Penyakit Kawasaki pada pesakit kanak-kanak COVID-19? Ini yang anda perlu tahu

F1

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) laporkan ada sindrom macam penyakit Kawasaki pada kanak-kanak yang positif COVID-19. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam catatan Facebooknya sebut, ia merujuk kepada gejala keradangan saluran darah yang bermula dengan tanda demam dan ruam.

Dalam klip video pendek yang dikongsi Dr Noor Hisham tu, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu kata laporan dari Eropah dan Amerika Utara kesan sejumlah kecil kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan radang pelbagai sistem serta beberapa ciri yang serupa dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik.

“Sangat mustahak untuk mencirikan sindrom klinikal ini dengan teliti bagi memahami sebab serta akibat dan untuk memberikan intervensi rawatan. Saya sudah meminta pakar di seluruh dunia supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan negara masing-masing sementara WHO akan kekal berwaspada dan lebih memahami akan sindrom ini pada kanak-kanak,” – Dr Tedros, seperti yang dilaporkan BERNAMA

Najib
Tanda-tanda penyakit ni. Via MedPage

Ketua Teknikal COVID-19 untuk Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Maria Van Kerkhove kata ia adalah keadaan yang jarang berlaku. WHO juga dapat gambaran mengenai gejala yang berbeza-beza pada kanak-kanak yang diuji positif COVID -19.

Menurut laman web rasmi WHO, laporan kes gambarkan penyakit akut disertai sindrom hiperinflamasi, yang membawa kepada kegagalan pelbagai organ. Mencirikan sindrom tu selain mengetahui faktor risikonya adalah penting untuk memahami sebab dan akibat, selain memudahkan intervensi rawatan.

Penyakit ni adalah penyakit “rare”, dinamakan sempena nama doktor yang mengesan gejala penyakit ni…

Mesti ramai di antara kita yang tak tahu apa benda penyakit Kawasaki ni, lebih-lebih lagi kalau kita takde anak. Sebabnya penyakit ni aktif menyerang kanak-kanak. Penyakit Kawasaki adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh inflamasi salur darah di seluruh badan.

Benda ni akan membawa kepada demam, ruam, pembengkakan tangan dan kaki, kerengsaan dan kemerahan mata, kerengsaan dan pembengkakan membran mukus mulut, bibir dan kerongkong, dan pembengkakan nodus limfa di bahagian leher.

Kesan awal penyakit Kawasaki berkemungkinan tak serius, cuma, dalam sesetengah kes, ada kesan jangka masa panjang seperti kerosakan arteri koronari akan terjadi. Hampir kesemua kes penyakit Kawasaki libatkan kanak-kanak; kebanyakan pesakit berumur 5 tahun ke bawah. Kekerapan kanak-kanak lelaki terkena penyakit ni adalah dua kali ganda dari perempuan.

Penyakit ini dinamakan sempena seorang doktor pakar kanak-kanak yang jumpai gejala-gejala penyakit ni pada tahun 1967. Semenjak tu, Penyakit Kawasaki didapati berlaku paling banyak dalam kalangan kanak-kanak Jepun. Di Amerika Syarikat, penyakit ini dilaporkan berlaku kepada semua suku dan bangsa tapi berlaku paling kerap dalam kalangan kanak-kanak berlatar belakang Asia-Amerika.

Najib
Dr. Kawasaki. Via SlidePlayer

Penyakit Kawasaki adalah sejenis penyakit yang “rare” dan bilangan tepat kes yang berlaku di dunia masih belum diketahui. Cuma, dianggarkan penyakit ni menyerang 10 dari setiap 100,000 kanak-kanak di bawah umur 5 tahun

Ini di antara tanda-tanda Penyakit Kawasaki yang korang kena awasi, boleh dilihat secara “fizikal”

Sehingga hari ini, punca Penyakit Kawasaki ni masih belum dijumpai. Kebanyakan pakar setuju ia kemungkinan besar berpunca dari sesuatu yang berjangkit (seperti virus atau bakteria), tapi kecenderungan terhadap punca yang diwarisi turut wujud juga. Sebab itulah penyakit ni berlaku dengan lebih kerap dalam kalangan orang berketurunan Jepun. Setakat hari ni, masih belum ada lagi bukti yang penyakit ni berjangkit.

Selalunya penyakitnya ni dimulakan dengan demam dan rasa tak selesa. Demam yang menyerang dengan cepat pada permulaan dan seterusnya naik turun dari demam bersuhu sederhana ke demam bersuhu tinggi. Noda limpa pada bahagian leher mungkin akan membengkak.

Ruam selalunya muncul pada permulaan penyakit ni; sesetengah pesakit mungkin dapati ada ruam yang menonjol di bahagian selangkang. Selalunya bewarna merah, ruam tu terdiri daripada bintik yang tak jelas dalam pelbagai saiz atau bintik besar yang bercantuman. Demam akan terus naik turun, mungkin sehingga tempoh 3 minggu.

Lightning+learning+ +kawasaki+disease+(v1.1)
Via EM3

Keradangan mata (konjunktivitis), selalu berlaku pada minggu pertama penyakit ni. Lidah kanak-kanak bermungkinan merah dan menunjukkan benjol-benjol yang kecil (papillae); keadaan ni dipanggil “lidah strawberi” kerana papillae yang membesar akan menyerupai benih-benih di permukaan strawberi. Bibir pesakit akan jadi kering dan merekah. Anda boleh baca dengan lebih lanjut berkenaan penyakit ini, DI SINI.

Sekiranya tanda-tanda Penyakit Kawasaki ni ada pada ahli keluarga anda, cepat-cepat dapatkan rawatan

Salah satu “kelebihan” penyakit ni – ia mudah dikesan melalui tanda-tanda fizikal, seperti yang kami dah terangkan kat atas. Oleh sebab tu, kalau korang dapati ada ahli keluarga (terutamanya kanak-kanak) mempunyai tanda-tanda Penyakit Kawasaki ni, korang kena segera bawak dia ke hospital. Oleh sebab COVID-19 ni baru lagi, masih banyak kita tak tahu. Apa yang kita tahu, ada kes kanak-kanak yang dijangkiti menunjukkan gejala Penyakit Kawasaki.

Kami juga nak ingatkan kepada anda untuk terus berdisiplin dan menerima normal baharu sebagai sebahagian daripada hidup anda. Sebabnya kami tengok dah semakin ramai yang beranggapan pandemik ni dah berakhir sejak kerajaan longgarkan PKP. Korang kena ingat – semua ini belum berakhir, sehinggalah vaksin ditemui!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *