PH harap kadar turun mengundi tinggi pada PRK Sungai Bakap

f1

Jentera Kerajaan Perpaduan dalam usaha menyuntik motivasi kepada semua pemilih agar keluar mengundi bagi mencapai peratusan keluar mengundi sekurang-kurangnya 65 peratus.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bagaimanapun berharap peratusan keluar mengundi dalam PRK itu melepasi 65 peratus, berbanding beberapa PRK sebelum ini termasuk PRK Kuala Kubu Baharu di Selangor pada 11 Mei lepas yang mencatat sekitar 62 hingga 63 peratus.

“Sebenarnya angka 65 peratus itu angka yang tinggi, ramai yang tidak sedar dan kita selalu membandingkan angka peratusan keluar mengundi sekarang dengan angka peratusan keluar mengundi sebelum pendaftaran automatik dibenarkan (pendaftaran automatik sebagai pengundi kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas).

“Angka dulu dalam 70 peratus… jumlah pengundinya lebih kecil, tetapi sekarang sebab setiap rakyat yang berumur 18 tahun ke atas layak mengundi, jumlah pengundi itu lebih besar dan angka 65 peratus itu sebenarnya dah baik pada pandangan saya,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Program Bersama Wanita India Taman Puteri Gunong

Pengarah Pilihan Raya Perpaduan itu berkata, peratusan keluar mengundi menjadi faktor kemenangan seseorang calon dalam PRK, termasuk PRK DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Terdahulu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menjelaskan dan menjawab beberapa soalan daripada pengundi-pengundi India mengenai isu pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, harga beras dan pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Beliau juga berkata, Kerajaan Perpaduan sedang bertungkus-lumus dan berjanji untuk menjaga kebajikan semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum khususnya yang berpendapatan rendah dan B40.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam program berasingan berkata, peranan golongan wanita dilihat amat penting dalam menyampaikan maklumat dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat di peringkat akar umbi, khususnya menjelang PRK DUN Sungai Bakap.

Menurut beliau, ini kerana sifat yang dimiliki oleh golongan wanita menyebabkan mereka lebih mudah didekati dan beramah mesra dengan masyarakat.

“Sebenarnya wanita ini memainkan peranan begitu kritikal sekali untuk apa saja, terutama dalam memenangi satu-satu pilihan raya kerana mereka kalau orang kata masuk ke rumah orang berkempen, sehingga ke pintu dapur kerana begitu mesra sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Replika Cek, Sijil dan Penyerahan Kerusi Roda kepada golongan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini pada Ahad.

Sebelum bertanding di gelanggang undian, PH dan PN main bola sepak

Pasukan pilihan Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berjaya menewaskan pasukan pilihan Ketua Pengarah Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan jaringan 3-2 pada satu aksi persahabatan bola sepak di Padang Bolasepak Taman Pekatra, Simpang Empat, dekat sini pada petang Ahad.

Perlawanan persahabatan yang diadakan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap itu berjaya menarik perhatian lebih 500 penyokong daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

Pasukan pilihan Akmal Nasrullah terlebih dahulu berada di hadapan 1-0 hasil jaringan Akmal Nasrullah sendiri untuk menggembirakan penyokong mereka.

Pasukan pilihan Sanusi yang dibarisi beberapa pemain seperti wakil rakyat, Exco Kedah dan bekas pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Muhammad Radhi Mat Din, Datuk Salleh Saidin, Helmi Heliza Alias dan Nelson Sam Martin berusaha untuk menyamakan kedudukan.

Mereka berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Baddrol yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan pilihan Akmal Nasrullah yang juga dibarisi pemain campuran seperti Exco Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan bekas pemain seperti Faiz Subri, Merzagua Abderazak dan Norshahrul Idlan Talaha pula kembali menyusun permainan memburu jaringan.

Faiz kembali meletakkan pasukan pilihan Akmal Nasrullah di hadapan 2-1 hasil gerakan menarik rakan pasukannya sebelum berjaya disudahkan oleh penerima anugerah Puskas FIFA 2016 itu.

Bermula separuh masa kedua pula, Nor Shahrul terus selesa meletakkan pasukan pilihan Akmal Nasrullah di hadapan 3-1.

Pasukan sanusi berjaya merapatkan jurang kepada 3-2 menerusi Baddrol selepas penjaga gol pasukan lawan melakukan kesilapan mudah di hadapan gol sebelum dimanfaatkan oleh bekas pemain kebangsaan itu.

Pasukan pilihan Sanusi terus menggandakan asakan, namun pasukan pilihan Akmal Nasrullah berjaya bertahan dan keputusan 3-2 kekal sehingga ke wisel penamat.

Nik Nazmi optimis dengan kerjasama PH-PN

Kerjasama jentera antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap adalah yang paling erat pernah berlaku semenjak kedua-duanya menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerjasama itu nyata menampakkan kesan apabila banyak program yang diatur oleh PH-BN mendapat sambutan yang baik daripada penduduk setempat.

“Saya ingat dalam tempoh kita membentuk Kerajaan Perpaduan, ini kerjasama yang paling erat. Jadi insya-ALLAH, ini akan bantu kita (PH) menuju ke hari pengundian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Durian dan Buah-buahan Tempatan anjuran Jabatan Pertanian Pulau Pinang di Sungai Jawi

Berbaki enam hari lagi tempoh berkempen, beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata usaha untuk menerangkan dasar kerajaan dan tawaran khusus untuk Sungai Bakap akan diteruskan bagi menyakinkan lebih ramai pengundi.

“Kita tidak seperti pembangkang memainkan sentimen dengan membawa isu-isu nasional ke sini. Penduduk di sini mahukan satu penyelesaian kepada masalah yang dihadapi selama ini, tidak dapat ditawarkan oleh pembangkang selama mana mereka menjadi wakil rakyat.

“Jadi memandangkan kita (Kerajaan Perpaduan) adalah pemerintah di peringkat Persekutuan maka kami yakin mampu menjadi jambatan antara masyarakat di sini dan juga kerajaan negeri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *