Kita mungkin boleh jadi “pelancong angkasa” pada masa hadapan. Ini ceritanya

F1

Sejak kerjaya angkasawan tu menjadi satu pilihan lepas Yuri Gagarin berjaya dihantar ke luar bumi, usaha nak fikirkan dan eksplorasi ruang angkasa tu dah semakin luas. Kita pun dah berjaya hantar wakil Malaysia ke luar bumi dulu, iaitu Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie pada 2007 dalam misi Soyuz TMA-11 bersama krew Expedition 16.

Sheikh Muzaphar
Betul-betul berkibar Jalur Gemilang kat angkasa ni.. Via Inet Detik

Tapi tak ramai yang tau, sebenarnya NASA tak lagi fokus sekadar nak hantar angkasawan ke stesen angkasa lagi sejak 2000. Lepas salah sebuah pesawat ulang aliknya Columbia rosak ketika kembali ke bumi pada 2003, NASA nak fokus ke bulan pulak. Kalau nak hantar angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), NASA dah ada alternatif baharu… syarikat aeroangkasa SpaceX.

Syarikat aeroangkasa swasta SpaceX cetusan aspirasi, Elon Musk yang tertarik dengan idea nak tinggal di Marikh

Selama ni kita hanya dapat nikmati gambaran nak tinggal di Marikh kat filem sains fiksyen je, tapi Elon Musk pulak rasa kita mampu duduk kat Marikh suatu hari nanti. Elon Musk ni terkenal dengan pelbagai perkara termasuklah suka hantar ciapan yang pelik-pelik, tetapi kejayaan dan kepintarannya memang tak dapat dinafikan.

Elon Musk merupakan pencipta teknologi, namun dia lebih terkenal sebagai pengasas Paypal. Paypal ni servis popular dimana korang boleh hantar duit dalam talian tanpa perlu kusut fikirkan kekangan seperti perbezaan tukaran mata wang. Sehingga kini, Paypal ni terus menjadi antara platform utama seluruh dunia.

Elon Musk
Ni lah si Elon Musk..  Via Evening Standard

Banyak jugak produk dia buat lepas Paypal. Antaranya penubuhan syarikat Tesla dan kereta elektriknya, projek Hyperloop dan kini, SpaceX. Korang boleh tengoklah kecenderungannya kini lebih tertumpu dengan sektor pengangkutan lagi sebab dia rasa kita sepatutnya dah boleh bergerak dan sampai lebih laju ke destinasi yang dituju.

SpaceX ni dah lama sebenarnya ditubuhkan iaitu pada 2002. Pada waktu tu, Amerika Syarikat sebenarnya dah penat bayar berpuluh juta dolar kepada syarikat aeroangkasa Rusia untuk hantar krew angkasawan pergi balik ke stesen angkasa. Bila geopolitik Rusia dan Ukraine mulai bergolak (dan akibatnya, turut menumbangkan pesawat MAS iaitu MH17), Amerika hentikan bayar syarikat Rusia dah.

Spacex Ceo Elon Musk Unveils The Dragon V2 Space Taxi
Via Fortune

Sejak 2010 tu, memang Amerika dah awal-awal tawarkan peluang dan kontrak berjuta-juta dolar kepada syarikat aeroangkasa lain khususnya yang bertempat di Amerika sendiri. Elon Musk bukanlah orang Amerika sebab lahir di Afrika Selatan, tapi perniagaannya banyak kat Amerika. Akhirnya dia dapat jugaklah kontrak tersebut dari Amerika pada September 2014.

Ada dua pesawat angkasa yang “dibiayai” Amerika, iaitu Crew Dragon dan CST-100 Starliner. Menariknya, SpaceX pun ada jugak cipta pesawat lain iaitu Falcon 9 dan roket Falcon Heavy. Falcon ni dilancarkan terlebih dahulu sebelum Crew Dragon supaya mereka dapat lebih banyak data dan pengalaman sebelum lancarkan pesawat yang dibayar Amerika ni.

Rekaan SpaceX unik dan amat menarik, boleh jimat sumber bahan api serta boleh bawa orang ke Marikh nanti

Tambah lagi, rekaan SpaceX ni berlainan sikit dengan rekaan pesawat angkasa lain. Untuk pesawat eksperimennya, Falcon 9 tu… SpaceX tekankan fungsi ‘kebolehgunaan semula’ (reusability). Dalam laman web rasminya, Falcon 9 merupakan roket pertama orbital yang gunakan konsep perlepasan dwiperingkat dan boleh diterbangkan semula lepas mendarat.

Falcon 9 Spacex
Falcon 9 ketika berlepas.. -Via SpaceX

Selain tu, kapal-kapal ni boleh disewa tau! Kalau korang kaya, hah bolehlah sewa pesawat ni ke luar bumi. Idea ni amat menarik tau, sebab NASA sendiri pun tak sewakan kapal mereka. Ye lah, kan tu duit dan rahsia kerajaan mereka. Berbeza dengan Space X ni, mereka adalah syarikat swasta. Jadi fokus mereka memang untuk tarik perhatian pelanggan yang berhasrat nak keluar bumi ni.

Dengan fungsi kebolehgunaan semula tu, Space X jangka boleh jadi pengangkutan utama untuk ke Marikh nanti. Bila kami belek kat iklannya, Falcon 9 ni boleh disewa dengan kadar 62 juta dolar. Walau bagaimanapun, kami rasa prosedur nak ke angkasa pun mesti ketat punyalah sebab kalau nak jadi krew pun, kena banyak jalani ujian fizikal dan mental serta latihan keras.

Falcon 9 Sewa
Via Space X

Baru-baru ni pun, projek Crew Dragon pun dah dilancarkan pada 30 Mei lalu. Berbeza sedikit dengan siri projek Falcon tadi, Crew Dragon sememangnya dibina untuk bawa manusia dan kargo. Ia dikatakan boleh memuatkan seramai 7 orang penumpang pergi balik ke orbit Bumi, dan lebih dari tu. Ia jugak satu-satunya kapal pesawat swasta yang boleh bawa penumpang ke ISS.

Untuk misi Crew Dragon, hanya 2 orang angkasawan je yang dipilih iaitu Bob Behnken dan Doug Hurley. Kedua-duanya adalah angkasawan NASA yang dipilih pada 2000 dan sudahpun pernah terbang ke ruang angkasa.

Bob Behnken Doug Hurley
Bob Behnken (kiri) dan Doug Hurley (kanan)… Via BBC

Pengalaman ni amat berharga dan tentunya merupakan aset bernilai untuk misi ujian pertama Crew Dragon dengan kendalian angkasawan. Ramai warga tempatan ambil peluang ni untuk tengok sendiri pelancaran pesawat angkasa tu dengan mata sendiri di Kennedy Space Center, Cape Canaveral, Florida.

Pesawat ni jugak istimewa berbanding pesawat angkasa terdahulu yang dicipta oleh NASA. Kenapa? Sebab ia berfungsi dalam ‘mod automatik’ dan mengaplikasikan teknologi skrin sentuh. Angkasawan masih boleh kawal jika perlu. Pakaian angkasawan jugak berbeza dengan NASA dulu. Kelihatan lebih nipis dan nampak lebih selesa pulak…

Sut Terbang Space X
Via BBC

Projek Crew Dragon perintis masa depan baharu pada manusia dan sains, bakat anak muda jangan dipersia

Dengan kejayaan pelancaran Crew Dragon ni, Elon Musk kini boleh dianggap sebagai genius pada zaman kini. NASA sendiri pun dah bergantung dengan SpaceX serta syarikat aeroangkasa lain. Boeing sendiri pun dah buat pesawat angkasa mereka sendiri iaitu Starliner, namun gagal dalam percubaan nak ‘bersambung’ dengan dock stesen angkasa pada akhir tahun lalu.

Misi Space X Crew Dragon
Kebanyakan misi ujian awal pelancaran pesawat disasarkan tujuannya kat ISS.. Via BBC

Kita pun sebenarnya banyak potensi bakat muda yang lain, dan turut mempunyai fasiliti khas untuk bidang aeroangkasa ni seperti Agensi Angkasa Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Kita pun dah ada angkasawan pertama negara, Syeikh Muszaphar dan angkasawan Mejar Dr. Faiz. Kita pun dah ada syarikat aeroangkasa milik tempatan iaitu Independence-X Aerospace.

Independence X Google Lunar
Wow.. hebat kan? Via Independence X.com

Banyak benda dah kita ada, dan sudah pasti suatu hari nanti, tak mustahil giliran kita lagi untuk melancarkan pesawat angkasa sendiri sekurang-kurangnya menuju ke ISS. Bidang aeroangkasa adalah bidang ‘persaingan’ baharu dalam kalangan negara ASEAN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *