Hassan Karim kata tiada niat untuk jatuhkan Anwar

f1

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim jelaskan dia tak berkecil hati dengan teguran keras oleh Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil. Sebaliknya Hassan berkata, parti itu boleh memecatnya jika menganggap tindakannya bersuara sebagai satu kesalahan.

“Secara hormat dan merendah diri bahawa saya terbuka dan bersedia sekiranya Parti Keadilan (PKR) ingin memulakan prosiding disiplin ke atas saya kerana bersuara lantang selama ini.

“Jika saya mempertahankan hak saya untuk bersuara dan menyatakan fikiran maka itu dianggap satu kesalahan oleh Kerajaan Perpaduan maka saya bersedia jika saya dikenakan tindakan pemecatan oleh pimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Fahmi yang Menteri Komunikasi memaklumkan memberi ‘teguran keras’ kepada Hassan supaya tak mengeluarkan kenyataan yang dilihat seolah-olah mahu mencampuri urusan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

Fahmi berkata, Hassan seharusnya menghormati rakan parti yang kini bersama-sama dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hassan sebelum itu dilaporkan berkata, UMNO perlu diterajui muka baharu dan tidak hanya ‘menumpang dahan’ PH pimpinan Anwar yang diakuinya ‘rapuh’ berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16. Hassan dipetik berkata, rombakan pemimpin baharu yang segar, berintegriti dan berkarisma dalam parti itu adalah penting untuk mendapatkan undi Melayu.

Hassan yang juga ahli PKR sejak 46 tahun lalu berkata, sepanjang tempoh lebih empat dekad terbabit dalam politik, inilah kali pertama dia ditegur secara keras dan diumumkan secara terbuka di media sosial atas kesalahan menyatakan fikiran dan pandangan politik.

“Saya tidak berkecil hati. Hanya kerana teguran keras itu diumumkan secara terbuka maka izinkan saya menyatakan juga secara terbuka bahawa tidak ada kegetaran dan ketakutan di pihak saya atas teguran YB Menteri Fahmi Fadzil selaku jurucakap kerajaan dan ketua penerangan Parti Keadilan,” katanya.

Ini yang dikatakan Fahmi Fadzil kepada Hassan Karim

Mengambil contoh teguran PKR terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di mana kenyataannya baru-baru ini dilihat sebagai mencampuri urusan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, Fahmi menegaskan, tegur-menegur adalah perkara biasa dan juga amalan dalam parti itu.

“Cuma, ada beberapa perkara yang menjadi disiplin kepada parti. Kalau Pak Hassan (Hassan Abdul Karim) boleh menegur (parti), maka dia juga boleh ditegur (oleh parti),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Youth Empowerment Fair 2024 (YEF2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Hassan yang juga Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH), diberi ‘teguran keras’ supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang dilihat seolah-olah mahu mencampuri urusan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

Ditanya sama ada Hassan akan dikenakan tindakan disiplin pula, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan buat masa ini, parti belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

“Kita tunggulah tetapi waktu ini, kita belum mengadakan mesyuarat… jadi perkara itu (mengenakan tindakan disiplin terhadap Hassan) tidak timbul,” katanya.

Kenyataan Hassan telah mengundang pelbagai reaksi, termasuk Fahmi yang meminta Hassan berhenti campur tangan dalam ehwal dalaman parti sekutu PH.

Hassan kata ingin bertanya, tiada niat jatuhkan

Hassan Abdul Karim ada mengatakan dia tiada agenda atau kepentingan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menggesanya untuk memberi penjelasan isu kejatuhan ringgit dalam sidang Parlimen pada Selasa ini.

Dia tak takut untuk terus mengkritik Kerajaan Perpaduan walaupun merupakan wakil rakyat dalam kerajaan kerana perlu jujur sekiranya perlu membuat teguran membina supaya dapat memperbetulkan kesilapan.

“Saya tidak takut untuk kritik Perdana Menteri dan kerajaan jika saya perlu bersuara. Saya tiada kepentingan untuk jatuhkan Anwar, tegur untuk kebaikan. Saya tidak cakap retorik. Perdana Menteri perlu beri penjelasan di Parlimen apakah langkah-langkah kerajaan mengatasi kejatuhan ringgit.

“Pada masa sama saya juga tidak takut untuk beri pujian, kredit dan iktiraf Perdana Menteri dan kerajaan. Saya perlu adil, misalnya dalam konteks kejatuhan ringgit, banyak pihak kritik Anwar tetapi tidak menyedari keadaan pada masa kini berbeza. Contohnya kejatuhan ringgit pada 2024 berbeza dengan keadaan kejatuhan ringgit pada tahun 1998.

“Ketika ini kadar dasar semalaman (OPR) hanya 3 peratus dan inflasi pula 1.5 peratus berbanding kadar OPR pada 1998 10 peratus dan inflasi 5.3 peratus,” kata Hassan mengulas gesaannya pada Selasa menuntut Anwar memberi penjelasan berkenaan kejatuhan ringgit yang sangat teruk ketika ini.

Anwar pada Jumaat menegaskan tidak sewajarnya membandingkan prestasi ringgit dengan tahun 1998, malah perlu dilihat daripada semua aspek yang telah meningkatkan ekonomi negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *