Tindakan pembangkang dikatakan tak junjung titah Agong? Ini komen Tun Mahathir

F1

Semalam kita telah menyaksikan persidangan “cukup syarat” di Dewan Rakyat. Kami kata macam tu sebab kami berpandangan; takde masalah sebenarnya perbahasan dilakukan dalam keadaan normal baharu kat Dewan Rakyat. Kami dapat melihat kebanyakan ahli Parlimen mematuhi normal baharu ni, dan boleh je berdebat kalau keadaan mengizinkan.

Fungsi Dewan Rakyat harus segera dikembalikan sebagai tempat untuk wakil rakyat berdebat, supaya amalan demokrasi di negara kita akan lebih subur, dan proses semak imbang boleh berlangsung dengan berkesan. Cuma, kami dah faham kenapa kerajaan hari ni mungkin nak elakkan perbahasan daripada berlaku.

Majoriti yang dimiliki kerajaan pada hari ini sangat kecil, berpotensi ditumbangkan melalui undi tak percaya

Semalam, seramai 114 ahli Parlimen Perikatan Nasional duduk di kerusi kerajaan. Dengan kedudukan tu, Perikatan Nasional dilihat ada majoriti untuk bentuk kerajaan Persekutuan. Jumlah kerusi yang diperlukan untuk bentuk kerajaan ialah sebanyak 112. Dekat kerusi pembangkang pulak, ia diduduki oleh seramai 107 orang ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan cuma seorang ahli Parlimen duduk di kerusi bebas iaitu Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian.

Bekas Perdana Menteri ke-7, Dr Mahathir Mohamad dilihat duduk di kerusi pembangkang bersama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Benda ni nampak janggal sebab ada ahli Parlimen dari parti yang sama, tapi duduk di blok berlainan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pulak, duduk di sebelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Najib dan Zahid Hamidi duduk belakang je. Di sebelah kanan Azmin ialah tempat duduk Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Najib
Najib dan Zahid. Eh ada Hadi sekali. Via MalaysiaKini

Bagi yang dah lupa, Perdana Menteri kita hari ni dilantik ke jawatan tu selepas peletakan jawatan Mahathir pada 24 Februari lalu, sehingga mencetuskan krisis politik, dan menyebabkan kerajaan PH hilang kuasa dan perubahan gabungan parti-parti politik.

Menariknya, majoriti kerajaan ni berkurang satu kerusi apabila Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat jelaskan dia sebenarnya sokong pembangkang tak kiralah di peringkat persekutuan atau di Sarawak. Dalam satu kenyataan petang ni, Anggota Parti Bersatu Sarawak (PSB) tu jelaskan dia diberikan tempat duduk bersama penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat hari ni.

Najib
Masir Kujat. Via BebasNews

“Oleh kerana tempat duduk itu telah ditetapkan, saya tidak mempunyai pilihan selain duduk di tempat yang ditetapkan untuk saya. Saya ingin menjelaskan bahawa saya adalah anggota majlis presiden PSB dan PSB adalah parti pembangkang di peringkat persekutuan dan negeri. Saya tidak seharusnya diatur oleh speaker untuk duduk dengan barisan ahli parlimen PN kerana PSB tidak menyokong PN,” – Masir Kujat, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Ada yang kata pembangkang ni tak hormat dengan Agong, Tun Mahathir jawab isu ni…

Menurut Mahathir, isu politik negara yang dibawa pembangkang ni adalah teguran terhadap kerajaan, bukan nak belakangkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tu kata, dia yakin titah Seri Paduka Baginda semasa rasmikan pembukaan sidang baharu Parlimen pagi tadi bukan bermakna pembangkang tak boleh bersuara tentang masalah negara.

“Saya tak percaya tuanku bermaksud kita tak boleh cakap langsung berkenaan masalah-masalah dalam negara. Kalau tak boleh cakap langsung, lebih baik kita mansuhkan saja Parlimen. Kita masih ada Parlimen dan Parlimen akan bersidang dan (pembangkang) terpaksa tegur kalau kerajaan buat benda-benda tak betul. Kalau tak boleh tegur, tak ada makna ada persidangan,” – Mahathir, seperti yang dilaporkan oleh AWANI

Dia kata macam tu ketika jawab pertanyaan mengenai titah Seri Paduka Baginda yang mahu agar anggota Parlimen tak heret Malaysia dalam kancah krisis politik. Dia menambah; Baginda kata jangan caci-mencaci. Kita tak panggil orang dengan nama-nama buruk tapi kita suarakan teguran pada kerajaan, jadi tugas ahli Parlimen sama ada dalam atau luar kerajaan untuk suarakan segala masalah dihadapi rakyat.

Najib
Via Awani

Ketika menyampaikan ucapannya, Yang di-Pertuan Agong nasihatkan pemimpin-pemimpin politik agar tak heret negara sekali lagi ke kancah politik yang tak menentu ketika rakyat sedang berdepan dengan masalah dan masa depan yang sukar akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Melihat kepada kedudukan majoriti yang kecil, kami tak rasa kerajaan yang ada hari ni akan stabil

Bagi yang dah terlupa, mekanisme pengangkatan kerajaan hari ini adalah melalui jalan “lompat parti/koalisi”, ia bermakna tidak mustahil keadaan itu akan berlaku lagi. Kami dah berulang kali kata, kebanyakan wakil rakyat ni bukan fikir sangat pun pasal rakyat atau amanah, apa yang diorang pentingkan adalah kekuasaan dan poket diorang.

Dengan jumlah majoriti kerajaan yang sikit, sudah tentu akan ada usaha-usaha untuk membeli ahli Parlimen untuk melompat ke pihak lawan. Jika ditakdirkan ada beberapa ahli Parlimen kerajaan melompat ke pembangkang, jawapan kerajaan tu akan jatuh lah. Sebab itulah akta anti lompat parti perlu segera digubal, supaya kita takde katak-katak ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *