KK Mart dibaling bom petrol, ahli politik tak boleh lepas tangan

f1

Sebuah cawangan kedai serbaneka KK Mart di Bidor, Perak dibaling dengan bom petrol. Menurut laporan China Press, bom petrol itu jatuh di kawasan kosong di depan kedai itu, yang terletak di Jalan Mosi, dan tidak meletup.

Tiada yang cedera dan pekerja KK Mart membuat laporan polis sebaik sahaja insiden itu berlaku, kata laporan itu lagi. Rangkaian kedai serbaneka KK Mart berdepan gesaan boikot susulan penemuan stoking dengan kalimah Allah di cawagannya di Bandar Sunway, Selangor kira-kira dua minggu lalu.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan kejadian itu dan berkata polis sedang mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Menurut Bernama, dia juga berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengambil tindakan sendiri berkaitan isu KK Mart.

Pengasas rangkaian kedai serbaneka KK Mart, Chai Kee Kan, dan isterinya Loh Siew Mui, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam, di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Turut dikenakan pertuduhan adalah Tiga individu lain yang merupakan pengarah syarikat Xin Jiang Chang Sdn Bhd – yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah kepada KK Mart.

Bernama melaporkan polis mengesahkan kejadian sebuah kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol awal pagi tadi. Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejadian berlaku pada 5.35 pagi sebelum disedari oleh kakitangan kedai serbaneka terbabit.

Beliau berkata pihak polis menerima laporan daripada pengadu iaitu seorang wanita warga tempatan berhubung kejadian tersebut pada 8.49 pagi.

“Pengadu berusia 20 tahun itu memaklumkan ketika sedang bekerja mendengar bunyi botol pecah di hadapan premis dan terus keluar untuk memeriksa keadaan. Terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai dan pengadu juga terhidu bau seperti minyak tanah daripada serpihan kaca itu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Pencegahan Jenayah Komersial Phone Scam-Penyamar Pos Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh hari ini.

Mohd Yusri berkata pemburuan individu terlibat sedang dijalankan dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek dan kita juga sedang menyiasat rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan,” katanya.

Ahli politik yang menunggang isu ini tak boleh lepas tangan

Ahli politik yang membuat kenyataan bernada “mengapi-apikan” dalam isu KK Mart secara tak langsung bertanggungjawab dalam insiden bom petrol dibaling di sebuah cawangan kedai serbaneka itu di Perak, menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii.

Yii berkata serangan seumpama itu tak sepatutnya berlaku di Malaysia, sebuah negara yang dikatakan aman dan sederhana dengan semua kaum belajar untuk hidup secara harmoni.

“Keadaan ini secara tidak langsung disebabkan keadaan semasa di mana pemimpin tertentu yang memilih untuk mengapi-apikan perpecahan dan memburukkan masalah…berbanding mencari penyelesaian yang membina. Mereka tidak boleh ‘cuci tangan’ daripada perkara ini dan secara tidak langsung bertanggungjawab sehingga keadaan memburuk ke tahap sekarang,” katanya dalam satu kenyataan

Walaupun tak merujuk mana-mana pihak secara khusus, antara yang lantang bersuara mengecam KK Mart adalah Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.

Akmal hari ini turut mengecam insiden itu dengan menyifatkannya sebagai “tindakan melampau”, namun pada masa sama menggesa boikot terhadap kedai serbaneka itu diteruskan.¬†Akmal terus lantang mengecam KK Mart, antaranya menggesa tindakan dikenakan terhadap syarikat itu.

Sementara itu, Yii menggesa polis menyiasat insiden hari ini secara terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab. Berkenaan isu stoking pula, Yii berharap perkara itu dapat ditentukan oleh undang-undang, dengan pendakwaan telah pun dibuat di mahkamah.

“Sama ada kita setuju dengan langkah itu (atau tidak), mahkamah akan menjadi platform terbaik untuk membuktikan dan menyelesaikan perkara ini berdasarkan fakta dan bukti, berbanding emosi sesetengah kelompok.

“Sebab itu penting untuk serahkan perkara ini kepada undang-undang dan tidak lagi memburukkan isu.

“Ketika melihat masalah, pemimpin yang bertanggungjawab seharusnya mencari jalan untuk menyelesaikannya secara damai dan menjadi jambatan, bukannya memecahkan masyarakat,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *