PAS didakwa pura-pura tak faham undang-undang

f1

PAS mendakwa keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah sebagai sejarah hitam kepada umat Islam negara ini.

Menyifatkan hari keputusan itu sebagai ‘Black Friday’, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ketetapan yang diputuskan mahkamah itu bakal memberi kesan buruk kepada undang-undang syariah di 14 negeri.

“Kita amat sedih, ini adalah Black Friday, Jumaat yang hitam kepada undang-undang syariah Islam,” katanya.

Beliau mendakwa keputusan mahkamah itu boleh memberi impak kepada undang-undang jenayah syariah di negeri lain.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Dalam keputusan penghakiman 8-1, panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Ditanya tindakan yang akan diambil selepas ini, Takiyuddin memaklumkan, ramai Ahli Parlimen akan mengemukakan soalan berhubung perkara itu pada sesi Dewan Rakyat yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Sultan Selangor beri peringatan supaya jangan ambil kesempatan

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua ahli politik supaya tidak mengambil kesempatan mempolitikkan setiap isu melibatkan agama Islam sehingga ia menjadi modal persengketaan politik yang tak berkesudahan.

Selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), baginda menegaskan, agama adalah isu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, sekali gus perlu mengelak daripada tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh diselesaikan secara bersama.

Turut menjelaskan bahawa teguran baginda tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak, Sultan Selangor bertitah, umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu, malah semakin serius sejak kebelakangan ini.

“Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam. Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam,” titah baginda dalam satu kenyataan

Terdahulu, Sultan Selangor disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam yang ditubuhkan atas titah baginda pada mesyuarat MKI ke-70 pada 28 Ogos 2023, sedang meneliti persoalan yang berbangkit.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda maklum pelbagai pihak, terutama ahli-ahli politik, pengamal undang-undang, ahli akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes Mahkamah Persekutuan itu.

“Terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut. Namun demikian terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

“Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik Black Friday kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini. Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut,” titah baginda.

Sultan Selangor juga meminta semua pihak, terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam berkait isu berkenaan.

“Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan Islam akan menghormati umat Islam. Di samping itu pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah bebas daripada pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama,” titah baginda lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, baginda berharap amalan melantik menteri agama dari kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan sekarang dapat diteruskan demi memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik.

Nik Nazmi anggap Hadi dan Takiyuddin pura-pura tak faham

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu berhenti daripada mengelirukan rakyat menggunakan isu pembatalan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mempergunakan isu teknikal undang-undang untuk kepentingan politik, terutamanya berkaitan perihal agama adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

Ini kerana katanya, kempen seperti itu hanya akan menimbulkan kekeliruan dan kebencian dalam kalangan masyarakat dan tidak akan membawa Malaysia lebih maju ke hadapan.

“Saya tidak terkejut sekiranya beliau (Abdul Hadi) tidak memahami isu ini tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pengamal undang-undang berpengalaman, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga gagal memahami isu ini dengan baik.

“Perlembagaan yang dikatakan Abdul Hadi sebagai undang-undang penjajah telah memelihara Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin hak-hak penganut agama dan kepercayaan yang lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook

Nik Nazmi mengulas mengenai tulisan Abdul Hadi dalam segmen Minda Presiden Pas yang cuba memberi bayangan bahawa pelbagai pindaan undang-undang sejak kebelakangan ini telah meninggalkan syariat Islam.

Melalui tulisan itu, Abdul Hadi dipetik memberi sindirian kepada para hakim dengan melabelkan kewujudan hakim yang ‘bijaksini’, bukan bijaksana.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, sesuatu yang tidak disentuh oleh Abdul Hadi adalah kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam pada awal Disember 2023.

Katanya, jawatankuasa itu diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan turut dianggotai oleh 10 ahli jawatankuasa yang lain.

“Sudah tentu jawatankuasa ini membantu untuk memperkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Saya yakin Hadi dan Takiyuddin sebenarnya faham, tetapi sengaja buat-buat tidak faham untuk menimbulkan ketakutan umat Islam demi kepentingan sempit mereka,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *