Penceramah didakwa menghina agama, KDN diminta ambil tindakan

f1

Sekumpulan ahli Parlimen berbangsa India daripada Pakatan Harapan (PH) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap penceramah agama yang didakwa menghina agama bukan Islam.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, mereka termasuk Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, yang didakwa menghina kaum India beragama Hindu di negara ini.

“Semasa perasmian sidang Parlimen baru-baru ini Yang di-Pertuan Agong telah bertitah supaya isu-isu melibatkan 3R (agama, bangsa, raja) ini tidak disentuh. (Disebabkan itu) sebagai ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara daripada kerajaan perpaduan kami bersama-sama ingin menuntut tindakan pendakwaan diambil terhadap Zamri Vinoth.”

“Dalam beberapa siri Tiktok yang disiarkan di media sosial Zamri Vinoth telah dirakam sebagai memberi penjelasan tentang dewa Shiva Lingam yang disembah oleh kaum India beragama Hindu di Malaysia.”

“Kami bersama-sama ingin menuntut supaya menteri KDN kerajaan perpaduan mengambil tindakan menuduh Zamri Vinoth di mahkamah di atas kenyataan yang telah dikeluarkan,” katanya dalam sidang media di Parlimen

Hadir sama, aadalah ahli Parlimen Klang, Ganabatirau,, Yuneswaran Ramaraj (Segamat), P Prabakaran (Batu) dan senator Lingeshwaran R Arunasalam.

Senator Sivaraj Chandran yang juga bekas anggota MIC turut hadir dalam sidang media itu. Rayer semalam membangkitkan persoalan berhubung tindakan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail terhadap pihak-pihak dan pensyarah agama yang didakwa dengan sengaja membuat kenyataan-kenyataan mengguris hati masyarakat bukan Islam dalam syarahan mereka.

Ganabatirau juga mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil apabila ada pihak yang cuba menghina agama selain daripada Islam.

“Ada dua individu yang didakwa sebagai pendakwah bebas dilaporkan sentiasa mengkritik agama selain agama Islam, apabila ada 1,008 laporan polis dibuat tapi tiada tindakan, dibawa ke mahkamah dan didakwa tapi masih kata NFA (tiada tindakan lanjut).

“Sedangkan ada pihak yang mengkritik agama (lain) di sebelah sana dalam masa 24 jam ditangkap dan dimasukkan dalam penjara, mana perginya kedaulatan undang-undang dan keadilan yang sama rata kepada semua,” soalnya.

Mengulas lanjut, Rayer berkata KDN perlu bertindak segera berhubung perkara yang dibangkitnya demi perpaduan, keamanan dan kesejahteraa semua kaum di negara ini.

“Kami sepakat, kami tidak mahu mana-mana agama dihina oleh mana-mana pihak dan demi perpaduan, keamanan dan kesejahteraan Malaysia yang diduduki oleh rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa.

“Kami merayu supaya kerajaan pimpinan perdana menteri dan juga khususnya KDN untuk ambil tindakan segara terhadap laporan-laporan polis yang telah dibuat terhadap Zamri Vinoth.

“Kerana penjelasan-penjelasan yang dibuat berunsur satu penghinaan kepada dewa Shiva Lingam yang disembah oleh kaum India di Malaysia,’ tegasnya.

Zamri minta RSN Rayer buktikan bentuk penghinaan

Pendakwah bebas Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mencabar Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer untuk membuktikan dakwaan dia menghina kaum India beragama Hindu di Malaysia.

“Bagi menjawab kenyataan Rayer dan rakan-rakannya, pertama sekali di Parlimen Rayer mengatakan saya telah menghina (agama Hindu). Jadi saya mencabarnya untuk membuktikan di mana yang saya menghina (agama itu),” katanya kepada Malaysiakini

Menurut Zamri, Rayer sendiri tak menjelaskan penghinaan yang dibuatnya ketika membangkitkan dakwaan itu.

Mengulas lanjut, Zamri berkata dia hanya membuat penjelasan berhubung dakwaan segelintir penganut Hindu bahawa di dalam Kaabah mempunyai Shiva Lingam.

Katanya, sekiranya mereka tak membuat sebarang tuduhan melibatkan Kaabah orang Islam di dalamnya Shiva Lingam, tak ada keperluan untuk pihaknya menjawab perkara ini.

“Perkara ini pernah timbul beberapa tahun lepas apabila beberapa penganut hindu yang turut membuat video menyatakan ada Shiva Lingam di dalam Kaabah dan orang Islam turut menyembah dewa itu.

“Ketika itu saya buat video menjelaskan tentang apa yang ada di dalam Kaabah. Sudah tentu orang Islam tidak tahu apa itu Shiva Lingam, jadi saya menjelaskan apa maksudnya,” katanya.

Dia berkata penjelasan tersebut bukan berdasarkan kefahaman sendiri, tetapi dengan merujuk kamus Bahasa Sanskrit dan Shiva Puranam, iaitu antara teks utama bagi agama Hindu.

“Jadi apabila saya ambil buku (kitab) Shiva Puranam dan beritahu apa maksud Shiva Linggam menurut kitab agama Hindu, di mana datangnya penghinaan dan sensitiviti?,” soalnya lagi.

Zamri berkata Rayer dan ahli-ahli parlimen berbangsa India yang lain sepatutnya meminta penjelasan penganut Hindu yang membuat dakwaan itu.

“Adakah menjawab dakwaan berkaitan Islam dianggap sebagai mencetuskan isu?

“Sepatutnya Rayer cari penganut Hindu yang membuat dakwaan itu, manakala saya hanya menjawab dan menjelaskan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *