnya dah semakin lemah sehingga membawa kepada kemenangan BN berturut-turut dalam beberapa pilihan raya. Desas-desus ni jugak membawa kita kepada persoalan yang selalu diluncurkan mulut rakyat, iaitu mengenai Rafizi Ramli.

Rafizi Ramli seringkali dianggap sebagai tokoh politik yang mampu memulihkan dan kuatkan PKR. Para pendokong parti tersebut khususnya yang masih percaya kekuatan Rafizi Ramli tetap merayu dan memujuknya untuk kembali ke politik. Dahulunya, Rafizi dah jawab: dia masih lagi mempertimbangkan permintaan tersebut. Akhirnya, sah – dia akan kembali semula jadi ahli politik.

rafizipkr
Via The Sun Daily

Rafizi kembali masuk ke arena politik, PH setuju bincang kerjasama dengan PN

Beberapa minggu lalu, Rafizi Ramli antara nama yang hangat disebut dalam gelanggang politik negara. Ada sesetengah kelompok penyokong melihat kemunculan semula Rafizi Ramli diharap dapat mengukuhkan semula PKR. Namun ada jugak yang rasa Rafizi tu je yang taknak ‘keluar’, sebab selama yang dia umum bersara dari politik.. dia masih pegang jawatan penting dalam PKR. Dia tak pernah dibuang, dilucutkan jawatan dan keanggotaan pun… jadi nak ‘kemunculan semula’ apanya?

Pada 15 Mac lalu, kami dapat tahu hasrat untuk kita lihat semula penampilan baharu Rafizi Ramli di arena politik kini dah tercapai. Dalam blognya rafiziramli.com, panjang jugak luahan dan pandangannya tentang prestasi PKR dalam pilihan raya lalu. Katanya, keputusan PRN Johor baru-baru ni mengesahkan bahawa KEADILAN dan PH kini dah jadi parti ketiga selepas Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Ni jugak mencatatkan kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri pilihanraya negeri.

pkr pic
Via Berita Harian

Sebagaimana yang dah dikatakan ramai, salah satu kelemahan besar yang dilihat adalah kekaburan strategi yang berlainan untuk kembali tambat hati rakyat. KEADILAN dan PH jugak suka salahkan antara satu sama lain. Paling takpun, satu-satunya strategi yang diulang-ulang adalah pendekatan ‘khemah besar’. Pendekatan ni digunakan untuk satukan semua parti yang bersaing dengan UMNO-BN.

Terbaru, Rafizi turut dimaklumkan oleh Majlis Presiden PH bahawa diorang setuju bincang dengan PN mengenai kemungkinan kerjasama dalam PRU-15. Setakat ni, belum ada tanda-tanda ‘khemah besar’ mampu didirikan. Namun, ia kekal jadi satu-satunya jalan yang difikirkan PH seolah keseluruhan pimpinan PH dah mati akal untuk dapatkan semula keyakinan rakyat.

bukitbatu prnjohor pkr menang
PKR hanya menang 1 kerusi dalam PRN Johor.. -Via Astro Awani

Kemenangan PH yang lalu berkat isu dan penyelesaian yang dekat dengan rakyat, dah macam Keluarga 69

Pihak pembangkang harus sedar, kemenangan KEADILAN dan PH pada PRU14 tu bersumberkan isu-isu yang dibawa tu dekat dengan rakyat. Kesan pentadbiran Najib Razak tu dirasakan dalam kehidupan seharian rakyat dan masa depan diorang. Rakyat jugak tertarik dengan beberapa penyelesaian yang dibawa untuk merungkai masalah ekonomi yang dihadapi.

Akan tetapi, beberapa peristiwa yang berlaku selepas PRU14 ni perlahan meyakinkan sebahagian rakyat terutamanya pengundi atas pagar bahawa pertelingkahan politik di peringkat pimpinan negara hanyalah berkisar kepada agihan kuasa sesama ahli politik. Akhirnya, tak kiralah siapa menteri dan siapa yang dapat kedudukan… kehidupan rakyat tetap tak berubah.

Hotel Sheraton Pakatan Nasional Azmin
Langkah Sheraton, langkah penting dalam sejarah politik negara.. -Via Malaysian Gazette

Tak kira KEADILAN ke, PH ke… ramai rasa takde beza dengan BN-UMNO pun. Malah, Rafizi menulis, sebahagian besar pengundi mengalami kelesuan politik. Diorang dah mual dengan isu politik sebab takde perbezaan ketara dari gabungan-gabungan politik. Ni jugak berpunca dari pelbagai taktik yang dibawa oleh gagasan-gagasan politik untuk dapat kuasa selepas PRU14.

Sebagai contohlah… UMNO dan Bersatu tetap berkongsi kuasa, tapi kat luar, maki hamun sesama sendiri. PAS berkawan dengan UMNO demi kuasa, dan maki hamun jugak kembali disebabkan kuasa. KEADILAN boleh dipermainkan hidup-hidup oleh UMNO, kononnya nak sokong calon KEADILAN jadi PM. DAP pulak salahkan Bersatu ni dah runtuhkan mandat rakyat… namun DAP jugaklah jadi broker persefahaman MOU untuk kekalkan PM dari Bersatu dan UMNO. Sekarang ni pulak, KEADILAN lagi nak bekerjasama dengan PN.

suratrasmi pkrpn
Surat rasmi yang tular baru-baru ni.. -Via Cinca News

Sejak 2019, Rafizi rasa dia pun dah jadi suara minoriti dalam partinya sendiri apatah lagi dalam kalangan PH. Oleh demikian, dia lebih rasa gembira untuk kembali hidup sebagai rakyat biasa dan beri ruang sepenuhnya kepada pimpinan KEADILAN dan PH untuk pikat kembali hati rakyat. Apa-apa je taktik yang dirasakan baik termasuklah nak bawa mana-mana Ahli Parlimen yang sanggup tukar kesetiaan demi cukupkan angka sokongan… dia tumpang gembira walaupun dia tak lagi terlibat.

Namun demikian, dari satu khemah ke khemah yang lain… ketaksuban kepada strategi gabungan politik ni semakin lama menjauhkan KEADILAN dan PH dari rakyat. Bila ahli politik lebih tumpukan soal pembentukan gabungan, usaha mengangkat derita rakyat dan menawarkan penyelesaian jadi semakin sepi.

Memetik tulisannya:

“Selepas keputusan PRN Johor, saya menyedari bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas UMNO/Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Saya menganggotai KEADILAN sejak 1999 kerana saya yakin masa depan Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai. Sumbangan saya dalam menubuhkan Pakatan Harapan dalam tahun 2015 bukanlah semata-mata demi kemenangan dalam pilihanraya, saya bertekad memastikan politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu.

Pada pandangan saya, dengan perkembangan-perkembangan terbaru, politik progresif pelbagai bangsa sedang berada di dalam bahaya jika KEADILAN dan Pakatan Harapan terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

Atas kesedaran itu, saya telah membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan akan datang.”- seperti yang dipetik dari Rafiziramli.com, 15 Mac 2022

timbalanpresiden2022 pkr
Via Rafiziramli.com

Kami harap pengumuman Rafizi Ramli ni suatu khabar yang gembira bukan je untuk para penyokong parti KEADILAN, bahkan untuk senario politik negara. Ada benarnya apa yang cuba disampaikan oleh Rafizi ni; rakyat memang dah lama penat, lesu dan hilang keyakinan terhadap para ahli politik ni. Sejak pandemik, kempen #KitaJagaKita terus mengangkat hero-hero masyarakat yang rata-ratanya dari kalangan masyarakat biasa jugak. Ahli-ahli politik, terutamanya para menteri terus menerima kritikan; ada jugak yang dikecam teruk dan disifatkan gagal bantu rakyat.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top