Kes Rumah Bonda antara kes yang hangat dibualkan sekarang. Hari demi hari, ada je perkara baharu dan pandangan lain berkaitan dengan kes ni. Ada kata Siti Bainun tak salah – ini peguam dia lah kata… ada jugak yang kasihan dengan nasib yang menimpa kanak-kanak malang tu. Kalau diikutkan, ramai je yang geram dan sakit hati dengan Siti Bainun, penjaga Bella sewaktu di Rumah Bonda.
Kes ni turut mendapat perhatian kerabat diraja seperti Che Puan Khaleeda dan TMJ sendiri. Sebelum TMJ mulai bersuara, wakil kerajaan memang diam je dan takde keluarkan apa-apa kenyataan berkenaan kes Rumah Bonda tu. Oleh sebab tulah, ada jugak orang kata ni mungkin kerana Siti Bainun ni bekas Puteri Umno dulu. Sekarang ni bila TMJ dah bersuara, barulah Rina Harun turun…
Che Puan Khaleeda kata dia akan usahakan semampunya demi Bella, TMJ dah seru Rina Harun menghadap
Sejak bermulanya kes Siti Bainun dan tularnya perkongsian peguam Siti Bainun yang sedang menyoal saksi dan staf kepada Siti Bainun, Yasmin – ramai memang benci gila dengan Siti Bainun. Ada je orang kecam, kutuk, perlekeh dan jelas tak sokong Siti Bainun dalam hal ni. Kalau dalam mahkamah, konsep ‘tak bersalah hingga dibuktikan’ tu wujud. Namun kat mahkamah media sosial pulak… hal sebaliknya berlaku: bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Kami taknak sebut tentang fakta kes dan taknak ulas isu peguam Siti Bainun. Yang kami nak cerita sekarang ni adalah jumlah respon yang sokong Bella. Dalam apa hal lah sekalipun, kami percaya dengan kadar luka yang ada pada Bella.. jaranglah orang nak kata ni semua cuma ‘kemalangan’ yang tak disengajakan. Maka sebab tulah, ramai selebriti dan nama terkenal seperti Che Puan Khaleeda turut bersuara dalam hal ni.
Che Puan Khaleeda, isteri Tunku Mahkota Johor iaitu tunku Ismail Sultan Ibrahim kata dia sedia bantu Bella dan sanggup buat apa sahaja demi bantu Bella, remaja OKU Down Sindrom. Menerusi hantaran Instagramnya:
“Saya akan lakukan apa saja dengan kuasa yang saya ada bagi mendapatkan keadilan untuk Bella. Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa saja terhadap kanak-kanak teraniaya. Kamu boleh bersembunyi di sebalik barisan peguam tetapi karma akan hadir pada waktunya di dunia ini dan akhirat,”- Hantaran Instagram Che Puan Khaleeda, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Kenyataan tu dimuat naik dan dipercayai berikutan tindakan sorang peguam Siti Bainun tu muat naik sekeping gambar dirinya bersama barisan peguam. Dipercayai, Siti Bainun diwakili oleh 9 hingga 10 peguam. Dalam kepingan gambar tu, dda yang sambil buat tanda ‘peace’, ada jugak buat tanda ‘love’. Secara kasarnya, gambar tersebut disimpulkan sebagai biadab dan tak sensitif dengan tahap keterukan kes ni.
Menurut Che Puan Besar Khaleeda, kes ni pasti akan jadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang pengecut agar tak terfikir untuk buat tindakan serupa pada masa depan. Bukan tu je, dia maklumkan sedia tawarkan khidmat peguam secara percuma untuk memerhatikan kes penderaan Bella.
Perkara ni turut mendapat perhatian TMJ yang memaklumkan akan hubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun agar barisan peguamnya dapat jalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian berkenaan. TMJ jugak nak Rina Harun datang menghadap dalam masa terdekat. Bila dah ‘diseru’ macam tu, Datuk Seri Rina Harun mau tak mau terpaksa ‘keluar’ setelah lama berdiam diri.
SOLIDARITI BERSAMA BELLA : KPWKM SEDIA MENGHADAP TUNKU MAHKOTA JOHOR pic.twitter.com/kZfulfY4V8
— Rina Mohd Harun (@RinaMohdHarun) April 17, 2022
Rina Harun dikritik sekali lagi akibat berdiam diri, ini kata TMJ dan aktivis
Susulan dah ‘diseru’ oleh TMJ dalam suatu ciapan Twitter, Rina Harun tampil di Twitter. Kenyataan rasminya menunjukkan dia memang akur untuk bertemu dengan TMJ dan dijangka akan bentangkan status kes perbicaraan Bella dan apa je tindakan-tindakan yang dah dilakukan oleh pihak Kementerian dalam perbicaraan kes tu.TMJ turut mengesahkan bahawa pertemuan tersebut membincangkan kes penderaan Bella dan nak pastikan kejadian sama tak berulang lagi.
Sejurus pertemuan tersebut, TMJ sarankan 3 langkah penting yang harus dilakukan:
- Pindaan Perundangan dan penambahbaikan dari segi perundangan untuk pusat jagaan kanak-kanak
- Penguatkuasaan dan gerak kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat untukaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada
- Kajian segera mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor untuk pentauliahan bersama-sama dengan garis panduan UNICEF dan institusi bebas lain.
Sementara tu pulak, beberapa aktivis mengecam Rina Harun kerana dianggap lewar bertindak dalam kes penderaan Bella. Kata Dr. Hartini Zainuddin, sorang aktivis kanak-kanak;
“Kesian kamu ni! Kami tanya kepada kementerian kamu dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) tentang hal ini pada Julai 2021. Kamu semua kata tak boleh buat apa-apa sebab kena tunggu siasatan polis. Kemudian diam sampai sekarang,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Selepas TMJ tegur, barulah wujud kepingan gambar dan klip video yang nak buktikan Rina Harun sedang lawat Bella. Dr Hartini pun marah jugak pasal ni, dan menyifatkan Rina tu cuma cari peluang untuk bergambar.
“Ini bukan tentang mendokumentasikan bukti bahawa kamu mengambil berat atau kamu mengambil tindakan untuk ‘buat kerja’. Tidak sensitif dan tidak tahu tentang perlindungan kanak-kanak.” – seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Bella tu belum lagi bersedia nak jumpa orang luar, pastu you datang bawak reporters, videographers, photographers bagai.. takut la budak tu..
Aduuuhh.. masa potong usus, terbuang akal sekali ke..? pic.twitter.com/osrkiYagAp
— KAKLANG (@wahidahu55ain) April 17, 2022
Haruslah diingatkan, menjadi kesalahan jenayah untuk berkongsi gambar dan video yang mendedahkan identiti kanak-kanak mangsa jenayah. Sebelum ni kes Bella memang dah tular, jadi segala imej dan video tu memang dianggap bukti pengukuh bahawa Bella dianiaya. Namun bila kes dah berjalan… gambar Bella seharusnya tak ditularkan semula dan menjadi salah satu elemen dalam reka letak awam.
Setakat ni, kita hanya boleh tunggu dan lihat keputusan kes yang tengah dibicarakan dalam mahkamah. Sebaik-baiknya, kita terus berusaha untuk melindungi Bella dan umumnya, kanak-kanak OKU yang ditempatkan dalam rumah jagaan dan pusat asuhan. Macam kes Rumah Bonda ni, dikatakan memang ada lagi kes lain melibatkan kematian seperti kes bayi Adam. Cuma tak setular kes Bella je dan kurang mendapat liputan meluas.