Syed Saddiq lari 200km, protes tiada peruntukan

f1

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan sudah berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding bagi mendapatkan peruntukan, namun tiada sebarang respons.

Beliau berkata, pihaknya sudah hampir setahun tidak menerima bantuan peruntukan kerajaan untuk rakyat kawasannya.

Menurutnya, disebabkan hampir setahun disisihkan membuatkan beliau mengambil keputusan untuk berlari sejauh 200 kilometer (km) dari Muar ke Parlimen sebagai tanda protes.

“Anwar minta saya jumpa dan berunding untuk dapatkan peruntukan, kedua-duanya saya sudah buat. Saya utuskan surat, tapi tiada balasan. Saya heret kerajaan ke mahkamah untuk tuntut janji mereka, masih sunyi sepi. Hampir satu tahun Parlimen Muar disisihkan oleh kerajaan, satu sen pun kami tak terima,” katanya menerusi hantaran di Facebook

Menteri Belia dan Sukan itu melancarkan inisiatif Langkah Muar itu sebagai tanda protes terhadap kerajaan serta meraih dana bagi pusat khidmat raya di kawasannya.

Difahamkan, ia berikutan kerajaan sedang merangka draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkait penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, draf tersebut akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Syed Saddiq memaklumkan, peruntukan rakyat tidak mencukupi kerana masih ramai yang datang ke pusat khidmat bagi memohon ‘Food Bank’, bantuan susu formula khas, lampin pakai buang buat ibu bapa uzur dan komputer riba untuk menyambung pelajaran.

“Jadi, saya mulakan inisiatif Langkah Muar untuk bantu mereka semua. Esok jam 6 pagi saya akan mula berlari 200km dari Muar ke Parlimen dan ini kali pertama saya lari, rasa gementar juga. Kalau terserempak tepi jalan nanti boleh tegur, nak berlari sekali pun boleh. Doakan saya selamat sampai Parlimen,” ujarnya.

Syed Saddiq berjaya kumpul RM55,000 dalam tempoh 24 jam

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul RM55,000 dalam tempoh 24 jam sejak memulakan larian dalam misi ‘Langkah Muar’ sejak Jumaat.

Menerusi perkongsiannya dalam Facebook, beliau bermula di Jambatan Muar dan berhenti rehat di Alor Gajah, Melaka dengan larian sejauh 58 kilometer.

Katanya, walaupun hampir mengalami kekejangan kaki sejak memulakan larian jam 6.30 pagi Jumaat, beliau kembali bersemangat sebaik melihat orang ramai memberikan sokongan dengan menunggunya di sepanjang jalan.

“Ramai yang sanggup tunggu di tepi jalan. Dari yang tua ke yang muda. Berbilang bangsa dan agama. Bila kaki nak cramp (kejang), dengar je sorakan sahabat semua hilang terus cramp dan semangat naik semula,” katanya.

Larian ini juga bagi mengutip dana RM100,000 untuk Pusat Khidmat Muar supaya dapat kekal beroperasi sekali gus membantu rakyat yang memerlukan.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menghargai dua lelaki yang sanggup menghulurkan sumbangan secara terus.

“Ramai juga yang bagi makanan dan minuman siap bungkuskan makanan lagi, baik benar korang. Terima kasihlah. Siap ada dua pakcik, saya nak kongsikanlah kalau saya tak silap namanya Abdul Rahman dan Nur Hisham yang sumbangkan duit terus daripada poket diaorang. They are so kind. Saya terhutang budi,” katanya.

Cadangan untuk memberi peruntukan kepada pembangkang

Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan tidak perlu merundingkan agihan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, sebaliknya terus disalurkan kepada mereka dengan pemantauan ketat.

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, pemantauan itu perlu bagi membolehkan setiap sen peruntukan disalur itu digunakan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan masing-masing.

“Peruntukan pembangkang tak perlu rundingan. Jadi tak perlu perbincangan atau menetapkan syarat-syarat tertentu. Perlu disalurkan secara adil mengikut Perlembagaan. Ini kerana (di kawasan) Parlimen pembangkang, rakyatnya adalah rakyat Malaysia yang jelas mereka boleh menerima peruntukan,” katanya ketika membahaskan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021-2022 di Dewan Rakyat

Terdahulu, usul itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebaik selesai sesi soal jawab lisan.

Mengulas lanjut, Che Mohamad berkata, politik negara tidak akan maju jika amalan agihan menyalurkan peruntukan secara terpilih dan tidak seimbang ini diteruskan.

“Sekiranya politik negara mahu maju ke depan, kerajaan seharusnya memberikan peruntukan yang seimbang kepada semua ahli politik tanpa mengira blok kerajaan atau pembangkang Masa PN (Perikatan Nasional) jadi kerajaan dulu, semua pembangkang dapat. Penguatkuasaan yang ketat perlu dilaksana bagi memantau ahli politik. Bagi (peruntukan), tapi pantau supaya yang menerima peruntukan itu digunakan sebaik mungkin. Ini yang saya kata hak asasi rakyat,” katanya.

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian bangun mendakwa kenyataan Che Mohamad bahawa ketika pentadbiran PN, peruntukan disalurkan kepada pembangkang adalah tidak benar.

“Besut mengatakan ketika PN menjadi kerajaan, peruntukan diberikan kepada semua Ahli Parlimen, itu tak betul. Ketika Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yasin) menjadi Perdana Menteri, tidak ada peruntukan.

“Timbalan Speaker (Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong) pun tahu, ketika Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) menjadi Perdana Menteri, baru kita dapat peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang. Jadi saya minta kenyataan itu diperbetulkan,” katanya.

Kenyataan Rayer itu kemudian disanggah Che Mohamad yang menyatakan peruntukan RM300,000 ada diberikan kepada semua Ahli Parlimen ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini memaklumkan, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan sudah menyalurkan peruntukan ke kawasan Parlimen pembangkang, namun pembangkang mendakwa peruntukan diagihkan itu adalah untuk tujuan pembangunan, bukan bagi keperluan pusat khidmat wakil rakyat menyalurkan bantuan langsung kepada rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *