Rakyat Malaysia ada macam-macam bakat, dan kami pun dah beberapa kali tulis tentang pencapaian rakyat kita di peringkat global. Dalam krisis Covid-19 ni, ramai yang tak sangka rakyat Malaysia mampu beri impak secara global. Bukan mudah untuk dapat pengiktirafan di peringkat global, kerana ia perlukan usaha keras dan ketokohan – lebih-lebih lagi perlu memimpin orang yang tak makan nasi lemak seperti kita.
Kumpulan ni nak buat ramalan mengenai kes COVID-19, kematian dan pemulihan melalui model ramalan
Oleh sebab banyak maklumat yang salah mengenai pandemik COVID-19 sejak kebelakangan ni, masyarakat di seluruh dunia berusaha untuk salurkan fakta yang tepat mengenainya. Ramai yang tak tahu ada pasukan penyelidikan yang diketuai Malaysia, diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) disebabkan hasil kerja diorang mengenai “CoronaTracker”, sebuah platform sehenti untuk data dan berita berkaitan COVID-19.
CoronaTracker adalah projek berasaskan komuniti bermula dengan pembabitan seramai 400 sukarelawan di seluruh dunia terdiri daripada saintis data, pengamal perubatan profesional, pereka user interface/user experience (UI/UX), full stack developers (pembangun web) dan orang awam. Pada hari ini, diorang dah ada lebih 1,800 sukarelawan.
Laman web diorang berfungsi sebagai portal untuk orang ramai ketahui perkembangan berita terkini mengenai COVID-19 serta mengumpul data untuk analisis lanjut.
Projek ni diketuai Fairoza Amira Hamzah, 29 tahun. Dia hasilkan kertas penyelidikan bertajuk “CoronaTracker: Analisis Data dan Ramalan Wabak COVID-19 di seluruh dunia”, untuk buat ramalan mengenai kes COVID-19, kematian dan pemulihan melalui model ramalan dan menguraikan pola mengenai sentimen orang awam berkaitan penyebaran maklumat kesihatan.
Selain Fairoza, pasukan itu turut dianggotai penyelidik lain seperti; Lau Cher Han, Hafeez Nazri, Dominic Vincent Ligot, Lee Guanhua, Tan Cheng Liang, Mohammad Khursani Mohd Shaib, Ummi Hasanah Zaidon, Adina Abdullah, Chung Ming Hong, Ong Chin Hwee, Chew Pei Ying dan Roland Emmanuel Salunga.
Kumpulan ni turut rancang untuk kaji cara membendung penularan pandemik
Anak kelahiran Tangkak tu kata; sejak projek ni dimulakan, diorang lakukan semuanya secara online, menggunakan pelbagai platform seperti Trello untuk laksanakan tugas, Slack untuk berkomunikasi antara satu sama lain, Telegram untuk berkomunikasi dengan orang awam, GitHub untuk berkongsi kod, Google Drive untuk berkongsi dan menyimpan data, Zoom untuk mesyuarat dalam talian serta Amazon Web Services (AWS) dan Netlify untuk menyimpan data.
Bukan main hebat diorang ni manfaatkan teknologi yang ada untuk menyumbang kepada komuniti, inilah yang sepatutnya kita sama-sama lakukan.
“Maklumat kami boleh dipercayai kerana sumber disahkan sebelum dimasukkan ke dalam laman web dan dikongsi dengan orang ramai. Dalam fasa pertama, kami bermula dengan mengumpulkan berita dari Malaysia, CNN, BBC dan Tencent, diikuti mendapatkan data dari Johns Hopkins University, WHO dan berita pelbagai bahasa dari Jepun, China, Malaysia, Vietnam, Itali dan lain-lain,” – Fairoza Amira Hamzah, seperti yang dilaporkan BERNAMA
Fairoza merupakan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang Sains Maklumat dan Kejuruteraan Kawalan dari Universiti Teknologi Nagaoka, Jepun ni kata kerja keras selama dua bulan bermula 25 Jan lepas berbaloi apabila kertas penyelidikan mereka diterbitkan dalam buletin online WHO pada 19 Mac 2020.
Dia kata pasukan tu akan teruskan fasa kedua penyelidikan dan diorang merancang untuk kaji cara membendung penularan pandemik itu dengan meneliti pelaksanaan pemulihan setiap negara dan faktor yang mempengaruhi penularan wabak maut tu.
Memandangkan COVID-19 terus merebak ke seluruh dunia, pasukan tu meramalkan penyelidikan diorang akan memasuki fasa ketiga dan keempat. Fairoza kata ia bermula dengan hantaran Lau di Facebook pada Januari yang memulakan usaha pasukan itu untuk menyediakan data yang boleh dipercayai untuk disalurkan kepada orang ramai.
“Saya lihat hantaran Lau dalam Facebook untuk kumpulan pereka UI/UX dan saya memutuskan untuk menyertai beliau. Pada mulanya saya begitu teruja untuk mengetahui apakah yang beliau cuba bangunkan dan apakah situasi semasa dalam data komuniti sains Malaysia. Kemudian dia minta saya mengetuai pasukan penyelidikan di sini, dan bermula dari situlah saya terlibat secara aktif,” – Fairoza Amira Hamzah, seperti yang dilaporkan BERNAMA
Ditanya mengenai pandangan peribadinya mengenai pandemik ini, Fairoza berharap orang ramai dapat memainkan peranan mereka untuk memerangi COVID-19 bersama-sama, supaya wabak ini dapat berakhir secepat mungkin.
Semua orang boleh sumbangkan sesuatu kepada masyarakat, termasuklah duduk di rumah…
Kejayaan diorang ni membuktikan beberapa perkara. Pertama, sebagai rakyat Malaysia – korang tak perlu takut untuk mengetuai projek komuniti pada skala global. Kedua, ia jugak membuktikan yang setiap individu dalam masyarakat boleh menyumbang mengikut kemahiran korang. Sebabnya, orang selalu fikir – cuma mereka yang berada di bidang perubatan atau sains je yang boleh membantu masyarakat dalam krisis ni.
Pandangan tu salah, sebabnya ramai rakyat Malaysia yang jadi hero dalam krisis ni. Ia termasuklah mereka yang terpaksa bekerja untuk memastikan kita sentiasa selamat di Malaysia. Oleh itu, duduklah rumah! Itu juga sumbangan kepada masyarakat.
Artikel ini banyak mengambil laporan Bernama yang bertajuk COVID-19: Malaysian-led research team receives recognition from WHO.