Mat Sabu kata Hadi Awang tidak konsisten

f1

Dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul hadi Awang bahawa punca parti itu memutuskan hubungan dengan DAP kerana DAP menolak hudud adalah satu pembohongan dan tak benar sama sekali.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Abdul Hadi tidak menceritakan perkara sebenar punca Pas tidak mahu lagi bekerjasama dengan DAP kerana parti itu mahu bersama UMNO selepas pilihan raya umum (PRU) pada 2013.

Beliau mendakwa, Pas memutuskan kerjasama dengan DAP kerana berhasrat mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO dan perkara itu dipersetujui dalam perbincangan Muktamar Pas pada 2015.

Menurut Mohamad Sabu, melalui perbincangan yang panjang tiba-tiba diisytiharkan Pas putus hubungan dengan DAP, tak timbul masalah hudud tak hudud ni. Ini kerana hal hudud telah dipersetujui dalam perbicangan sebelum itu (bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat). Ini kerana hal hudud sudah dipersetujui dalam perbincangan sebelum itu yang berlaku pada 29 September 2011 di Pejabat Pas di Jalan Raja Laut. Mereka yang hadir bagi pihak Pas adalah saya, Hadi Awang, (Datuk Seri) Dr Dzulkefly (Ahmad).

“Bagi pihak DAP wakil yang datang adalah (Tan Sri) Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh dan Anthony Loke manakala pihak Keadilan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan beberapa lagi,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Khas Membongkar Pembohongan Hadi Awang di Taman Sri Kaseh

Beliau berkata, menerusi perbincangan tersebut semua parti mencapai keputusan yang bersetuju dalam beberapa perkara seperti melawan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA ), menjadi kerajaan yang bagus, melawan rasuah dan menjunjung Perlembagaan.

Katanya, hanya dua perkara yang tak dipersetujui dalam perbicangan itu dan satu daripadanya adalah isu hudud serta semua parti selepas itu setuju untuk meneruskan kerjasama politik termasuk Pas. Menurut Ahli Parlimen Kota Raja itu, Pas bukan sahaja setuju dengan keputusan berkenaan isu hudud tetapi sebelum itu pada 2008 parti itu sanggup melupakan perjuangan Negara Islam dan menggantikan dengan konsep Negara Berkebajikan.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, persetujuan Pas menggugurkan perjuangan Negara Islam itu berlaku dalam usaha menggabungkan semula Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakat (PKR) menjelang PRU pada 2008.

“DAP minta Negara Islam tidak disebut dan Pas bersetuju gantikan dengan Negara Berkebajikan, Pas sanggup gugur istilah Negara Islam ganti dengan Kerajaan Berkebajikan. Ada tak pemimpin Pas bagitau perkara ini? Kenapa dia sembunyikan fakta ini, dia bohong,” katanya.

Mat Sabu berkata, hudud memang menjadi perjuangan Pas sejak dahulu tetapi apabila mereka mendapat kuasa dan menjadi sebahagian daripada kerajaan, isu tersebut tidak lagi menjadi keutamaan perjuangan mereka. Sedangkan katanya, mereka boleh membawa usul dan perjuangkan isu hudud di Parlimen malah menteri agama semasa mereka menjadi sebahagian kerajaan adalah daripada Pas tetapi semua itu tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun apabila mereka menjadi pembangkang semula ujar beliau, isu hudud muncul semula dan menjadi modal politik Pas dengan mendakwa mereka memutuskan hubungan dengan DAP kerana perkara tersebut.

Hadi Awang tak pernah konsisten dengan hujahnya

Selain itu, Mat Sabu berkata pandangan Hadi Awang berubah-ubah, contohnya sebelum ini pernah menyatakan akidah orang UMNO sudah rosak tetapi selepas itu boleh bersama dengan parti tersebut dengan alasan UMNO dan BN adalah anugerah ALLAH.

“Begitu juga boleh bersama DAP sebelum ini kerana parti ini didakwa menyokong Perlembagaan dan mendokong demokrasi bahkan selepas pilihan raya pada 2013, Presiden Pas berkempen untuk calon DAP di Teluk Intan. Puji DAP adalah parti yang progresif dan menjunjung Perlembagaan. Apabila bercerai (memutuskan hubungan) DAP dikatakan komunis pulak. Ini tak pelik, ‘he will change in every election’ tapi orang Islam percaya apa dia cakap,” katanya.

Mat Sabu mengakui terkilan dengan Abdul Hadi apabila turut sama bersekongkol menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan memerintah menerusi Langkah Sheraton.

“Sepatutnya dia tidak bersetuju bersama kumpulan Sheraton tumbangkan kerajaan, patutnya dia cakap sabar, kita sedang menuju kemenangan, sabar sikit kita boleh ambil alih (kerajaan Persekutuan) tetapi tidak sebaliknya bersama gerombolan tumbangkan kerajaan.

amanat mungkar haji hadi 2

“Baru-baru ini dia ulang lagi, selepas PRN (pilihan raya negeri) di enam negeri akan tukar kerajaan (Persekutuan) kemudian kita menang tiga (negeri), dia (Perikatan Nasional) menang tiga (negeri). Lepas PRK (pilihan raya kecil) di Johor (dakwa lagi akan) tukar kerajaan (Persekutuan),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan pihaknya akan terus bekerjasama dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dan sudah menjadi prinsip serta pegangan akan memberi sepenuh komitmen atas semangat setiakawan.

“Bila berkawan dengan UMNO, aku sayang sungguh dengan UMNO sekarang. Saya bukan jenis berkasih dengan Mat Maslan (tapi) kenyit mata pada orang lain, ‘no’, itu perangai Pas, sekarang dia berkawan dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tapi tak tau kenyit masa dengan siapa.

“Masa dia kawan dengan Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP dia kenyit mata dengan UMNO, sekarang ini dengan Bersatu. Jangan bimbang Mat Maslan kasihku kepadamu tidak berubah. Kita akan bersama termasuk di Johor di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *