Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang akan mula menyertai Kerajaan Perpaduan. Ini berikutan situasi mereka yang hanya disajikan dengan janji-janji palsu termasuklah usaha untuk mengambil alih kerajaan.
“Mereka diberikan harapan, walaupun saya katakan atap ini bukan atap rumbia tetapi atap konkrit, mereka berpindah dari Dubai ke London, dan mereka lupa atap konkrit jauh lebih tebal.
“Dan apabila terhakis harapan, ahli-ahli Parlimen yang dijanjikan perubahan yang dijanji akan berlaku ini, seorang demi seorang akan meninggalkan parti mereka.”
Tambah Anwar, kedudukan Kerajaan Perpaduan katanya semakin dilihat positif ditambah pula dengan sokongan tidak berbelah bagi menerusi gabungan di Sabah dan Sarawak. Tegasnya, ahli politik perlu menerima hakikat bahawa kerajaan di bawah pentadbirannya ini akan mampu bertahan sehingga akhir penggal.
“Yang di-Pertuan Agong pada malam tadi juga menasihatkan agar pimpinan politik menerima perpaduan perlu wujud dan kepimpinan perlu menumpukan pada memacu pertumbuhan, dan biar bicara soal merancang setelah lima tahun (akhir penggal).
Anwar bagaimanapun mengingatkan kesemua jemaah menterinya agar tidak begitu selesa dengan kedudukan berkenaan sebaliknya perlu fokus terhadap memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Tegasnya, kerajaan masih mempunyai baki empat tahun untuk membuktikan kejayaan mampu dibawa.
Dalam masa sama, Anwar berkata, kerajaan katanya tak akan sesekali mengetepikan hak majoriti Melayu di negara ini selain bertegas akan kekal dengan prinsip sedia ada selari dengan pendekatan Madani.
Akan ada lagi yang bakal menyokong PMX selepas ini
Sepuluh lagi ahli parlimen pembangkang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mendedahkan demikian, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata ia babitkan lima ahli parlimen dari kawasan utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta tiga dari kawasan timur iaitu masing-masing Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Selain itu, katanya kawasan tengah pula membabitkan seorang ahli parlimen dari Melaka dan dua lagi ahli parlimen dari Selangor.
Sebelum ini sudah enam ahli parlimen pembangkang mengumumkan menyokong Anwar termasuk daripada Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi semalam.
“Saya sebut kawasan (wilayah) tetapi tak sebut nama kawasan. Berikan kebebasan kepada ahli parlimen ini bila dia nak beri sokongan. Mereka sedang berfikir, dijangka (menyatakan sokongan kepada PMX) menjelang sesi Parlimen, 28 Februari ini,” katanya dalam sidang media di kediamannya di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menyeru supaya semua ahli parlimen Bersatu memberikan sokongan kepada Anwar buat masa ini supaya fokus ditumpukan kepada membantu Perdana Menteri membangunkan negara dan pada masa sama setiap ahli parlimen melaksanakan tugas dengan bertanggungjawab.
Beliau juga menyeru supaya Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid turut menyatakan sokongan kepada Anwar.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Abu Hussin menjangkakan PAS akan membuat gabungan dengan parti berlainan dan Bersatu tidak lagi akan bersama parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-16.
“PAS selalunya akan membuat keputusan berlainan dalam setiap PRU. Ini memang sejarah PAS buat gabungan dengan parti berlainan (dalam PRU).”
“PAS tidak akan bergabung dengan Bersatu dalam PRU akan datang. Bersatu kena bersedia, maka ahli Bersatu digalakkan secara berkelompok menyatakan sokongan kepada PMX.”
Krisis Bersatu semakin parah, ada yang jumpa PMX
Krisis di dalam Bersatu sedang memuncak. Ia membabitkan dua pemimpin Bersatu yang gagal memenangi kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke 15.
Penyokong kedua-dua kumpulan menuduh bahawa pesaing mereka telah berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kumpulan penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa setiausaha agung parti Datuk Seri Hamzah Zainudin yang datang menemui PMX manakala penyokong Hamzah mendakwa Azmin dan timbalan presiden Datuk Faizal Azumu Yang sebenarnya berbuat demikian.
Menurut seorang penyokong Hamzah yang menggunakan nama Encik Richard yang berkicau melalui twitternya, team Azmin Ali sedang membayangkan kononnya Hamzah jumpa Anwar.
Setiausaha sulit Hamzah Zainuddin, Ahmad Ikhwan Fadhli juga menafikan desas-desus ketua pembangkang itu sedang merisik jawatan dalam kerajaan. Sebaliknya Ahmad Ikhwan berkata individu berkenaan bukan Hamzah selain menyifatkan khabar angin itu sebagai fitnah dan perang saraf ‘level amatur’.