Ketika kes COVID-19 di Malaysia semakin berkurangan, ada satu KLUSTER baru di Sabah

F1

Ketika negara tengah beransur-ansur ‘membuka’ operasi selepas fasa 1 dan 2 PKP dulu, kita dapat lihat sendiri perkembangan harian semakin memberangsangkan. Beberapa negeri jugak ditandakan sebagai zon hijau, seperti di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis buat masa ni dan berkemungkinan sekatan pergerakan akan dilonggarkan di zon-zon hijau tersebut.

Tapi sekarang ni di Sabah, wujud pula kluster baharu yang terdiri daripada staf petugas kesihatan sendiri daripada tiga buah hospital. Lebih memburukkan keadaan, wujudnya laporan bahawa terdapat kes sporadik di beberapa daerah.

Check Covid
Via NST

Kluster baharu melibatkan tiga buah hospital, staf kesihatan terpaksa lebih berwaspada dalam kendalikan pesakit…

KKM mendedahkan bahawa wujudnya kluster penularan dalam kalangan petugas kesihatan di Sabah, dipercayai bermula dari seorang staf kesihatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, Sabah. Dia dipercayai telah dijangkiti virus tersebut dari sebuah majlis perkahwinan di Ipoh pada Mac lalu.

Hospital Likas
Via Bernama

Ia kemudiannya tersebar menerusi interaksi sekerja khususnya dalam kalangan termasuklah ketika berkumpul di kawasan yang sempit seperti di pantri wad. Setakat yang dilaporkan pada 17 April, seramai 14 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada jururawat dan doktor disahkan positif COVID-19.

“Apa yang penting adalah kes pertama dilaporkan 27 Mac 2020 dan siasatan kita mendapati mungkin punca jangkitan itu berasal daripada komuniti majlis perkahwinan di Ipoh. Ada kehadiran majlis perkahwinan di Ipoh dan kemudian salah seorang (daripada mereka) balik ke hospital tersebut di Likas (Sabah) dan mereka menjangkiti rakan mereka di situ (hospital).”- Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, seperti yang dilaporkan oleh Awani pada 17 April 2020

Majlis Perkahwinan
Via Bangi Convention Centre

Perkara ni turut disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Christina Rundi bahawa jangkitan tersebut tak berasal dari dalam wad mahupun dalam proses pengendalian pesakit COVID-19. Oleh demikian, siasatan pihak kesihatan dapati takde jangkitan silang kepada pesakit kerana semua anggota kesihatan pakai peralatan perlindungan diri (PPE) semasa bertugas.

Kemudian pada 18 April, KKM melaporkan hasil siasatan lanjut dan mendapati bahawa ia kini membabitkan tiga hospital kerajaan iaitu Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas serta Hospital Keningau. Dalam kluster tersebut, terdapat 31 kes dikenal pasti positif. Ia terdiri daripada 23 petugas kesihatan dan lapan ahli keluarga atau orang awam.

“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian Covid-19 adalah positif pada 2 April babitkan seorang kakitangan hospital yang melapor diri di Hospital Queen Elizabeth 2. Beliau didapati tidak sihat dan mempunyai gejala batuk dan selesema pada hari berkenaan. Siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan itu dijalankan. Jangkitan Covid-19 didapati positif bagi beberapa rakan setugas serta ahli keluarga…”- Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro pada 18 April 2020

Kes sporadik semakin menjadi-jadi, sukarkan pihak kesihatan jejaki penularan jangkitan…

Kami percaya setiap negeri ada cabarannya sendiri dalam usaha kesan penularan jangkitan wabak pembunuh ni. Kat Sabah, wujud pulak kes-kes sporadik di mana dikatakan jangkitan yang dilaporkan takde kena-mengena dengan mana-mana kes positif COVID-19 yang lepas.

Datuk Dr. Christina Rundi kata situasi ni akan menyukarkan aktiviti kawalan dan pengesanan punca jangkitan lebih rumit di Penampang.

“Penampang merekodkan sebanyak 11 kes iaitu sembilan kes sporadik termasuk empat kes mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. Lima kes sporadik yang lain terdiri daripada anggota kesihatan yang masih dalam siasatan dan dua kontak kes sporadik turut disahkan positif,”- seperti yang dilaporkan oleh Utusan Borneo pada 15 April 2020

Christina Rundi
Via NST

Pada 13 April lalu, hasil siasatan pihak berkuasa mendapati bahawa mayat seorang lelaki warga asing yang ditemui tergantung dalam kawasan hutan di Pulau Gaya adalah positif COVID-19. Susulan penemuan tersebut, sekatan pergerakan dari Pulau Gaya ke tanah besar Kota Kinabalu dah diperketatkan.

Kes sporadik turut dilaporkan berlaku di daerah Lahad Datu, di mana peningkatan kes yang dah berlaku menyebabkan Lahad Datu kemudiannya diisytiharkan sebagai zon merah pada 18 April. Ia merupakan zon merah ketiga, selepas Tawau dan Kota Kinabalu.

Peta Kes Positif Sabah
Via Sabah Info Telegram

Masih awal untuk bersorak, kena teruskan ambil langkah berjaga-jaga…

Kami perasan sejak PKP fasa 3 bermula, jumlah pesalah ingkar PKP tak pulak berkurangan walaupun sudah sebulan rakyat Malaysia ‘berlatih’ ke arah kehidupan ‘normal baharu’. Walaupun jumlah kes kita dilihat semakin menurun dan semakin ramai yang sudah pulih, kelekaan kita boleh menyebabkan jangkitan bertambah lagi.

Kata Menteri Pertahanan:

“Tapi ia belum lagi berakhir, semalam 69 jangkitan positif baru. Sudah 2 kali jumlah positif bawah 100, tapi pada Rabu kes 85 dan sehari selepas itu naik 110, semalam turun kepada 69, maknanya kita masih belum sifar kes positif lagi. Kita telah menunjukkan hasil kejayaan dengan melaksanakan PKP dan nasihat-nasihat KKM, tapi jumlah jangkitan belum lagi sifar”-Ismail Sabri Yaakob, seperti yang dilaporkan oleh FMT pada 18 April

Covid
Via Harian Metro

Fokus kita adalah nak pastikan zon merah ni jadi zon hijau semula, menurunkan kadar kebolehjangkitan serta kewujudan kluster-kluster baharu ni. Dekat Sabah je, dah ada kluster staf kesihatan. Lebih menakutkan, kebanyakan kes tersebut datangnya dari para pesakit yang tak bergejala.

Baru-baru ni, ramai terpaksa disaring dan dikuarantin akibat kegagalan seorang pesakit hospital swasta memaklumkan bahawa dia positif COVID-19. Ni berlaku di Hospital Gleaneagles kat Kota Kinabalu.

“Oleh kerana terdapat keperluan mendesak untuk melakukan pembedahan ke atas pesakit itu, pihak hospital telah meneruskannya dengan meletakkan beliau sebagai kes yang disyaki sementara menunggu keputusan ujian bagi Covid-19. Keputusan ujian Covid-19 pesakit itu didapati positif pada 17 April dan beliau segera dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk pengesahan serta rawatan lanjut”- Kenyataan Hospital Gleaneagles, seperti yang dipetik oleh Sinar Harian pada 21 April

Gleneagles
Via Business site

Ikut sumber kami juga, Hospital Queen Elizabeth 1 kini turut dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan dikhuatiri ada dalam kalangan staf kesihatan mempunyai kontak dengan mana-mana kes kluster yang tengah aktif seperti kluster taligh, kluster staf kesihatan ni dan kluster dari luar negara.

Staf kesihatan dan orang awam mempunyai peranan dan tanggungjawab yang penting dalam usaha bersama kita nak turunkan kebolehjangkitan ni. Kita mesti menang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *