PKP fasa ketiga semakin KETAT, ini yang akan berlaku kepada mereka yang ditahan

F1

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perkenalkan, masih ada rakyat Malaysia yang ingkar dan tak mahu duduk di rumah. Cuma ada perbezaan di antara orang yang saja-saja tak nak duduk di rumah dengan mereka yang terpaksa keluar kerana nak cari makanan, macam cerita yang kami kongsikan semalam.

Kami rasa kita semua dah setuju, PKP diperkenalkan untuk memutuskan rantaian COVID-19. Semalam kita cuma mencatat 83 kes, satu perkembangan positif sebab kita dah catat peningkatan kes cuma dua digit. Hari ni kami nak kongsikan beberapa cerita tentang orang yang langgar perintah PKP, sehingga menyusahkan diri mereka sendiri. Kita mulakan dengan…

Pasangan yang nak berkahwin didenda RM1,000 sebab nak pergi ATM bersama…

Pada awal bulan ni, sepasang bakal pengantin dah dikenakan denda RM1,000 di Mahkamah Sesyen Alor Gajah selepas mengaku salah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika menaiki motosikal di Pegoh. Hakim Ahmad Sazali Omar jatuhkan hukuman tu terhadap Muhammad Farhan Mat Kais yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tunangnya, Norain Mohamed yang bekerja sebagai kerani.

93373800 221372449093621 3609023875951624192 N
Via Harian Metro

Berdasarkan kertas pertuduhan, diorang secara bersama pada 6.30 petang 28 Mac lepas kat kawasan kilang Honda, Pegoh didapati bergerak dari satu tempat ke suatu tempat lain tanpa sebab munasabah di dalam mana-mana kawasan jangkitan COVID-19.

Diorang didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB), yang dihukum di bawah Perkara 7 peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin cadangkan hukuman setimpal kerana langgar arahan PKP dan alasan yang diberikan ketika tu untuk keluarkan wang kat ATM di kilang tu tak munasbah sebab ada mesin ATM berhampiran rumah diorang.

Muhammad Farhan yang tak diwakili peguam merayu hukuman denda diringankan dengan hujah perlu gunakan wang yang banyak untuk persiapan perkahwinan diorang pada Julai depan, manakala Noraini dalam rayuannya mintak hukuman diringankan kerana baru sebulan bekerja dan belum dapat gaji.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna. Via Giphy

Ahmad Sazali sebelum jatuhkan hukuman tu kata, dalam tempoh PKP ni seharusnya orang awam bersabar dan beri kerjasama kepada pihak berkuasa. Tegasnya, benda ni adalah kesalahan diri sendiri yang tak nak beri kerjasama.

Mungkin disebabkan bosan, ada ahli majlis pergi main badminton dengan member

Bukan setakat orang yang nak kahwin je langgar PKP ni. Minggu lepas, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan tiga rakan didenda RM1,000 seorang oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, sebab pergi main badminton masa PKP.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim kata, mangkuk-mangkuk ni diorang dituduh di mahkamah mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawalan Tempat Jangkitan) 2020, semalam.

“Setiap individu terbabit dikenakan denda RM1,000 dan mereka sudah membayarnya,” – Mohd Ismail Muslim, seperti yang dilaporkan Harian Metro

Empat individu tu ditahan polis kerana ingkar PKP dengan bermain badminton di Dewan MBSA di Seksyen 25. Difahamkan pasukan dari Unit Pantas MBSA terima laporan jam 1 pagi berhubung aktiviti di dewan tu dan hasil pemeriksaan dapati empat lelaki termasuk seorang ahli majlis sedang bermain badminton.

Main badminton dekat rumah pun boleh sebenarnya. Via Giphy

Dalam masa yang sama Mohd Ismail sahkan sepanjang tempoh PKP polis terima sebanyak 980 laporan berkaitan PKP dan 695 jumlah kes disiasat di seluruh Selangor (18 Mac sehingga 8 April).

Untuk PKP fasa tiga, sesiapa yang ingkar akan terus dihadapkan ke Mahkamah

Polis tak akan lagi jadikan denda kompaun RM1,000 sebagai pilihan utama untuk mereka yang sengaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya, untuk PKP fasa ketiga, mereka yang ditahan, akan direman dan seterusnya dihadapkan ke Mahkamah. Dia kata, keputusan lebih tegas tu diambil ekoran sikap sambil lewa rakyat yang semakin meningkat berdasarkan jumlah kenderaan di atas jalan, serta peningkatan jumlah mereka yang ingkar terhadap arahan PKP.

“Kita lihat seolah olah rakyat tidak peduli atau tidak takut kepada undang undang yang kita ada hari ini. Mungkin RM1,000 tidak dianggap begitu tinggi untuk menakutkan mereka yang terus ingkar kepada PKP. Oleh itu, kita telah bersetuju bahawa polis mulai esok tidak lagi beri tumpuan kepada kompaun, sebaliknya, sesiapa yang ditahan akan direman atau dihadapkan ke mahkamah, dan biarlah mahkamah putuskan hukuman lebih berat,” – Ismail Sabri, seperti yang dilaporkan AWANI

92748358 221372412426958 5651508647444873216 N
Via FMT

Dia kata, 1,374 individu dah ditahan semalam kerana ingkar PKP, merangkumi 931 individu dikenakan kompaun RM1,000; 418 individu direman dan 25 individu telah dijamin polis. Daripada jumlah ni, sebanyak 427 individu dah dituduh di mahkamah di atas kesalahan mengingkari PKP.

Untuk menang melawan pandemik COVID-19, kita perlu kesabaran dan disiplin

Salah satu benda yang perlu dipastikan oleh kerajaan adalah; semua orang yang terkesan mendapat bantuan yang sewajarnya; terutamanya wang untuk membeli makanan. Apabila rakyat memiliki wang untuk membeli makanan mencukupi, takde sebab untuk diorang ingkar PKP. Apa yang kita bimbang adalah kumpulan yang terpaksa keluar mencari makanan ditahan kerana dianggap “ingkar” PKP. Benda ni kita kena pastikan tak berlaku.

Untuk menang melawan pandemik COVID-19, kita kena pastikan kelompok yang paling memerlukan dibantu. Untuk rakyat pulak, kita kena bersabar dan berdisiplin; dengan duduk di rumah, kita boleh menyelamatkan Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *