Mahkamah tolak permohonan Tun M minta dokumen Anwar

f1 min (9)

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan telah buat banyak serangan umum yang tak berasas semata-mata untuk melemahkan kredibiliti Anwar. Presiden PKR itu berkata demikian dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan menerusi Tetuan Thomas Philip di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam bagi menjawab saman yang difailkan Dr Mahathir terhadapnya.

Anwar berkata saman Dr Mahathir terhadapnya juga untuk mewujudkan perpecahan kaum berikutan pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Anwar berkata ini terbukti oleh Sijil Perakuan Segera bertarikh 3 Mei lepas difailkan Dr Mahathir yang menyatakan bahawa tindakan samannya mesti dilupuskan secepat mungkin berikutan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan menghadapi PRN.

Dalam penyataan pembelaanya, Anwar turut bangkitkan mengenai pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn Bhd, yang anak ketiga Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz adalah pengarah syarikat tersebut pada 30 Mac 1994 hingga 14 Okt 2009.

Menurut Anwar, pada 15 Sept 2003, Telekom Malaysia Berhad telah mengeluarkan surat kepada Kementerian Kewangan untuk meminta antara lain kebenaran untuk mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

Beliau berkata Telekom adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan dengan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga serta keputusan pemegang-pemegang saham lain.

“MKD berada di bawah kawalan dan arahan plaintif kerana beliau adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Pada 7 Okt 2003, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan surat untuk meluluskan permohonan Telekom untuk rundingan terus. Selepas itu, rundingan terus yang berkaitan antara Telekom dan Opcom telah berlaku antara Oktober dan November 2003,” katanya.

Tun M failkan permohonan untuk PM kemukakan dokumen

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad failkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen pernyataan pembelaan beliau dalam kes saman fitnah yang sedang berjalan.

Peguam bekas Ahli Parlimen Langkawi, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, permohonan itu dikenali sebagai penzahiran dokumen dan telah difailkan pada Khamis.

“Dokumen itu berkaitan Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) oleh Petronas dan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC). Seterusnya, kontrak oleh Telekom Malaysia Bhd kepada Opcom Cables Sdn Bhd, lesen fabrikasi oleh Petronas kepada Kencana Petroleum Bhd dan lain-lain,” katanya

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir diminta agar tidak mengelak daripada ‘kenyataan sebenar’ berhubung aset yang dimiliki beliau dan keluarganya. Anwar mendakwa, umum sememangnya mengetahui kekayaan yang dimiliki bekas Perdana Menteri itu.

Permohonan itu juga difailkan bekas Ahli Parlimen Langkawi tersebut kerana Anwar telah menyatakan akan menunjukkan bukti, namun apabila dituntut sedemikian sehingga kini tiada dokumen dipaparkan.

Muhammad Rafique turut memaklumkan, kenyataan Ahli Parlimen Tambun itu seolah-olah menyimpulkan bahawa Dr Mahathir telah menyalah guna kuasa semasa pentadbiran sebagai Perdana Menteri. Beliau memberitahu, Pesuruhjaya Kehakiman, Zaharah Hussain telah mengarahkan Anwar memfailkan afidavit jawapan kepada permohonan tersebut pada 11 Ogos.

“Kita pula diberi peluang untuk membalas kepada afidavit jawapan itu pada 25 Ogos nanti dan kedua-dua pihak perlu memfailkan hujahan pada 8 dan 22 September depan. Selepas itu, mahkamah akan membuat keputusan mengenai permohonan Dr Mahathir pada 2 Oktober dpan,” ujarnya.

Mahkamah tolak permohonan Tun M untuk Anwar kemuka dokumen

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Tun Mahathir Mohamad supaya Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen yang dirujuk dalam pernyataan pembelaannya dalam satu saman fitnah.

Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain menolak permohonan Dr Mahathir supaya Anwar selaku defendan menyerahkan dokumen yang dikaitkan dengan saman fitnah tersebut.

Peguam Alliff Benjamin Suhaimi mewakili Anwar ketika dihubungi Bernama berkata permohonan Dr Mahathir selaku plaintif ditolak dengan kos RM2,000 oleh mahkamah dengan alasan dokumen diminta tak dirujuk secara spesifik dalam pernyataan pembelaan terpinda dan apa dirujuk dalam pembelaan itu adalah peristiwa atau transaksi pada masa lalu.

“Namun, jika ada dokumen-dokumen dinyatakan itu, ia akan menjadi pembelaan (Anwar) dan perlu dikemukakan ketika pengurusan kes di peringkat praperbicaraan. Mahkamah menetapkan 3 Nov ini untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak memaklumkan permohonan interlokutori lain, sekiranya ada,” kata peguam itu.

Sementara itu, Muhammad Rafique Rashid Ali, mewakili Dr Mahathir yang mengesahkan keputusan hari ini berkata anak guamnya mahu Anwar, antara lain mengemukakan dokumen-dokumen yang dirujuk beliau dalam pernyataan pembelaan terpinda mengenai dakwaan isu menyelamatkan Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) oleh Petronas dan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) pada 1997.

Tun Mahathir yang juga bekas perdana menteri mendakwa pada 18 Mac lepas, Anwar ketika menyampaikan ucapan pada kongres berkenaan di Stadium Melawati, Shah Alam, mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi plaintif.

Menurut Tun Mahathir, antaranya kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu berpangkat tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *